Wednesday, May 12, 2010

Suria TV pilih Gelora Di Hati Sara 1


GELORA Di Hati Sara musim pertama yang ditayangkan di TV2 pada tahun lalu bukan sahaja mendapat sambutan para penonton di negara ini, tetapi juga stesen televisyen di Singapura.

Suria TV, stesyen televisyen yang sering menayangkan drama-drama Melayu di republik itu, kini sedang menayangkan musim pertama drama berkenaan sejak bulan lalu.

Rosyam Nor selaku penerbit Suhan Movies berkata, biarpun Gelora Di Hati Sara 1 sedang ditayangkan di Suria TV tetapi stesen itu sudahpun meminta untuk menayangkan musim kedua.

"Saya harap sambutan drama ini akan membuka mata RTM supaya ia boleh dipanjangkan lagi. Mungkin dalam bentuk telenovela pada masa depan," ujarnya kepada Hits.

Selain memaparkan masalah rumah tangga, Rosyam tidak menafikan penampilan sulung Fauziah Latiff atau Jee dalam drama itu menjadi daya penarik utama drama berkenaan.

Katanya, lagu terbaru Jee berjudul Ku Di Sini yang dijadikan lagu tema Gelora Di Hati Sara 2 juga akan membantu mempopularkan drama tersebut.

"Dalam Gelora Di Hati Sara 1, kami menggunakan lagu-lagu Jee yang dipetik daripada album-album lamanya sebagai lagu-lagu latar dalam drama ini.

"Gelora Di Hati Sara 2 yang menelan kos RM36,000 bagi setiap episod itu secara tidak langsung mampu melonjakkan nama Fauziah sebagai penyanyi," kata Rosyam.

Selepas Gelora Di Hati Sara 2, kata Rosyam, Suhan Movies bakal muncul dengan sebuah telemovie berjudul Sutera Di Sebalik Wajah yang akan ditayangkan sempena Hari Bapa tidak lama lagi.

Dilabel penulis Suhan Movies

NAMA Sharifah Abu Salem sebagai penulis skrip dalam kebanyakan drama bersiri terbitan Suhan Movies bukanlah suatu perkara yang baru buat para penonton televisyen di negara ini.

Penulis skrip berusia 49 tahun ini banyak menulis skrip drama popular terbitan syarikat itu seperti Rindu Semakin Jauh, Masih Ada Cinta, Airis dan Salam Terakhir.

Terbaru, Sharifah turut menyumbangkan skrip tulisannya untuk Gelora Di Hati Sara 2 yang akan disiarkan setiap Rabu di TV2 mulai 12 Mei ini pukul 9.30 malam sebanyak 26 buah episod.

Drama bersiri itu merupakan cetusan idea Sharifah atau lebih dikenali sebagai Kak Pah yang diteruskan ekoran sambutan para penonton terhadap musim pertamanya pada tahun lalu.

Ekoran kekerapan skripnya diangkat ke layar kaca melalui drama-drama bersiri Suhan Movies menyebabkan dia pernah dilabel penulis syarikat produksi tersebut.

Menurut ibu kepada empat orang anak ini, dia tidak kisah apabila dilabelkan sebagai penulis Suhan Movies kerana sudah serasi bekerjasama dengan syarikat produksi tempatan itu.

"Sebenarnya, saya senang bekerjasama dengan mana-mana juga syarikat produksi tetapi saya lebih serasi dengan Suhan Movies. Saya sudah bekerjasama dengan mereka sejak tahun 2004.

"Malah, saya dan Suhan Movies juga kalau sekali bermesyuarat akan berbincang tiga hingga empat projek dalam penerbitan drama-drama mereka kerana ia lebih memudahkan kedua pihak," katanya ketika ditemui pada majlis pratonton sedutan drama bersiri itu baru-baru ini.

Jelas Sharifah yang merupakan bekas wartawan Kumpulan Karangkraf ini, ekoran keakraban hubungan itu, dia tiada masalah memenuhi kriteria skrip drama-drama syarikat terbabit.

Malah, pengalamannya sebagai wartawan selama 24 tahun banyak membantu menghasilkan skrip-skrip bermutu, apatah lagi selepas menjadi penulis skrip sepenuh masa sejak dua tahun lalu.

"Saya mengambil masa sebulan untuk menyiapkan skrip drama ini. Paling cepat dalam satu hari saya boleh menyiapkan dua hingga tiga episod kerana masa saya sekarang banyak bersama keluarga di rumah.

"Gelora Di Hati Sara 2 adalah cerita rekaan semata-mata. Saya gunakan pengalaman saya selama ini bagi mengolah jalan cerita dan watak-watak di dalamnya.

"Contohnya, daripada pembacaan saya di akhbar, majalah dan tontonan saya di televisyen. Semua pengalaman saya itu banyak membantu saya dalam menulis skrip drama," jelasnya lagi.

Selain menulis skrip drama radio dan televisyen sejak berusia 14 tahun lagi, Sharifah juga telah menghasilkan 16 buah novel antaranya berjudul Gerimis Di Hati, Tak Seindah Mimpi, Tak Semanis Impian dan Tiada Lagi Mimpi.

Sumber : Utusan Malaysia

No comments: