Islam merupakan agama yang menyeluruh secara duniawi dan ukhrawi dalam menenuhi keperluan hidup manusia di dunia dan akhirat. Aspek rohani dan fizikal yang terkandung dalam ajaran Islam menepati keperluan kehidupan umat sejagat. Ajarannya tidak hanya menumpukan kepada ibadat khusus semata-mata dalam menilai ketaatan dan keingkaran hamba-Nya malah ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan dan keinginan manusia. Syariat Islam juga turut memenuhi fitrah manusia yang sukakan hiburan yang menjurus kepada keinginan berada dalam keadaan gembira.
Kekeliruan berlaku apabila umat Islam keliru jenis hiburan yang dibenarkan dan tidak dibenarkan mengikut syarak. Aspek ini perlu diperjelaskan dan diperhalusi bersama agar segala bentuk hiburan yang dinikmati atas anugerah Allah itu benar-benar mengikut ketetapan ajaran Islam.
Hiburan yang tidak dibenarkan dalam Islam adalah hiburan yang melalaikan tanggungjawab umat kepada penciptanya iaitu Allah s.w.t. Ia menjadi haram jika ia melibatkan perbuatan yang ditegah agama. Misalnya lelaki dan perempuan berasak-asakan dalam sebuah konsert yang mana ia mampu menimbulkan perasaan berahi. Justeru itu, hiburan juga haram apabila yang disertai dengan perbuatan-perbuatan haram lainnya seperti: di persidangan arak, dicampur dengan perbuatan cabul dan maksiat, maka di sinilah. pelakunya, dan pendengarnya diancam dengan siksaan yang sangat azab, iaitu sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w :
"Sungguh akan ada beberapa orang dari ummatku yang minum arak, mereka namakan dengan nama lain, kepala mereka itu boleh dilalaikan dengan bunyi-bunyian dan nyanyian-nyanyian, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu kedalam bumi dan akan menjadikan mereka itu seperti kera dan babi." (Riwayat Ibnu Majah)
Selain itu, hiburan yang menjurus ke arah kemunafikan dan syirik juga adalah amat ditegah dalam Islam. Contohnya, Ibnu Tamiyah ada menyatakan bahawa hiburan mampu menjadikan seorang peminat mencintai hiburan melebihi cintanya kepada Allah s.w.t. Perkara ini perlu dihindari agar kekhayalan dan kealphaan terhadap hiburan tidak menjadikan manusia lupa akan tanggungjawab mereka sebagai khalifah di muka bumi justeru sebagai makhluk ciptaan Allah s.w.t. Ibnu Mas’ud juga pernah berkata “Nyanyian menimbulkan kemunafikan dalam hati seperti air menumbuhkan sayuran, sedang zikir menumbuhkan iman dalam hati seperti air menumbuhkan tanaman.
Hiburan yang dibenarkan di dalam Islam terlalu banyak, cuma kadang kala umat kita terlepas pandang akan perkara ini. Di antara hiburan yang dapat menghibur jiwa dan menenangkan hati serta sedap didengari telinga, ialah nyanyian. Hal ini dibolehkan oleh Islam, selama ia tidak dicampuri perkataan yang tidak berfaedah dan yang kiranya dapat mengarah kepada perbuatan dosa. Dan tidak salah pula kalau nyayian tersebut disertainya dengan muzik yang tidak membangkitkan nafsu. Bahkan disunatkan dalam situasi gembira, untuk melahirkan perasaan riang dan menghibur hati, seperti pada hari raya, perkahwinan, kedatangan orang yang sudah lama tidak datang, aqiqah dan di waktu lahirnya seorang bayi. Sabda Rasulullah s.a.w:
“Yang membezakan antara halal (nikah) dan haram (zina) adalah memukul gendang dan lagu-lagu waktu akad nikah.” (Riwayat Ahmad)
Selain itu, nasyid yang mengajak manusia kearah kebaikan dan mempunyai doa di dalamnya adalah amat digalakkan dalam islam. Syair yang berisi tauhid atau cinta kepada Rasulullah dan yang menyebut akhlaknya atau mengajak manusia berjihad di jalan Allah, memperbaiki budi pekerti, mengajak persatuan, tolong-menolong sesama umat, menyebut dasar-dasar Islam, berisi hal-hal yang bermanfaat bagi masyarakat dan lain sebagainya adalah dibenarkan dalam Islam.
Gendang seperti rebana yang dibenarkan hanya dibolehkan pada waktu hari raya dan perkawinan untuk kaum wanita dan tidak bolah dipakai pada waktu berzikir, kerana Rasulullah dan para sahabatnya tidak pernah melakukannya.
Para ahli sufi membolehkan rebana utuk diri mereka pada waktu berzikir dan menjadikannya sunnah, padahal sebenarnya adalah bid’ah. Rasulullah s.a.w bersabda :
“Jauhilah perkara-perkara baru, kerana setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat.”
Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menghindarkan diri dari hiburan yang melalaikan. Antaranya ialah menjauhkan diri dari mendengar nyanyian dan muzik melalui radio, televisyen dan lain-lainnya terutama yang mengeluarkan perkataan-perkatan yang tidak berfaedah. Penawar yang paling mujarab adalah membaca Al-Qur’an, terutama surat Al-Baqarah. Sabda Rasulullah s.a.w :
“Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang di dalamnya dibacakan surat Al-Baqarah.: (riwayat Muslim).
Allah Subhanahu wata'ala berfirman :
“Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu palajaran dari Tuhanmu dan penyembuh dari penyakit dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang beriman.” (Yunus : 57)
Secara kesimpulannya, hiburan dibenarkan dalam Islam cuma ia perlulah berlandaskan syariat dan berpandukan kepada batas-batas yang telah digariskan di dalam hukum agama Islam. Menghindari sesuatu yang batil merupakan satu pahala, jadi aspek kelalaian, kealphaan, pembaziran, munafik dan syirik hanya akan mendatangkan keburukan kepada umat manusia di mana tiada keberkatan Allah di dalam hidup. Berpegang pada konsep Islam iaitu iman, amal dan ihsan mampu menguatkan hati dalam mencintai Allah s.w.t lebih dari segalanya.
-Hak Milik: Azlan Ali-
No comments:
Post a Comment