Thursday, July 31, 2008

Jee "kekasih baru" Rosyam Nor????


NAMA-NAMA seperti Rita Rudaini, Eja, Rozita Che Wan dan Haliza Misbun semuanya sudah berpeluang berdampingan berlakon di samping aktor kacak, Rosyam Nor dalam drama bersiri yang sering kali mengisi slot Samarinda.

Malah tidak dinafikan, nama mereka yang disebutkan tadi sedikit sebanyak telah berjaya melonjakkan nama mereka di persada seni tanah air dan menjadikan mereka sebagai aktres yang diminati ramai.

Terbaru, penyanyi jelita, Fauziah Latiff atau lebih mesra dengan panggilan Jee, akan memasuki satu fasa baru dalam karier seninya apabila bakal bergandingan dengan Rosyam dalam beberapa projek terbaru terbitan syarikat aktor berkaliber itu.

Mungkin dengarnya agak mustahil apabila Jee akan menjadi seorang pelakon.

Masakan tidak, Jee yang semua kenali adalah seorang penyanyi dan sepanjang menjadi artis rakaman, belum pernah dia berlakon dalam drama tempatan apatah lagi dalam sebuah filem.

Cuma dia pernah beraksi di pentas teater dalam pementasan Rubiah sekitar tahun 1999.

Tetapi itulah yang berkali-kali dikatakan oleh Rosyam sementelah pihak media juga bagaikan tidak percaya apabila dikhabarkan dengan berita itu.

Bertemu dengan Rosyam sewaktu majlis pelancaran drama bersiri, Ku Milikmu di ibu negara baru-baru ini, aktor kelahiran Kuala Lumpur ini menjelaskan, sudah tiba masanya peminat Jee melihat dimensi baru dalam karier seninya.

Kata Rosyam, tawaran itu diajukan kepada Jee dua tahun yang lalu.

Ketika itu, Jee menyuarakan rasa kurang yakin dengan kemampuannya untuk berlakon dalam drama mahupun filem.

“Tetapi, saya katakan kepadanya, cuba lihat skrip dulu dan kemudian hubungi saya semula.

“Agak lama juga untuk mendapatkan jawapan dan akhirnya, dia menyatakan persetujuannya untuk mengorak langkah sebagai seorang pelakon. Saya memang tahu dia ada bakat sebagai seorang pelakon.

“Dari lakonannya dalam klip video nyanyiannya, dia sememangnya mempunyai potensi untuk bergelar pelakon. Malah, saya juga tidak mempunyai masalah untuk mengajarnya dan membentuk dirinya menjadi seorang pelakon,” tutur Rosyam mendedahkan rahsia beliau memujuk Jee.

Sebagai permulaan, Jee akan berlakon di samping Rosyam dan Fauziah Nawi dalam sebuah drama yang masih lagi belum berjudul yang akan ditayangkan pada hari raya nanti untuk siaran RTM.

Bukan itu sahaja, tahun hadapan, wajah anggun Jee akan dapat ditatap menerusi beberapa drama bersiri antaranya sebuah drama bersiri yang menggunakan judul lagu popularnya, Teratai Layu Di Tasik Madu yang bakal mengisi slot Samarinda di TV3.

Sebuah lagi drama bersiri adalah Gelora Di Hati Sara untuk siaran RTM dan sudah semestinya, Jee akan digandingkan bersama Rosyam yang juga bertindak sebagai penerbit.

Sebetulnya, dalam rancak berbual bercerita mengenai projek barunya itu, Rosyam turut ditanya mengenai ‘kehilangannya’ di layar televisyen.

“Saya masih lagi bernafas dalam industri. Memang saya akui, wajah saya semakin jarang ditatap di televisyen mahupun filem.

“Tetapi, itu bukan bermakna saya diam mahupun merajuk. Saya kini lebih aktif di belakang tabir sebagai penerbit dan juga sibuk dengan perniagaan saya,” katanya Aktor Terbaik Festival Filem Malaysia pada tahun 2003.

Namun di sebalik itu, hakikat sebenar dia jarang berlakon adalah disebabkan kehilangan dua insan tersayang dalam hidupnya telah pergi buat selama-lamanya yang membuatnya hilang semangat.

Mereka yang dimaksudkan adalah bapanya, Shamsuddin Mohamed Yusof yang meninggal dunia awal tahun ini akibat jangkitan paru-paru manakala abangnya, Zainal Ramli Shamsuddin pula menemui ajal tahun lalu kerana serangan jantung.

Bukan itu sahaja, Rosyam atau nama sebenarnya, Mohamed Noor Shamsuddin dengan terbukanya memberitahu, dia juga mahu berehat seketika selepas 25 tahun mengabdikan diri dalam dunia lakonan.

Watak matang
Aktor yang mula mencipta nama menerusi filem Gila-Gila Remaja pada tahun 1986 ini berkata, sudah sampai masanya untuk dia lebih selektif memilih watak yang sesuai dengan dirinya.

“Saya rasa memang berhak untuk saya kini memilih watak yang sesuai. Kalau memegang watak hero sekalipun, saya perlu memikirkan watak yang matang dan seiring dengan usia saya,” jelasnya sambil menyatakan contoh lakonannya dalam drama bersiri, Iris yang pernah mengisi slot Samarinda tidak berapa lama dulu.

Begitu juga wataknya dalam drama yang akan meruntun jiwa penonton pada malam raya kelak iaitu Mengejar Sinar apabila dia menjadi seorang suami yang menyalahkan dirinya atas kematian isterinya tanpa menyedari semua yang berlaku telah tertulis di loh mahfuz.

Drama berkenaan yang akan ditayangkan di TV3 turut menyaksikan gandingannya bersama aktres versatil, Fauziah Nawi untuk sekian kalinya di samping beberapa nama hebat lain seperti Aziz M. Osman, Erma Fatima, Ismail Yaacob dan pelakon cilik, Erynne Erynna.

“Saya mahu berdakwah melalu drama-drama terbitan syarikat saya dan Mengejar Sinar juga adalah salah satunya yang saya sifatkan sarat dengan mesej yang cukup berguna.

“Televisyen salah sebuah medium yang cukup baik dalam menyalurkan mesej yang berguna kepada masyarakat,” ujarnya sambil memberitahu drama berkenaan merupakan tahun keenam dia menerbitkan drama malam raya untuk TV3.

Dia juga bersyukur kerana peluang terus terbuka dan kepercayaan yang diberikan oleh stesen televisyen tempatan terhadap syarikatnya, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. membuatkannya begitu semangat menerbitkan karya berkualiti.

Perihal Ku Milikmu
Rosyam juga menongkah arus apabila pertama kali menerbitkan drama komedi romantik, Ku Milikmu yang akan mula ditayangkan pada 5 Ogos depan bagi menggantikan drama Sindarela untuk slot Lestary.

“Apa yang saya harapkan agar drama ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan dari penonton. Ia merupakan sebuah drama cinta remaja yang pasti mampu memikat penonton,” jelasnya.

Ku Milikmu yang diarahkan oleh Along Kamaludin itu membariskan pelakon muda berbakat iaitu Zizan Nin, Eira Syazira, Farahdhiya, Liza Othman dan Khaty Fauziah.

Sumber : Utusan