Tuesday, May 18, 2010

Fauziah Latiff malas fikir soal jodoh


MUNGKIN bagi sesetengah wanita yang telah mengalami tragedi perceraian dalam kamus hidup, mereka menganggap tidak dapat meneruskan kehidupan dengan baik tanpa seorang insan bergelar suami.

Bagi wanita-wanita itu, mereka mungkin akan mencari pengganti seorang lelaki sebagai teman dalam hidup mereka atau lebih sopan dipanggil suami sejurus selepas bercerai.

Kehidupan selepas bercerai bukanlah impian bagi setiap wanita kerana mereka akan dinobatkan satu dengan 'title' iaitu janda.

Tetapi perkara itu tidak menghantui penyanyi cantik, Fauziah Latiff. Dia ternyata menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal sejak beberapa tahun lalu dengan tenang bersama dua anaknya yang kini berusia 10 dan 12 tahun.

Katanya yang kini menginjak usia 40 tahun, baginya soal jodoh itu adalah kerja Tuhan dan dia malas untuk memikirkannya.

"Kalau saya terlalu fikirkan hal itu, ia akan membuatkan saya sakit hati. Saya nak fikir yang mudah-mudah sahaja buat masa ini.

"Soal jodoh ini kalau ada-adalah," luahnya ketika ditemui di Perbadanan Filem Nasional (Finas) baru baru ini.

Tambah Fauziah yang lebih mesra dipanggil Jee, malas untuk fikirkan soal jodoh bukan bererti dia sudah tidak mahu untuk berkahwin lagi tetapi dia lebih bersikap terbuka.

"Untuk memperbaiki kualiti kehidupan selepas perceraian, saya banyak menghabiskan masa dengan aktiviti-aktiviti seperti menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama teman-teman dan melakukan scuba diving.

"Bagi saya hidup ini tidak panjang. Selagi ada masa kita buat apa yang kita nak buat," katanya.

Jee cipta lagu

Musim yang pertama Gelora Di Hati Sara adalah sejarah kepada seorang penyanyi yang diminati ramai ini kerana akhirnya dia 'terpedaya' untuk terbabit dalam bidang lakonan mengikut penerbit dan juga pelakon, Rosyam Nor.

Memanjangkan drama bersiri ini, Fauziah atau mesra dipanggil Jee, tidak sekadar berlakon, sebaliknya dia telah mencipta lagu, sekali gus menjadi lagu tema untuk drama bersiri 26 episod yang kini memasuki musim kedua.

Menurut Jee, walaupun dia pernah melalui pengalaman masalah rumah tangga tetapi lirik lagu yang berjudul Ku Di Sini itu tidak mempunyai kaitan langsung dengan dirinya.

"Memang saya pernah alami sendiri pengalaman pahit berkenaan rumah tangga tetapi lagu yang dicipta memang untuk disumbangkan kepada drama ini. Ia tidak berkaitan dengan masa lampau saya," katanya.

Tambahnya, banyak pengalaman baru yang dia belajar selepas masuk dalam bidang lakonan.

Katanya: "Saya berharap bidang lakonan yang diceburi ini dapat memberi sinar dalam kehidupan selepas ini."

Malah Rosyam Nor selaku orang yang bertanggung jawab membawa Jee masuk dalam bidang lakonan, mengakui pada awal penggambaran, Jee sedikit kekok. Tetapi Rosyam tetap yakin dengan kredibilitinya sebagai pelakon.

"Pada awal penggambaran GDHS 2 ini, secara jujurnya saya mengakui Jee mempunyai masalah mungkin kerana sudah setahun dia tidak berlakon.

"Kami memberikan adegan yang kurang berat pada awalnya supaya Jee dapat mengikut rentak lakonannya diikuti dengan adegan yang lebih mencabar," katanya.

Gelora

Jika episod siri pertama berakhir dengan kebahagiaan menjadi milik Asrul bersama Sara meski pun Sara dibayangi serba salah dengan keikhlasan yang ditunjukkan oleh madunya, Tengku Marina, drama ini berkembang dengan konflik yang lebih merumitkan lagi apabila watak Sara berkeras mahu meneruskan penceraiannya dengan Asrul.

Menurut Rosyam, musim kedua ini adalah kesinambungan dari musim pertama yang pernah mencetuskan fenomena di kalangan peminat drama bersiri kekeluargaan.

"Pada musim yang kedua, watak dalam setiap plot drama ini akan dikembangkan,"katanya.

Pada musim kedua Sara sanggup berkorban semata-mata mahu melihat kebahagiaan menjadi milik Tengku Marina yang dipercayai ikhlas mencintai Asrul meskipun Iskandar ingin kembali kepadanya.

Kebaikan Sara membuatkan Marina setuju untuk diceraikan. Datin Maria sangat sedih dengan keputusan Tengku Marina kerana dia adalah menantu pilihannya.

Seboleh-bolehnya Datin Maria mahu mengekalkan perkahwinan itu. Datin Maria berada dalam keadaan dilema kerana menantu-menantunya mahu berkorban di antara satu sama lain.

Bagaimanapun Asrul tetap memilih Sara dan mahu menceraikan Tengku Marina seperti kehendak Tengku Malik. Tengku Malik memutuskan hubungan persahabatan dengan Datuk Taufik dan menganggap Asrul mengkhianati Tengku Marina. Dia juga menarik semua saham dalam syarikat Datuk Taufik dan membatalkan semua perjanjian perniagaannya.

Sara meneruskan proses perceraian Diana dengan Zaidi. Zaidi yang dikenakan tuduhan pecah amanah dan menipu syarikat bapa mertuanya dibebaskan dengan jaminan RM500, 000 serta dilarang meninggalkan Malaysia sementara menunggu tarikh perbicaraan. Zaidi enggan menceraikan Diana.

Dia merayu kepada Diana untuk menerimanya semula dan kononnya insaf perbuatannya. Zaidi mencari jalan supaya Datuk Taufik bersimpati kepadanya dan menggugurkan dakwaan.

Namun masihkan ada peluang untuk Sara terus menyayangi anak itu setelah Tengku Marina mahu merebut haknya dan memisahkan keduanya semata-mata dia cemburukan perhatian diberikan Asrul kepada Sara dan anak itu? Dan masihkan ada rasa keinsafan di hati wanita bernama Tengku Marina itu?

Anda boleh menyaksikan kesudahan drama bersiri penuh konflik kekeluargaan ini dengan meluangkan masa menonton Gelora Di Hati Sara 2, setiap Rabu, pukul 9.30 malam di TV2.

Drama arahan Mohd Nasir Juhan (Jet Lee) itu juga masih mengekalkan gandingan pelakon handalan seperti Watie Sadali, Dato' Rahim Razali, Aida Radzwil dan Norman Hakim.

Sumber : Kosmo!

Wednesday, May 12, 2010

Gelora Di Hati Fauziah Latiff


Siapa sangka penyanyi yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu, kini muncul kembali menyinari industri hiburan, namun kemunculannya kini dalam drama air mata Gelora Di Hati Sara (GDHS). Mengakui seorang yang pemalu, namun terpaksa dihakis jua selepas beberapa siri 'ceramah' daripada mentornya, Rosyam Nor.

"Selalu juga kena marah dengan abang Rosyam sebab Jee tak dapat buang perasaan malu. Berlakon perlukan penghayatan dan untuk watak Sara, Jee perlu kelihatan tabah walaupun terpaksa bermadu dan pastinya air mata akan sentiasa berdampingan sepanjang drama ini.

"Memang watak ini agak berat, lebih-lebih lagi untuk Jee yang masih baru. Jee terima tawaran ini kerana pernah bekerjasama dengan warga produksi GDHS sejak musim pertama lagi," ujarnya.

Gee turut menyumbangkan lagu untuk drama GDHS. Ku Di Sini, lirik yang lahir daripada hati tulus seorang wanita. Namun tegasnya, lirik itu bukanlah dikutip daripada pengalaman peribadinya walaupun pernah melalui saat-saat duka tika perpisahan penyapa rumahtangganya.

"Memang Jee buat lirik lagu tu tapi tak ada kena mengena dengan diri sendiri. Jee dapat tawaran untuk GDHS untuk musim kedua dan terus Jee terfikir untuk sumbangkan lagu untuk drama tersebut.

"Jee tak berniat pun nak buat comeback, cuma berniat untuk support drama tersebut," katanya yang masih selesa bersendirian selepas bercerai tiga tahun lalu.

GDHS mengisahkan Sara (Fauziah Latiff) yang menempuh pelbagai dugaan selepas ditimpa kemalangan sehingga menyebabkannya mandul. Konflik demi konflik timbul, lebih-lebih lagi apabila niat Asrul (Rosyam Nor) untuk menceraikan isteri keduanya, Tengku Marina (Watie) tidak kesampaian.

Saksikan drama menarik ini bermula 12 Mei, setiap Rabu, jam 9.30 malam di TV2.

Sumber : www.manggaonline.com.my

Suria TV pilih Gelora Di Hati Sara 1


GELORA Di Hati Sara musim pertama yang ditayangkan di TV2 pada tahun lalu bukan sahaja mendapat sambutan para penonton di negara ini, tetapi juga stesen televisyen di Singapura.

Suria TV, stesyen televisyen yang sering menayangkan drama-drama Melayu di republik itu, kini sedang menayangkan musim pertama drama berkenaan sejak bulan lalu.

Rosyam Nor selaku penerbit Suhan Movies berkata, biarpun Gelora Di Hati Sara 1 sedang ditayangkan di Suria TV tetapi stesen itu sudahpun meminta untuk menayangkan musim kedua.

"Saya harap sambutan drama ini akan membuka mata RTM supaya ia boleh dipanjangkan lagi. Mungkin dalam bentuk telenovela pada masa depan," ujarnya kepada Hits.

Selain memaparkan masalah rumah tangga, Rosyam tidak menafikan penampilan sulung Fauziah Latiff atau Jee dalam drama itu menjadi daya penarik utama drama berkenaan.

Katanya, lagu terbaru Jee berjudul Ku Di Sini yang dijadikan lagu tema Gelora Di Hati Sara 2 juga akan membantu mempopularkan drama tersebut.

"Dalam Gelora Di Hati Sara 1, kami menggunakan lagu-lagu Jee yang dipetik daripada album-album lamanya sebagai lagu-lagu latar dalam drama ini.

"Gelora Di Hati Sara 2 yang menelan kos RM36,000 bagi setiap episod itu secara tidak langsung mampu melonjakkan nama Fauziah sebagai penyanyi," kata Rosyam.

Selepas Gelora Di Hati Sara 2, kata Rosyam, Suhan Movies bakal muncul dengan sebuah telemovie berjudul Sutera Di Sebalik Wajah yang akan ditayangkan sempena Hari Bapa tidak lama lagi.

Dilabel penulis Suhan Movies

NAMA Sharifah Abu Salem sebagai penulis skrip dalam kebanyakan drama bersiri terbitan Suhan Movies bukanlah suatu perkara yang baru buat para penonton televisyen di negara ini.

Penulis skrip berusia 49 tahun ini banyak menulis skrip drama popular terbitan syarikat itu seperti Rindu Semakin Jauh, Masih Ada Cinta, Airis dan Salam Terakhir.

Terbaru, Sharifah turut menyumbangkan skrip tulisannya untuk Gelora Di Hati Sara 2 yang akan disiarkan setiap Rabu di TV2 mulai 12 Mei ini pukul 9.30 malam sebanyak 26 buah episod.

Drama bersiri itu merupakan cetusan idea Sharifah atau lebih dikenali sebagai Kak Pah yang diteruskan ekoran sambutan para penonton terhadap musim pertamanya pada tahun lalu.

Ekoran kekerapan skripnya diangkat ke layar kaca melalui drama-drama bersiri Suhan Movies menyebabkan dia pernah dilabel penulis syarikat produksi tersebut.

Menurut ibu kepada empat orang anak ini, dia tidak kisah apabila dilabelkan sebagai penulis Suhan Movies kerana sudah serasi bekerjasama dengan syarikat produksi tempatan itu.

"Sebenarnya, saya senang bekerjasama dengan mana-mana juga syarikat produksi tetapi saya lebih serasi dengan Suhan Movies. Saya sudah bekerjasama dengan mereka sejak tahun 2004.

"Malah, saya dan Suhan Movies juga kalau sekali bermesyuarat akan berbincang tiga hingga empat projek dalam penerbitan drama-drama mereka kerana ia lebih memudahkan kedua pihak," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton sedutan drama bersiri itu baru-baru ini.

Jelas Sharifah yang merupakan bekas wartawan Kumpulan Karangkraf ini, ekoran keakraban hubungan itu, dia tiada masalah memenuhi kriteria skrip drama-drama syarikat terbabit.

Malah, pengalamannya sebagai wartawan selama 24 tahun banyak membantu menghasilkan skrip-skrip bermutu, apatah lagi selepas menjadi penulis skrip sepenuh masa sejak dua tahun lalu.

"Saya mengambil masa sebulan untuk menyiapkan skrip drama ini. Paling cepat dalam satu hari saya boleh menyiapkan dua hingga tiga episod kerana masa saya sekarang banyak bersama keluarga di rumah.

"Gelora Di Hati Sara 2 adalah cerita rekaan semata-mata. Saya gunakan pengalaman saya selama ini bagi mengolah jalan cerita dan watak-watak di dalamnya.

"Contohnya, daripada pembacaan saya di akhbar, majalah dan tontonan saya di televisyen. Semua pengalaman saya itu banyak membantu saya dalam menulis skrip drama," jelasnya lagi.

Selain menulis skrip drama radio dan televisyen sejak berusia 14 tahun lagi, Sharifah juga telah menghasilkan 16 buah novel antaranya berjudul Gerimis Di Hati, Tak Seindah Mimpi, Tak Semanis Impian dan Tiada Lagi Mimpi.

Sumber : Utusan Malaysia

Monday, May 10, 2010

Air mata Jee di jiwa Sara



TIADA siapa pun yang mahu ditakdirkan gagal dalam hidup berumahtangga. Apatah lagi, bukan sekali gagal dalam perkahwinan, sebaliknya ia berlaku sebanyak dua kali.

Ia tentunya pengalaman hidup yang perit untuk dilalui oleh seorang wanita, apalagi bagi membesarkan anak-anak hasil perkongsian hidup selama ini tanpa suami di sisi.

Liku-liku perjalanan hidup seperti itu bukan setakat dilalui oleh masyarakat biasa, malah golongan artis juga tidak terkecuali merasainya terutama dalam menggalas gelaran sebagai ibu tunggal.

Fauziah Latiff merupakan antara penyanyi popular tanah air yang pernah melalui kegetiran hidup saat rumahtangganya bergolak dan kemudiannya terpaksa pula menerima hakikat kembali hidup secara solo.

Walaupun perit, tetapi Fauziah atau lebih mesra disapa Jee, menggunakan keperitan hidup sendirian dengan meluahkannya dalam karier barunya sebagai pelakon.

Penyanyi berusia 40 tahun ini misalnya, menggunakan bakat dan emosi berdasarkan pengalaman hidupnya dalam menghayati watak lakonannya.

Jee mengungkap rasa dan penghayatannya itu sewaktu melakonkan watak Sara menerusi drama Gelora Di Hati Sara musim pertama dan kedua sebanyak 26 episod yang merupakan drama bersiri pertama lakonannya.

Menurutnya, biarpun pernah gagal dua kali dalam perkahwinan, tetapi jalan cerita drama terbitan Suhan Movies itu tiada kena mengena dengan perjalanan hidupnya selama ini.

Sebaliknya, Jee merangkumkan semua emosi dan pengalaman hidup yang pernah dilaluinya dalam menghayati watak Sara yang menghadapi pergolakan dalam rumahtangganya.

"Sebenarnya, watak Sara dalam drama ini tiada kena mengena dengan perjalanan hidup Jee. Ini adalah cabaran baru Jee. Sebagai pelakon, Jee cuba melakonkan pelbagai watak.

"Paling sukar berlakon dalam drama ini ialah untuk mengalirkan airmata. Jee kena hayati watak ini dengan bersungguh-sungguh. Mungkin pengalaman sedih Jee selama ini banyak membantu melakonkan watak itu.

"Apabila Jee 'masuk' dalam emosi itu, maka mudahlah airmata Jee mengalir sewaktu berlakon dalam drama ini," katanya sewaktu ditemui Hits baru-baru ini.

Pada pertemuan di majlis partonton sedutan drama itu di Pawagam Mini P. Ramlee di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu, Jee seakan-akan puas dengan lakonannya.

Kepuasan ibu kepada dua anak lelaki berusia 10 dan 12 tahun itu dapat dilihat apabila bidang lakonan yang baru diceburinya sejak akhir-akhir ini banyak memberi sinar baru dalam karier seninya.

Jee bukan setakat mahu melupakan pengalaman pahit silamnya, malah berharap bidang lakonan yang diceburinya sedikit sebanyak akan menambahkan lagi sinar kebahagiaan dalam hidupnya.

"Jee sendiri sudah tidak berapa ingat berapa tahun Jee bercerai. Jee pun malas hendak fikirkan lagi tentang perkahwinan. Kalau ada jodoh, adalah. Itu adalah kerja Tuhan.

"Kalau Jee terlalu fikirkan soal jodoh, takut nanti jadi sakit hati. Buat masa ini, Jee lebih suka fikirkan yang mudah-mudah sahaja. Tidak mahu sakit kepala," ujarnya.

Sungguhpun begitu, Jee sama seperti wanita lain yang tabah hatinya di mana gagal dua kali dalam perkahwinan tidak bererti gagal selamanya terutamanya dalam konteks mencari calon suami.

Justeru, penyanyi bersuara lantang ini tidak menganggap kenyataannya itu seperti serik, sebaliknya dia redha dalam soal mencari calon suami yang lebih sesuai dengannya pada masa depan.

"Jee bukannya serik, tetapi Jee tidak mahu terlalu mengharap dalam soal jodoh. Bagi Jee, hidup harus diteruskan tidak kiralah dalam apa juga keadaan. Apa pun Jee tetap bersyukur.

"Jee bersyukur pada Tuhan kerana setakat ini telahpun dikurniakan dua orang anak. Jee juga masih mempunyai seorang ibu yang cukup penyayang dan memahami diri Jee," katanya.

Pembabitan Jee dalam bidang lakonan, selain masih aktif menyanyi, banyak membuka ruang kepada bakat seninya yang terpendam selama ini untuk dinilai oleh para peminatnya.

Sambil mengakui pembabitannya dalam Gelora Di Hati Sara 2 yang akan ditayangkan di TV2 pada setiap Rabu mulai 12 Mei ini pukul 9.30 malam banyak didorong oleh Rosyam Nor.

Penerbit Suhan Movies itu kata Jee, banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar dalam menghayati watak Sara yang menghadapi konflik dengan suaminya, Asrul (lakonan Rosyam Nor).

Penggambaran drama bersiri musim kedua itu yang diadakan selama tiga bulan secara tidak langsung telah menambahkan lagi aktiviti dalam kehidupan sehariannya.

"Selama tiga bulan itu, Jee memang sibuk dan memberi sepenuh perhatian pada penggambaran drama tersebut. Walaupun penat tetapi Jee seronok berlakon dan kalau ada masalah pun ia boleh dilupakan sekejap.

