Sumber : Kosmo
Oleh HARYATI KARIM
WAJAH yang manis, lembut tutur katanya dan penuh kesopanan. Itulah gambarannya apabila mengenali wanita bernama Fauziah Latiff atau lebih mesra disapa sebagai Gee.
Jika dulu dia pernah berada di puncak populariti menerusi kerjaya nyanyiannya, kini dia lebih banyak berdiam diri dan secara tiba-tiba membuat kemunculan semula sebagai pelakon di samping pelakon handalan Rosyam Nor.
Percubaan pertamanya menerusi telemovie Kudrat Iman menjadi, apabila drama tersebut diulang tayang sebanyak empat kali oleh pihak RTM dan kini dia muncul pula dengan drama bersiri terbaru berjudul Gelora Di Hati Sara.
Gee yang ditemui di majlis pratonton drama tersebut di Finas baru-baru ini menjelaskan perasaan terharunya apabila diberi peluang untuk menceburi dunia lakonan yang cukup asing baginya sebelum ini.
"Gee tak pernah berlakon, memang takut juga sebab kalau tidak menjadi susah juga, tetapi alhamdulillah dengan tunjuk ajar abang Rosyam dan pelakon lain saya dapat lakukannya.
"Dan bila saya lihat sendiri lakonan saya di skrin, saya gementar dan bimbang. Apa pun saya banyak belajar benda yang baru, dan saya sendiri dapat menilai tahap saya sekarang ini umpama budak di sekolah tadika dalam bidang lakonan," jelasnya.
Tambahnya, sungguhpun mendapat sokongan banyak pihak terutama peminatnya yang gembira dengan kerjaya barunya, namun, Gee tidak pernah sesekali menepikan cintanya terhadap bidang nyanyian.
"Gee tetap orang yang sama, tidak berubah. Kerjaya lakonan sekadar percubaan, kalau ada masa lapang baru saya buat, yang utamanya masih lagi nyanyian.
"Ini kerana masih banyak yang perlu saya belajar jika benar-benar mahu berada dalam dunia lakonan dan ia bukan satu perkara yang mudah. Saya harus mempelajarinya secara berperingkat, tidak seperti nyanyian yang sudah sebati dengan diri saya," ujarnya.
Ini bermakna, Gee tidak akan berubah angin untuk terjun ke dalam dunia lakonan kerana lakonan dilakukannya hanyalah jika mempunyai masa yang terluang saja.
"Lakonan dan nyanyian berbeza, kalau saya memilih untuk berlakon saya harus menolak semua tawaran nyanyian yang datang pada waktu yang sama, begitulah sebaliknya,
"Oleh itu, saya harus memilih salah satu dalam satu-satu masa. Hujung tahun ini saya menerima banyak tawaran nyanyian yang telah ditempah awal, kerana itu saya harus menolak mana-mana tawaran lakonan.
"Bukan saya tidak mahu berlakon lagi, tetapi saya berperang dengan masa. Sebagai orang baru dalam lakonan komitmen saya lebih tinggi daripada nyanyian, dan apabila bertembung saya harus memilih salah satu. Buat masa ini biarlah saya kekal dengan nyanyian dan lakonan hanyalah sekadar sambilan," terangnya.
Walaupun masih baru, bakat yang ditonjolkan cukup menyerlah dan mutu lakonannya dilihat boleh pergi lebih jauh apatah lagi, dia mendapat bimbingan Rosyam Nor yang setia memberi tunjuk ajar kepadanya.
"Dapat berlakon dan belajar dengan abang Rosyam, baru saya tahu kerja sebagai pelakon bukan perkara yang mudah walaupun dalam skrin nampak senang.
"Saya sendiri pernah kena marah dan tengking daripada abang Rosyam kerana lakonan tidak mengikut kehendaknya. Mula-mula tersentak juga, tetapi saya tahu dia marah untuk kebaikan saya juga dan saya ambil sebagai pengajaran," tuturnya lagi.
Perang cinta, bapa dan anak
Berbicara tentang drama terbarunya Gelora di Hati Sara, Gee memberitahu, walaupun dikelilingi pelakon berpengalaman dan pernah berlakon dalam sebuah drama, tetapi perasaan gemuruhnya masih lagi menebal dalam diri sementelah dia memegang watak utama sebagai Sara.
"Sebagai orang baru, saya banyak buat silap dan suka sangat ketawa, jadi bila pelakon lain sudah dalam mood watak mereka, saya pula yang masih tercari-cari mood.
"Itu yang menyebabkan saya tertekan kerana ingin buat yang terbaik dan tidak mahu menyusahkan pelakon lain kerana kelemahan saya," katanya.
Menurut Rosyam pula, dalam banyak-banyak adegan yang terdapat dalam drama ini, adegan romantik antaranya dan Gee sebagai pasangan suami isteri antara paling sukar untuk dilakukan Gee.
"Dia seorang yang cukup pemalu, bila berada di harapan orang ramai dan kena buat pula babak romantik, dia jadi serba tidak kena.
"Saya faham dia ramai peminat dan dia sebelum ini pun dia tidak pernah bergambar mesra dengan mana-mana artis lelaki, inikan pula berlakon, lagilah sukar untuknya.
"Tetapi akhirnya dia boleh lakukan juga selepas diyakinkan yang peminatnya akan memahami yang ini hanyalah lakonan semata-mata," ujar Rosyam lagi.
Tambah Rosyam, drama 26 episod ini penuh dengan konflik keluarga, cinta dan perasaan, bakal mengundang emosi terhadap penontonnya terutamanya buat peminat setia Gee.
Drama yang diterbitkan oleh Suhan Movies ini mengisahkan Sara (Gee) dan Asrul (Rosyam) berkahwin di luar negara ketika belajar dan sekembalinya mereka ke Malaysia, mereka harus menyembunyikan perkahwinan kerana bimbang akan mengejutkan ibu Asrul yang sedang sakit.
Dan dalam masa yang sama, bapa Asrul, Datuk Taufik (Datuk Rahim Razali) pula telah jatuh cinta kepada Sara yang ketika itu secara kebetulan bertugas sebagai peguam syarikat milik keluarga Asrul.
Selain Gee dan Rosyam, drama ini turut dibintangi oleh Aida Radzwill, Datuk Rahim Razali, Hisham Ahmad Tajudin, Watie Sadali, Ismail Yaacob dan Balkish Samundurkhan.
Buat mereka yang ingin menyaksikan kesudahan drama ini jangan lupa saksikan Gelora Di Hati Sara setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis di Slot Astaka, 10.30 malam di RTM1.
No comments:
Post a Comment