TEATER muzikal Tun Abdul Razak membuka tirainya pada 16 Ogos lalu di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) dan akan berakhir malam ini.
Apa yang membanggakan, pada hari pertama pementasan tiket habis dijual. Begitu juga dengan tiga malam seterusnya. Pastinya, kejayaan itu merupakan satu berita gembira buat semua krew produksi muzikal berkenaan.
Apatah lagi, ia dipentaskan sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-52 hujung bulan ini.
Bukan mudah juga untuk mengajak masyarakat dan penonton tempatan menonton naskhah sebegini.
Namun, jangan cepat menelah dan membuat andaian sekali gus menganggap ia pementasan yang berat.
Teater muzikal Tun Abdul Razak bukanlah naskhah yang menceritakan sejarah Allahyarham Tun Razak sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada 14 Januari 1976 di London.
Sebaliknya, ia mengupas perjuangan serta kisah yang tidak pernah diketahui umum sebelum ini yang berlaku dalam dirinya sebelum dan semasa bergelar Perdana Menteri dari tahun 1970 hingga 1976.
Semangat anak muda
Memang wajar sekali pementasan ini dipentaskan kerana ia memberi peluang kepada generasi muda hari menghayati perjuangan negarawan ulung itu.
Menyingkap sejarah, teater muzikal Tun Abdul Razak pada mulanya hanya diterbitkan dalam skala yang kecil sahaja pada Oktober tahun lalu.
Ia merupakan projek yang dikendalikan sepenuhnya oleh graduan serta tenaga pengajar Akademi Seni dan Warisan dan Budaya (Aswara).
Sehinggalah ia menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyarankan teater ini dipentaskan semula.
Lantaran itu, Panggung Sari, IB dipilih untuk mengangkat naskah ini dalam skala yang lebih besar. Kali ini, ia dibahagikan kepada empat segmen yang merangkumi awal kepimpinan, sewaktu menjadi Perdana Menteri, kemuncak pentadbiran serta hari-hari terakhirnya.
Masih lagi diterajui sepenuhnya oleh graduan dan pelajar Aswara, produksi ini wajar dipuji dan disokong sepenuhnya oleh semua pihak.
Merangkumi 180 orang pelajar, graduan serta tenaga pengajar Aswara dalam pementasan ini termasuklah pemuzik orkestra yang terdiri daripada berbilang kaum yang mengendalikan perjalanan keseluruhan teater ini.
Hanya lima orang sahaja pemain yang bukan daripada institusi berkenaan termasuk Rashidi Ishak dan Fauziah Latiff yang masing-masing memegang watak sebagai Tun Abdul Razak dan Toh Puan Rahah serta Datuk Rahim Razali sebagai pengarah untuk teater ini.
"Ini adalah peluang untuk menonjolkan bakat mereka yang lahir daripada sebuah institusi yang diwujudkan untuk terus memelihara seni warisan bangsa kita.
"Itu adalah harapan saya untuk melihat pementasan ini mendapat sambutan daripada masyarakat dan penonton kerana naskhah ini adalah sesuatu yang cukup istimewa.
"Ingin juga saya tegaskan di sini ia bukanlah sebuah pementasan yang diangkat bulat-bulat daripada teks sejarah tetapi ia merupakan sebuah kisah yang berlaku dalam perjuangan Tun Razak," demikian kata Che Kem yang merupakan pengurus produksi serta merangkap salah seorang daripada panel skrip teater muzikal Tun Abdul Razak.
Cabaran
Che Kem atau nama sebenarnya, Mohd. Kamarulzaman Taib yang juga pensyarah di Aswara memberitahu, cabaran utama naskhah ini ialah untuk mengangkat naratif ceritanya yang berbeza dengan pementasan terdahulu.
Untuk itu juga, dia mahu menampilkan dua artis popular sebagai teraju utama dalam menarik perhatian penonton untuk menonton pementasan ini selain menerapkan elemen muzikal.
Mengenai pemilihan Rashidi atau Shidi sebagai figura tersohor itu, Che Kem memberitahu, dia mahu penonton serta peminat melihat sisi lain Shidi sebagai seorang pelakon.
Apatah lagi, ini merupakan kali pertama Shidi berlakon teater dan pastinya ramai yang mahu melihat bagaimana Shidi menggalas tanggungjawab besar itu.
"Pada awalnya, kami ada beberapa nama yang kami lihat berpotensi untuk memegang watak Tun Razak tetapi masing-masing terikat dengan komitmen selain jadual kerja yang padat.
"Kami juga mahukan muka baru dalam dunia teater dan tidak salah kami memilih Shidi. Kebetulan jadualnya yang senggang membolehkannya menerima tawaran kami," ujarnya.
Begitu juga dengan pemilihan Fauziah Latiff atau Jee yang memiliki wajah lembut dan sesuai membawakan watak Tun Rahah.