"Ini kerana, sebelum ini kalau tidak menyanyi atau berlakon Jee banyak menghabiskan masa dengan aktiviti-aktiviti di luar. Contohnya, aktiviti menyelam atau scuba diving.

"Selain itu, Jee juga sering menunggang motosikal berkuasa tinggi atau superbike bersama kawan-kawan Jee. Jee memang sukakan aktiviti luar yang lasak dan mencabar fizikal dan minda.

"Bagi Jee, hidup di dunia ini terlalu singkat. Selagi ada masa, kemampuan dan kesihatan yang baik, ini adalah masa yang terbaik buat Jee untuk memenuhi minat Jee itu," jelasnya lagi penuh yakin pada petang itu.

Selain Jee dan Rosyam, Gelora Di Hati Sara 2 turut dilakonkan oleh Watie Sadali sebagai (Tengku Marina), Datuk Rahim Razali (Datuk Taufik) dan Norman Hakim (Iskandar).

Drama bersiri sebanyak 26 episod arahan Mohd. Nazir Juhan itu merupakan kesinambungan Gelora Di Hati Sara 1 yang ditayangkan tahun lalu dengan rating lebih sejuta penonton.

Sumber : Utusan Malaysia

Saturday, May 8, 2010

Adegan ringan dulu buat Jee

SUKAR menafikan kehebatan Rosyam Nor dalam lakonan. Biar ramai bakat baru muncul, Rosyam membuktikan aksinya masih berbisa. Sepanjang lebih dua dekad sebagai artis, Rosyam terbabit membintangi 32 filem manakala jumlah drama lakonannya tidak terkira hingga mencecah ratusan.

Namun, dalam menantikan dua filem barunya, Estet arahan Mamat Khalid dan Libas (Jurey Latiff Rosli) ditayangkan, pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-16 dan 21 menerusi filem KL Menjerit dan Kala Malam Bulan Mengambang ini tidak mempersiakan masa sibuk di lokasi penggambaran drama.

Mengikut senarai drama yang pernah dilakonkan, Gelora Di Hati Sara yang pernah disiarkan menerusi RTM pada 20 November 2008 antara lakonan menyerlah kehebatan Rosyam sebagai pelakon. Menariknya, drama itu berjaya meraih rating sejuta penonton dan atas sambutan positif itu, ia disambung untuk musim kedua.

Di sebalik paparan plot kekeluargaan yang ditampilkan, kejayaan drama ini didukung dua pelakon utama iaitu Rosyam bersama Fauziah Latiff (Jee). Kedua-dua pelakon ini dinilai menghidupkan watak suami isteri iaitu Asrul dan Sara dengan cemerlang hingga menyentuh perasaan penonton dengan adegan air mata.

Rosyam berkata, Jee mempunyai bakat menjadi pelakon walaupun lebih dikenali sebagai penyanyi sebelum ini. Menerusi peluang pertama yang diberikan, Jee masih 'disunting' untuk musim kedua.

"Sejujurnya lakonan Jee pada awal penggambaran drama musim kedua kali ini agak kritikal kerana setahun dia tidak berlakon. Dalam tempoh seminggu penggambaran, lakonannya agak goyang.

"Atas sebab itu, apabila Jee kembali berlakon saya terlebih dulu merakam adegan yang 'ringan' untuk membiasakan dirinya sebelum adegan yang lebih mencabar.


"Untuk musim kedua, setiap watak mempunyai plot sendiri yang dikembangkan. Sebolehnya saya tidak mahu penonton menilai musim kedua lebih teruk berbanding musim sebelumnya.

"Memang ketika penggambaran, saya 'dera' dia dan saya cakap terus terang kepadanya jika saya tidak berpuas hati dengan lakonan yang ditunjukkan. Tidak dinafikan musim kedua lebih banyak adegan air mata dan daripada adegan sebegini, saya mencabar maruah dia agar memberikan hasil lakonan terbaik," katanya.

