Tuesday, August 4, 2009

Jee hargai hidup ‘kesepian’


MEI lalu, sudah masuk dua tahun penyanyi Fauziah Latiff atau lebih mesra dengan panggilan Jee hidup ‘bersendirian’ selepas bercerai dengan bekas suaminya, Johan Indot.

Tamatnya hubungan sebagai isteri ahli perniagaan itu juga sekaligus memberikan petanda Jee terpaksa menempuhi kehidupan solo selepas berkahwin buat kali kedua memandangkan perkahwinan pertamanya pada tahun 1992 juga kecundang.

Perkahwinan kedua di London pada 19 Jun 1997 itu pula hanya mampu bertahan selama sepuluh tahun sahaja.

Namun begitu, dia tetap bersyukur kerana dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Jefri, 10, dan Jeremy, 8.

Malah dia juga menghargai kehidupan ‘baru’ yang dilaluinya sepanjang dua tahun ini.

Di waktu lapang, Jee akui gemar melakukan aktiviti lasak seperti menyelam di dasar laut atau menunggang motorsikal berkuasa tinggi.

Mungkin disebabkan faktor itu yang membuatkan Jee belum memutuskan untuk mengubat ‘luka’ lamanya itu.

“Saya tidak nafikan yang kebiasaan hidup sendiri memberikan kesan kepada saya sehingga saya tiada masa fikir untuk berkahwin lagi.

“Saya hargai hidup solo ini kerana ia memberikan saya masa untuk diri-sendiri dan kebaikan kepada diri.

“Sunyi tu memanglah sunyi tapi ia bergantung kepada nawaitu (niat) kita kerana saya masih mempunyai ramai kawan.

“Kalau boleh saya tak nak fikirkan tentang kahwin sekarang kerana lebih suka menumpukan kepada karier dan anak-anak,” ujar Jee dalam nada tenang.


Walaubagaimanapun, Jee tidak menolak kenyataan yang semua orang pastinya inginkan teman dan tidak mahu hidup ‘berseorangan’ namun dari sudut positif sekarang ini dia bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sentiasa memberikan sokongan.

“Saya tak fikirkan (hidup seorang) sesuatu yang berat dan lebih suka relaks sahaja. ‘Kesepian’ memang ada tetapi saya lebih gemar fikirkan tentang aspek lain dan jangan fikirkan ia sebagai bebanan.

“Hidup ini akan menjadikan kita lebih dewasa, matang dan berdikari..ada jodoh, alhamdulillah,” luah pelakon dan penyanyi popular menerusi drama bersiri ‘Gelora Di Hati Sara’ ini.

Ramai yang menganggap Jee tampak seperti seorang wanita yang cekal dan mampu berdiri di atas kaki sendiri tetapi penyanyi yang popular dengan lagu ‘Yang Lebih Kau Cinta’ ini masih merasakan dirinya mempunyai banyak kelemahan diri yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Saya selalu mencari kelemahan diri dengan memerhatikan orang sekeliling yang berbagai jenis.

“Misalnya, saya melihat kehidupan saya di laut seperti nelayan, ‘coral’, ikan kecil dan arus laut yang besar. Ia membantu saya untuk refleksikan diri dan ubah persepsi dalam hidup.

“Kadangkala saya fikir dan bercakap dalam diri ‘aku dah ada benda ni. Alhamdulillah..apa lagi yang aku nak?’.

“Saya banyak belajar dari persekitaran kerana kita hidup sekali..saya mungkin akan membuat salah pada hari ini dan esok..,” ujarnya penuh tersirat.

Hidup harus diteruskan dan Jee juga masih menjalankan aktiviti seninya seperti biasa selain sibuk dengan hobinya.

“Sekarang, saya sedang memberikan komitmen untuk ‘Teater Muzikal Tun Abdul Razak’ dan mulai Oktober depan saya akan memasuki pengambaran drama ‘Gelora Di Hati Sara 2’. Selain itu, saya masih aktif menyanyi di majlis korporat,” tutur Jee yang memegang watak Tun Rahah Mohd Noah dalam teater itu.

Bertemu ibu Perdana Menteri

Memandangkan Jee perlu melakonkan watak ibu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dia mengaku telah berjumpa dengan Tun Rahah sendiri pada tiga hari lalu.

Menceritakan tentang pengalamannya bertemu dengan wanita itu, Jee menyifatkan Tun Rahah seorang yang baik hati, merendah diri, periang dan pandai menyanyi.

“Semasa saya berjumpa dengannya, alhamdulillah dia sihat. Pertemuan kami sangat kasual dalam beberapa jam. Beliau banyak ketawa dan kadangkala menyanyi.

“Sambil bercakap, saya tengok gerak-gerinya, cara beliau bercakap dan senyum. Beliau juga ada menunjukkan gambar-gambar lama era dulu-dulu termasuk gambar penampilannya,” cerita Jee mengenai pertemuan yang diaturkan oleh salah seorang menantu Tun Rahah itu.

Walaupun Jee sudah berjaya mengenali sedikit-sebanyak peribadi balu Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak itu, namun dia tetap merasakan sukar untuk menggayakan 100 peratus karektor wanita itu.

“Saya akan cuba sampaikan (watak) dengan baik tapi yang penting adalah mesej dan perasaannya kerana dia tulang belakang Datuk Seri Najib,” kata Jee yang kembali ke pentas teater selepas 10 tahun lalu menerusi ‘Muzikal Rubiah’.

Penyanyi lagu ‘Teratai Layu Di Tasik Madu’ ini meluahkan rasa teruja dan berbesar hati untuk kembali berteater kerana ingin mencuba peluang bekerja dengan pelajar Akademi Seni, Warisan dan Kebangsaan (Aswara) dan berlakon di bawah arahan Datuk Rahim Razali.

“Takut dan segan pun ada kerana teater ini merupakan projek istimewa untuk kemerdekaan.

“Tetapi saya akan gunakan ‘psikologi’ untuk lawan ketakutan itu melalui pengalaman saya berlakon ‘Muzikal Rubiah’, drama ‘Kudrat Iman’ dan ‘Gelora Di Hati Sara’,” katanya yang akan turut menyanyi dalam lima buah lagu dan menari dalam sebuah babak teater itu.

Menurut Jee, dia hanya melakonkan babak di dalam rumah yang turut melibatkan aktor Rashidi Ishak selaku Tun Abdul Razak.

Saksikan Jee dalam Muzikal Tun Abdul Razak mulai 16 hingga 20 Ogos ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Tiket boleh didapati pada harga RM30 dan RM50 untuk persembahan waktu malam. Para pelajar sekolah menengah juga boleh mendapatkan harga tiket RM11.50 pada pementasan matinee pukul 3 petang pada 17 dan 18 Ogos.


Sumber : mstar.com.my

No comments: