SUKAR menafikan kehebatan Rosyam Nor dalam lakonan. Biar ramai bakat baru muncul, Rosyam membuktikan aksinya masih berbisa. Sepanjang lebih dua dekad sebagai artis, Rosyam terbabit membintangi 32 filem manakala jumlah drama lakonannya tidak terkira hingga mencecah ratusan.
Namun, dalam menantikan dua filem barunya, Estet arahan Mamat Khalid dan Libas (Jurey Latiff Rosli) ditayangkan, pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-16 dan 21 menerusi filem KL Menjerit dan Kala Malam Bulan Mengambang ini tidak mempersiakan masa sibuk di lokasi penggambaran drama.
Mengikut senarai drama yang pernah dilakonkan, Gelora Di Hati Sara yang pernah disiarkan menerusi RTM pada 20 November 2008 antara lakonan menyerlah kehebatan Rosyam sebagai pelakon. Menariknya, drama itu berjaya meraih rating sejuta penonton dan atas sambutan positif itu, ia disambung untuk musim kedua.
Di sebalik paparan plot kekeluargaan yang ditampilkan, kejayaan drama ini didukung dua pelakon utama iaitu Rosyam bersama Fauziah Latiff (Jee). Kedua-dua pelakon ini dinilai menghidupkan watak suami isteri iaitu Asrul dan Sara dengan cemerlang hingga menyentuh perasaan penonton dengan adegan air mata.
Rosyam berkata, Jee mempunyai bakat menjadi pelakon walaupun lebih dikenali sebagai penyanyi sebelum ini. Menerusi peluang pertama yang diberikan, Jee masih 'disunting' untuk musim kedua.
"Sejujurnya lakonan Jee pada awal penggambaran drama musim kedua kali ini agak kritikal kerana setahun dia tidak berlakon. Dalam tempoh seminggu penggambaran, lakonannya agak goyang.
"Atas sebab itu, apabila Jee kembali berlakon saya terlebih dulu merakam adegan yang 'ringan' untuk membiasakan dirinya sebelum adegan yang lebih mencabar.
"Untuk musim kedua, setiap watak mempunyai plot sendiri yang dikembangkan. Sebolehnya saya tidak mahu penonton menilai musim kedua lebih teruk berbanding musim sebelumnya.
"Memang ketika penggambaran, saya 'dera' dia dan saya cakap terus terang kepadanya jika saya tidak berpuas hati dengan lakonan yang ditunjukkan. Tidak dinafikan musim kedua lebih banyak adegan air mata dan daripada adegan sebegini, saya mencabar maruah dia agar memberikan hasil lakonan terbaik," katanya.
Berdasarkan respons penonton pada musim pertama, drama ini turut menarik minat stesen Suria TV di Singapura dan kini ditayangkan di sana. Rosyam menyatakan dia bersama pelakon lain termasuk Datuk Rahim Razali, Watie Sadali, Aida Radzwill, Norman Hakim, Hisham Ahmad Tajuddin, Balkisyh Samundur Khan, Mahmud Ali Bashah dan Dian P Ramlee turut menantikan peluang mengadakan promosi di Kota Singa itu.
Drama arahan Mohd Nazir Juhan (Jet Lee) ini masih menggunakan skrip karya Sharifah Abu Salem akan disiarkan di TV2 pada setiap Rabu jam 9.30 malam bermula 12 Mei ini. "Saya berhasrat menjadikan drama ini sebagai telenovela selepas ini. Ini saranan saya kepada RTM dan saya percaya drama ini mampu menjadi penanda aras pada drama yang membawa kisah keluarga.
"Barisan pelakon dalam drama ini memberikan kekuatan seperti Datuk Rahim yang memberikan lakonan versatil dan terselit elemen komedi dalam adegan yang dilakonkan bersama saya.
"Menambah tarikan, Jee turut mencipta lagu tema drama ini berjudul Ku Di Sini dengan lirik ciptaannya sendiri bersama komposer Ross Ariffin. Bagi saya, Jee adalah artis yang bijak menggunakan peluang yang ada. "Saya berkata kepadanya jika lagu itu tidak sedap, saya tidak akan terima. Namun, apabila lagu diperdengarkan saya suka dan berasakan ia menjadi promosi besar untuk drama ini kerana menjadi single terbaru Jee selepas ini," katanya.
Bagi Jee, 40, kemunculan pertama menerusi drama bersiri 26 episod ini banyak memberi pengalaman baru kepadanya belajar aspek lakonan. Dia berdepan cabaran melakonkan lebih banyak adegan air mata.
"Memang diikutkan adegan yang memerlukan saya menangis lebih banyak berbanding musim pertama. Ada adegan memerlukan saya sedih dengan bermain emosi dalaman tanpa menangis keterlaluan.
"Ada adegan saya bersama Dian yang melakonkan watak ibu Sara membuatkan emosi saya seperti berdialog dengan ibu sendiri. Begitu juga adegan romantik bersama Rosyam yang ada ketika membuat perasaan saya jadi terkejut. Musim baru kali ini menyampaikan kisah yang lebih mendalam pada setiap watak," katanya.
Penyanyi popular menerusi lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini turut menyatakan pengalaman lakon yang ditimba sebelum ini antaranya membintangi sitkom Lontong, drama Kudrat Iman dan teater Rubiah dan muzikal Tun Abdul Razak banyak memberi panduan padanya "Jika difikirkan, saya sebenarnya takut untuk terus berlakon kerana pemalu dan sering menganggap setiap lakonan membawa tanggungjawab berat.
"Apapun, saya belum berpuas hati dengan lakonan yang ditunjukkan dan saya akan terus perbaiki kelemahan serta belajar aspek lakonan dengan mendalam," katanya.
Sumber : Harian Metro
No comments:
Post a Comment