Monday, May 10, 2010

Air mata Jee di jiwa Sara



TIADA siapa pun yang mahu ditakdirkan gagal dalam hidup berumahtangga. Apatah lagi, bukan sekali gagal dalam perkahwinan, sebaliknya ia berlaku sebanyak dua kali.

Ia tentunya pengalaman hidup yang perit untuk dilalui oleh seorang wanita, apalagi bagi membesarkan anak-anak hasil perkongsian hidup selama ini tanpa suami di sisi.

Liku-liku perjalanan hidup seperti itu bukan setakat dilalui oleh masyarakat biasa, malah golongan artis juga tidak terkecuali merasainya terutama dalam menggalas gelaran sebagai ibu tunggal.

Fauziah Latiff merupakan antara penyanyi popular tanah air yang pernah melalui kegetiran hidup saat rumahtangganya bergolak dan kemudiannya terpaksa pula menerima hakikat kembali hidup secara solo.

Walaupun perit, tetapi Fauziah atau lebih mesra disapa Jee, menggunakan keperitan hidup sendirian dengan meluahkannya dalam karier barunya sebagai pelakon.

Penyanyi berusia 40 tahun ini misalnya, menggunakan bakat dan emosi berdasarkan pengalaman hidupnya dalam menghayati watak lakonannya.

Jee mengungkap rasa dan penghayatannya itu sewaktu melakonkan watak Sara menerusi drama Gelora Di Hati Sara musim pertama dan kedua sebanyak 26 episod yang merupakan drama bersiri pertama lakonannya.

Menurutnya, biarpun pernah gagal dua kali dalam perkahwinan, tetapi jalan cerita drama terbitan Suhan Movies itu tiada kena mengena dengan perjalanan hidupnya selama ini.

Sebaliknya, Jee merangkumkan semua emosi dan pengalaman hidup yang pernah dilaluinya dalam menghayati watak Sara yang menghadapi pergolakan dalam rumahtangganya.

"Sebenarnya, watak Sara dalam drama ini tiada kena mengena dengan perjalanan hidup Jee. Ini adalah cabaran baru Jee. Sebagai pelakon, Jee cuba melakonkan pelbagai watak.

"Paling sukar berlakon dalam drama ini ialah untuk mengalirkan airmata. Jee kena hayati watak ini dengan bersungguh-sungguh. Mungkin pengalaman sedih Jee selama ini banyak membantu melakonkan watak itu.

"Apabila Jee 'masuk' dalam emosi itu, maka mudahlah airmata Jee mengalir sewaktu berlakon dalam drama ini," katanya sewaktu ditemui Hits baru-baru ini.

Pada pertemuan di majlis partonton sedutan drama itu di Pawagam Mini P. Ramlee di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu, Jee seakan-akan puas dengan lakonannya.

Kepuasan ibu kepada dua anak lelaki berusia 10 dan 12 tahun itu dapat dilihat apabila bidang lakonan yang baru diceburinya sejak akhir-akhir ini banyak memberi sinar baru dalam karier seninya.

Jee bukan setakat mahu melupakan pengalaman pahit silamnya, malah berharap bidang lakonan yang diceburinya sedikit sebanyak akan menambahkan lagi sinar kebahagiaan dalam hidupnya.

"Jee sendiri sudah tidak berapa ingat berapa tahun Jee bercerai. Jee pun malas hendak fikirkan lagi tentang perkahwinan. Kalau ada jodoh, adalah. Itu adalah kerja Tuhan.

"Kalau Jee terlalu fikirkan soal jodoh, takut nanti jadi sakit hati. Buat masa ini, Jee lebih suka fikirkan yang mudah-mudah sahaja. Tidak mahu sakit kepala," ujarnya.

Sungguhpun begitu, Jee sama seperti wanita lain yang tabah hatinya di mana gagal dua kali dalam perkahwinan tidak bererti gagal selamanya terutamanya dalam konteks mencari calon suami.

Justeru, penyanyi bersuara lantang ini tidak menganggap kenyataannya itu seperti serik, sebaliknya dia redha dalam soal mencari calon suami yang lebih sesuai dengannya pada masa depan.

"Jee bukannya serik, tetapi Jee tidak mahu terlalu mengharap dalam soal jodoh. Bagi Jee, hidup harus diteruskan tidak kiralah dalam apa juga keadaan. Apa pun Jee tetap bersyukur.

"Jee bersyukur pada Tuhan kerana setakat ini telahpun dikurniakan dua orang anak. Jee juga masih mempunyai seorang ibu yang cukup penyayang dan memahami diri Jee," katanya.

Pembabitan Jee dalam bidang lakonan, selain masih aktif menyanyi, banyak membuka ruang kepada bakat seninya yang terpendam selama ini untuk dinilai oleh para peminatnya.

Sambil mengakui pembabitannya dalam Gelora Di Hati Sara 2 yang akan ditayangkan di TV2 pada setiap Rabu mulai 12 Mei ini pukul 9.30 malam banyak didorong oleh Rosyam Nor.

Penerbit Suhan Movies itu kata Jee, banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar dalam menghayati watak Sara yang menghadapi konflik dengan suaminya, Asrul (lakonan Rosyam Nor).

Penggambaran drama bersiri musim kedua itu yang diadakan selama tiga bulan secara tidak langsung telah menambahkan lagi aktiviti dalam kehidupan sehariannya.

"Selama tiga bulan itu, Jee memang sibuk dan memberi sepenuh perhatian pada penggambaran drama tersebut. Walaupun penat tetapi Jee seronok berlakon dan kalau ada masalah pun ia boleh dilupakan sekejap.

"Ini kerana, sebelum ini kalau tidak menyanyi atau berlakon Jee banyak menghabiskan masa dengan aktiviti-aktiviti di luar. Contohnya, aktiviti menyelam atau scuba diving.

"Selain itu, Jee juga sering menunggang motosikal berkuasa tinggi atau superbike bersama kawan-kawan Jee. Jee memang sukakan aktiviti luar yang lasak dan mencabar fizikal dan minda.

"Bagi Jee, hidup di dunia ini terlalu singkat. Selagi ada masa, kemampuan dan kesihatan yang baik, ini adalah masa yang terbaik buat Jee untuk memenuhi minat Jee itu," jelasnya lagi penuh yakin pada petang itu.

Selain Jee dan Rosyam, Gelora Di Hati Sara 2 turut dilakonkan oleh Watie Sadali sebagai (Tengku Marina), Datuk Rahim Razali (Datuk Taufik) dan Norman Hakim (Iskandar).

Drama bersiri sebanyak 26 episod arahan Mohd. Nazir Juhan itu merupakan kesinambungan Gelora Di Hati Sara 1 yang ditayangkan tahun lalu dengan rating lebih sejuta penonton.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments: