ALLAHYARHAM Tun Abdul Razak akan kekal dalam ingatan sebagai negarawan terbilang yang begitu besar jasanya dalam perkembangan sejarah dan pembangunan negara.
Daripada sifat kepimpinan, kecintaan, cita-cita serta kewibawaan insan yang digelar Bapa Pembangunan negara itu, riwayatnya cuba diterjemahkan dalam Muzikal Tun Abdul Razak (MTAR).
Dilangsungkan bersempena 52 tahun kemerdekaan negara, sebanyak tujuh pementasan diadakan sepanjang lima hari di Istana Budaya bermula 16 ogos ini.
Naskhah tersebut pernah dipentaskan di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sekitar Oktober tahun lalu.
Namun, ketika itu tunggak utama yang membarisi tenaga kerja produksi serta barisan pelakonnya rata-rata terdiri daripada para pelajar dan graduan Aswara.
Mengangkat kisah yang melingkari hidup figura itu, pelbagai aspek diadun dalam satu naratif yang melatari pementasan MTAR.
Berbanding naskhah asal, teater tersebut kali ini menerima sentuhan garapan pengarah berkaliber, Datuk Rahim Razali dan disaratkan dengan elemen muzikal.
Sudah tentu menggalas tanggungjawab sebagai pelakon utama pementasan yang fokus kepada bekas Perdana Menteri kedua negara itu bukan sesuatu yang enteng untuk dilaksanakan.
Kedua-dua pelakon utamanya, Rashidi Ishak dan Fauziah Latiff ketika ditemui baru-baru ini, masing-masing mengakui, gementar untuk melaksanakan peranan sebagai pasangan Abdul Razak dan isterinya, Toh Puan Rahah Mohd. Noah.
Bagi Rashidi, tugas berat sudah pasti menantinya sementelah dia tiada langsung pengalaman di pentas teater.
Sebelum ini, Rashidi pernah ditawarkan berlakon dalam beberapa teater termasuk Keris Sang Puteri (1999), Muzikal Siti Zubaidah (2000), Putra (2007) dan Mahsuri (2009).
Namun, semuanya ditolak kerana khuatir melakukan kesilapan di pentas 'terbuka'.
"Mungkin sebab saya terlampau selesa berlakon di TV dan filem menyebabkan saya tidak mencuba berlakon di pentas yang ditonton secara langsung oleh ramai orang," kata suami kepada aktres Vanidah Imran itu lagi.
Pernah sekali dia cuba melibatkan diri dalam lakonan teater. Lucunya, tidak sampai beberapa hari menjalani latihan dia telah 'melarikan' diri.
Bercerita peranannya dalam MTAR, kata bekas anggota kumpulan Dead Mushroom itu berkata, seboleh mungkin dia cuba menghayati watak itu agar tiada sempadan antaranya dengan empunya diri.
"Saya banyak buat kajian mengenai Allahyarham Tun Abdul Razak dengan membaca dan membeli pelbagai buku berkaitan beliau.
"Selain itu, pihak Aswara turut membantu saya mendapatkan beberapa rakaman video, visual serta teks-teks ucapan daripada pelbagai sumber termasuk Arkib Negara bagi membantu saya menjiwai watak tersebut.
"Bukan itu sahaja, saya juga berjumpa sahabat baik Allahyarham iaitu Tan Sri Michael Chen," katanya yang bakal menyanyikan 11 buah lagu dalam pementasan itu.
Berlakon kisah yang berkait rapat dengan sejarah secara tidak langsung membantunya memahami dan mengingati kembali sejarah negara yang pernah dipelajarinya di zaman persekolahan.
"Bagus juga menerima tawaran sebegini, sebab secara tidak langsung kita dapat tahu perkembangan politik serta asal usul politik negara.
"Dengan anak-anak juga nanti kita boleh bercerita walaupun kita sebenarnya tidak hidup di zaman itu," katanya dengan semangat berkobar-kobar.
Jee mencari 'Toh Puan Rahah'
Berbeza dengan Rashidi, Fauziah yang juga seorang penyanyi dan pelakon jelita suatu ketika dahulu pernah terlibat di pentas teater menerusi Muzikal Rubiah yang dipentaskan di Istana Budaya pada tahun 1999.
Kembali ke pentas teater selepas 10 tahun, seperti Rashidi, dia turut berasa gementar.
"Saya terpaksa belajar semula cara-cara mengatasi gemuruh berlakon di pentas. Walaupun babak tidak terlalu besar tetapi saya risau jika tersilap di atas pentas.
"Saya tidak tertekan sebaliknya, rasa takut dan gemuruh sebab saya mempunyai tanggungjawab melakonkan watak wanita yang disegani. Sebab itu saya tidak boleh buat sambil lewa," katanya yang memegang karakter sebagai isteri Perdana Menteri kedua itu.
Sempat bertemu Rahah baru-baru ini, keperibadian dan sifat ibu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu cuba diserapkan dalam lakonannya.
"Saya masih mencari 'Toh Puan Rahah' dalam diri dan saya hampir menemuinya. Secara peribadi beliau wanita yang sangat baik dan lemah-lembut.
"Menjadi 100 peratus seperti karakter beliau (Rahah) memang tak boleh. Bagaimanapun, saya cuba memahami gerak geri beliau dan memberikan yang terbaik untuk menghayati watak itu," kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu lagi.
Naskhah yang asalnya diarahkan oleh Khairunazwan Rodzy itu dikembangkan kepada skala yang lebih besar dan dipadatkan dalam empat segmen persembahan berdurasi selama hampir dua jam itu.
Segmen-segmen yang terkandung dalam persembahan tersebut termasuklah Abdul Razak dan awal kepimpinan beliau, Abdul Razak sebagai Perdana Menteri, Kemuncak pentadbiran Abdul Razak dan hari-hari terakhir Allahyarhyam.
Kepada yang berminat menyaksikan MTAR tiket-tiket boleh didapati dengan harga RM50, RM30 serta RM11.50. Untuk sebarang maklumat lanjut sila layari laman sesawang www.ticket2u.biz.
Sumber : www.utusan.com.my (Utusan Malaysia)
No comments:
Post a Comment