Kesibukan terhadap anak-anak, kerjaya serta aktiviti lasak seperti berskuba dan berkonvoi dengan motosikal berkuasa tinggi membuatkan penyanyi Fauziah Latiff atau Jee senang membiarkan soal jodoh hadir sendiri tanpa perlu serius memikirkannya.
Bukan kerana serik dengan dua kegagalan rumahtangganya sebelum ini, jauh sekali menyesalinya, dia kini senang dengan kehidupan peribadi, di kelilingi insan-insan yang disayanginya.
“Saya tidak pernah menyesal, tidak juga serik dengan perkahwinan. Mungkin juga pengalaman menjadikan saya lebih berhati-hati dan melihat kehidupan dari sudut berbeza. Mungkin juga saya selesa dengan status kini, melihat anak-anak membesar dan mempunyai lebih banyak masa untuk diri sendiri,” ujarnya.
Selain dua puteranya, Jeffry Joaquim Indot, 11 tahun, dan Jeremy Jay Indot, 8 tahun, hobi sukan bermotor yang diminatinya menjadi pengubat dikala diri dibelenggu sepi.
Sejak mula menceburi bidang nyanyian, Jee sudah menunjukkan minatnya terhadap sukan ekstrem bermotor. Minat itu makin bercambah selepas dia mendirikan rumahtangga. Sehingga kini minat itu tidak pernah pudar malah makin mekar.
“Saya bersyukur dikelilingi anak-anak serta kawan-kawan yang begitu menyayangi diri ini. Lumrah alam, setiap makhluk di dunia ini perlukan teman untuk meluahkan suka duka, begitu juga saya.
“Namun, saya tidak mahu memikirkan secara serius hal-hal remeh berkaitan mencari pasangan. Bukan tidak percaya pada institusi perkahwinan atau menganggap perkahwinan sebagai beban, sebaliknya saya mahu jodoh itu datang sendiri bukan saya mencari. Saya tidak menafikan dikelilingi ramai kawan, tapi untuk rapat sehingga berkongsi hal-hal peribadi, belum lagi. Kalau ada jodoh adalah,” tambah Jee lagi.
Aktiviti skuba yang dilakukan penyanyi ini bukan sahaja turut dikongsi bersama dua puteranya, malah aktiviti menyelam itu juga mengubah persepsi Jee mengenai kehidupan.
“Skuba bukan sekadar aktiviti menyelam melihat keindahan dasar laut. Sebaliknya saya melihat hidupan laut serta keindahannya sebagai terapi kepada kehidupan. Bagaimana kita menilai hidup dan belajar untuk melaluinya. Saya tidak pernah menganggap diri sempurna, setiap pengalaman adalah pelajaran untuk mencari kelemahan diri dan berdikari,” jelasnya.
Teater kedua selepas 10 tahun
2009 menjadi tahun ‘lakonan’ buat penyanyi yang popular dengan lagu-lagu berentak balada ini. Selepas membintangi ‘Kudrat Iman’ dan ‘Gelora Di Hati Sara’, Jee seolah-olah enggan berundur dari dunia lakonan apabila bakal beraksi dalam teater muzikal ‘Tun Abdul Razak’ sebagai Toh Puan Hajah Rahah Mohd Noah.
Teater muzikal ini merupakan percubaan keduanya selepas ‘Rubiah’ sedekad lalu. Jee tidak mempunyai masalah apabila digandingkan bersama Rashidi Ishak. Malah keduanya saling membantu untuk mewujudkan ‘chemistry’ suami isteri dalam lakonan mereka.
“Ketika mula-mula menerima tawaran, perasaan gementar memang ada. Namun saya harus ‘break the fear’ agar ketakutan itu tidak lagi menjadi penghalang. Selagi tidak mencuba, selagi itulah saya tidak tahu sejauh mana kemampuan diri,” jelasnya yang kini menumpukan sepenuh perhatian kepada teater keduanya.
Teater muzikal ‘Tun Abdul Razak’ akan dipentaskan di Istana Budaya Kuala Lumpur pada 16 hingga 20 Ogos ini, sempena bulan kemerdekaan.
Sebagai Toh Puan Rahah, Jee cuba belajar mengenai cara percakapan dan gerak geri ibu kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib itu ketika bertemu bekas Wanita Pertama Malaysia itu, baru-baru ini.
“Toh Puan Rahah seorang wanita kental dan beliau mempunyai ciri-ciri keibuan yang sangat tinggi. Malah pertuturannya sangat lemah lembut dan beliau juga seorang wanita yang gemar tertawa,” ujar Jee mengenai pertemuan yang diatur seorang rakan.
Melalui teater muzikal ini, Jee perlu menguasai lakonan dan nyanyian. Malah dia juga banyak berkongsi pendapat dan idea bersama pasangannya dalam teater ini demi sebuah lakonan yang mantap.
sumber : www.gua.com.my
No comments:
Post a Comment