Berdasarkan respons penonton pada musim pertama, drama ini turut menarik minat stesen Suria TV di Singapura dan kini ditayangkan di sana. Rosyam menyatakan dia bersama pelakon lain termasuk Datuk Rahim Razali, Watie Sadali, Aida Radzwill, Norman Hakim, Hisham Ahmad Tajuddin, Balkisyh Samundur Khan, Mahmud Ali Bashah dan Dian P Ramlee turut menantikan peluang mengadakan promosi di Kota Singa itu.

Drama arahan Mohd Nazir Juhan (Jet Lee) ini masih menggunakan skrip karya Sharifah Abu Salem akan disiarkan di TV2 pada setiap Rabu jam 9.30 malam bermula 12 Mei ini. "Saya berhasrat menjadikan drama ini sebagai telenovela selepas ini. Ini saranan saya kepada RTM dan saya percaya drama ini mampu menjadi penanda aras pada drama yang membawa kisah keluarga.

"Barisan pelakon dalam drama ini memberikan kekuatan seperti Datuk Rahim yang memberikan lakonan versatil dan terselit elemen komedi dalam adegan yang dilakonkan bersama saya.

"Menambah tarikan, Jee turut mencipta lagu tema drama ini berjudul Ku Di Sini dengan lirik ciptaannya sendiri bersama komposer Ross Ariffin. Bagi saya, Jee adalah artis yang bijak menggunakan peluang yang ada. "Saya berkata kepadanya jika lagu itu tidak sedap, saya tidak akan terima. Namun, apabila lagu diperdengarkan saya suka dan berasakan ia menjadi promosi besar untuk drama ini kerana menjadi single terbaru Jee selepas ini," katanya.

Bagi Jee, 40, kemunculan pertama menerusi drama bersiri 26 episod ini banyak memberi pengalaman baru kepadanya belajar aspek lakonan. Dia berdepan cabaran melakonkan lebih banyak adegan air mata.

"Memang diikutkan adegan yang memerlukan saya menangis lebih banyak berbanding musim pertama. Ada adegan memerlukan saya sedih dengan bermain emosi dalaman tanpa menangis keterlaluan.

"Ada adegan saya bersama Dian yang melakonkan watak ibu Sara membuatkan emosi saya seperti berdialog dengan ibu sendiri. Begitu juga adegan romantik bersama Rosyam yang ada ketika membuat perasaan saya jadi terkejut. Musim baru kali ini menyampaikan kisah yang lebih mendalam pada setiap watak," katanya.

Penyanyi popular menerusi lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini turut menyatakan pengalaman lakon yang ditimba sebelum ini antaranya membintangi sitkom Lontong, drama Kudrat Iman dan teater Rubiah dan muzikal Tun Abdul Razak banyak memberi panduan padanya "Jika difikirkan, saya sebenarnya takut untuk terus berlakon kerana pemalu dan sering menganggap setiap lakonan membawa tanggungjawab berat.

"Apapun, saya belum berpuas hati dengan lakonan yang ditunjukkan dan saya akan terus perbaiki kelemahan serta belajar aspek lakonan dengan mendalam," katanya.

Sumber : Harian Metro

Air Mata Jee Dalam GDHS2

SELEPAS mendapat sambutan tinggi pada musim pertama, drama bersiri di bawah Suhan Movie berjudul Gelora Di Hati Sara bakal muncul dengan musim kedua.

Drama yang membariskan nama-nama besar seperti Fauziah Latif, Rosyam Nor, Watie Sadali, dan ramai lagi ini bakal disiarkan sebanyak 26 buah episod bermula 12 Mei ini.

Menurut Rosyam, GDHS2 ini adalah kesinambungan dari GDHS musim lalu dan ia lebih menarik dan penuh dramatik berbanding musim pertama.

"Jika musim pertama banyak konflik dan titisan air mata, musim ini kita lebih memanjangkan lagi karekter-karekter dalam drama tersebut.

"Ia lebih menarik dari musim pertama, lakonan Jee juga lebih mantap dan yakin," jelas Rosyam.



Dalam pada itu, penulis skirp GDHS, Syarifah Abu Salem juga memberitahu jalan cerita berkisarkan pergolakan rumah tangga dan hubungan kekeluargaan yang biasa berlaku dalam masyarakat seharian.

"Biarpun bukan kisah benar namun perjalanan cerita GDHS2 biasa berlaku dalam kehidupan seharian. Oleh itu saya yakin ramai dapat menarima cerita berbentuk kekeluargaan ini.

"Setiap watak saya bina jalan cerita mereka sendiri. Watak-watak dalam cerita ini boleh dikembangkan menjadi lebih besar dan panjang," jelasnya yang juga bekas wartawan selama 24 tahun.

Cerita yang berkisarkan tentang konflik suami isteri antara Asrul lakonan Rosyam Nor dan Sara lakonan Fauziah Latiff yang ingin bercerai dan memberi peluang kepada suaminya menjalani rumah tangga bersama isteri keduanya iaitu Tengku Marina lakonan Watie Sadali.

Sara melalui pelbagai dugaan hidup apabila dia ditimpa kemalangan sehingga menyebabkannya kehilangan rahim. Dia melarang suaminya untuk menceraikan Tengku Marina demi mendapatkan zuriat.

Konflik bermadu dan campur tangan keluarga lebih mesulitka lagi keadaan, namun bagi mengetahui penghujung drama ini, ikutinya pada 12 Mei, setiap Rabu, pukul 9.30 malam di TV2.

Sumber : mStar Online

Friday, May 7, 2010

Dengarnya...: Jee terima lamaran Rosyam





BAGI peminat drama bersiri terutama yang dilakonkan Rosyam Nor tentu sudah sedia maklum bahawa pelakon ini memang sering bertukar-tukar pelakon wanita. Ramai juga pelakon wanita yang sering menjadi heroin di sampingnya. Antara wajah yang pernah menghiasi drama atau telemovie terbitan pelakon ini adalah Umie Aida, Eja, Rita Rudaini dan terbaru penyanyi jelita, Fauziah Latiff.

Cik Normah tak nafikan yang Rosyam memang pandai mencari pasangan dalam drama lakonannya. Sentiasa menjadi dan serasi sangat. Paling Cik Normah suka apabila dia berlakon bersama Eja atau Rita Rudaini. Memang sepadan sangat-sangat. Apa yang Cik Normah perhatian, Rosyam memang cerewet dalam mengambil pelakon. Tapi kalau dia dah suka, alamat dia akan pegang pelakon itu untuk beberapa lama.
Dan khabarnya, Fauziah Latiff atau lebih akrab disapa Jee ini juga bakal diikat Rosyam. Selepas meletup dengan drama bersiri Gelora Di Hati Sara yang kini bakal memasuki musim kedua, khabarnya Rosyam sudah pun membayangkan yang Jee juga bakal membintangi drama bersiri terbitan syarikatnya Suhan Movies berjudul Fantasia Bulan Madu.

Walaupun Cik Normah mendapat tahu yang Jee ingin berehat dari bidang lakonan, tapi disebabkan Rosyam, dia terima juga tawaran berlakon itu. Iyalah, dia kenang juga jasa Rosyam yang memperkenalkannya ke dunia drama. Lagi pun Cik Normah rasa, Jee memang berbakat dalam bidang lakonan. Malahan pernah juga Cik Normah tengok dia beraksi di kaca televisyen. Memang hebat lakonannya.

Kalau betullah, Jee bakal menjadi pasangan baru Rosyam untuk mana-mana drama atau telemovie terbitannya, Cik Normah turut tumpang bangga. Cuma Cik Normah harap, dalam sibuk berlakon, jangan pula Jee melupakan dunia nyanyian. Ramai peminatnya di luar sana yang mengharapkan Jee kembali dengan lagu baru. Iyalah, sebagai salah seorang peminat Jee, Cik Normah teringin juga nak mendengar buah tangan terbarunya. Harap Jee dapat mendengar rayuan peminatnya itu.

Sumber : Berita Harian