Selain Jee, dua calon lain yang terpilih adalah Misha Omar dan Syafinaz Selamat. Tetapi berikutan komitmen kerja, mereka tidak dapat melibatkan diri walaupun masing-masing teruja dengan tawaran itu.
Bangga
Selain itu, Che Kem melahirkan rasa bangganya kerana teater muzikal kali ini ditangani oleh seniman Rahim Razali yang juga seorang figura yang cukup tersohor dalam dunia teater tempatan.
Sementelah, teater muzikal Tun Abdul Razak merupakan teater pertama arahan Rahim selepas sedekad tidak berbuat demikian.
Ironinya, di pentas yang sama juga Rahim mengarahkan Keris Sang Puteri sewaktu IB mula dibuka 10 tahun lalu.
Mengenai pemilihan Rahim, pada awalnya Che Kem memberitahu, pengarah unggul itu hanya ditampilkan sebagai penasihat tetapi akhirnya, peluang itu diberikan kepadanya.
"Setidak-tidaknya, penglibatannya sebagai pengarah untuk teater ini membuka peluang kepada pelajar Aswara belajar serta menimba pengalaman dan ilmu daripada beliau.
"Saya sendiri banyak belajar daripadanya dan saya dapat melihat bagaimana para pelajar dan pelakon lain menerima input daripadanya dengan cukup senang," kata Che Kem.
Dalam usia yang sudah mencecah tujuh dekad, karisma Rahim masih utuh dan dia masih lagi aktif dalam dunia seni.
Tidak mungkin, katanya, untuk melupakan bidang yang sudah sebati dalam dirinya itu dan sewaktu berbicara mengenai teater muzikal ini, dia begitu senang apabila dapat melibatkan diri dalam teater muzikal ini.
Kagum
Sambil menyatakan kekagumannya dengan semangat anak-anak muda dalam produksi ini, beliau juga tidak terlepas daripada cabaran untuk mengarahkan teater muzikal ini.
"Apabila subjek seperti ini diangkat ke pentas teater, ia tidak boleh dilakukan sambil lewa atau sesuka hati sahaja. Dan, teater seperti ini bukan seperti teater muzikal popular yang lain.
"Disebabkan itu, skrip, muzik serta elemen drama perlu dijalin dengan baik dalam memastikan penonton dapat memahami jalan ceritanya dalam tempoh dua jam.
"Yang paling penting adalah objektif utama yang perlu memastikan penonton terhibur. Kalau tidak, ia bukanlah sebuah pementasan yang baik," ujar Rahim yang cukup terkenal dengan karya-karya autentik seperti Abang, Matinya Seorang Patriot dan Tsu-Feh Sofiah.
Bukan itu sahaja, beliau turut memuji Shidi dan Jee yang berjaya membawakan watak masing-masing dengan baik menerusi latihan dan bimbingan yang dijalankan hampir sebulan yang lalu.
Sebagai orang lama dalam industri, Rahim berhak memberikan pandangannya tentang pementasan ini apabila dia mengakui tempoh sebulan untuk menjalani latihan sebenarnya tidak mencukupi.
"Sebetulnya, untuk pementasan seperti ini ia memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk menyelami dan mendalami watak selain daripada elemen teatrikal yang lain.
"Semuanya adalah untuk memastikan semuanya berjalan dengan baik. Tetapi, biarpun tempoh singkat, saya puas hati dan gembira kerana apa yang dirancang berjalan dengan baik," kata Rahim yang pernah menerima anugerah Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali ini.
Serasi
Sebagai teraju utama, Shidi kini semakin serasi dan yakin dengan watak yang dibawakannya itu selepas menjalani latihan intensif bersama Rahim.
Mengakui pada awalnya, dia masih lagi samar dan kekok sementelah ini kali pertama dia beraksi di pentas teater.
"Alhamdulillah, saya sudah dapat apa yang saya cari-cari selama ini dan atas bimbingan Rahim jugalah, saya dapat menjayakan watak ini seperti mana yang dia mahukan.
"Saya menerima tawaran ini kerana saya tidak mahu menjadi seorang yang rugi untuk melepaskannya selepas saya berbuat demikian sedekad yang lalu juga menerusi teater Kasih Sang Puteri.
"Apa yang saya harapkan agar pementasan ini diterima dengan baik dan segala kritikan saya akan ambil dan perbaiki demi masa depan saya," kata suami kepada aktres Vanidah Imran ini penuh optimis.
Biarpun memiliki pengalaman menyanyi lebih 20 tahun, membintangi teater muzikal ini juga memberikan satu cabaran baru buat Jee dalam membawakan watak Tun Rahah.
Sama juga seperti Rahim, Jee kembali ke pentas teater selepas 10 tahun membintangi teater pertamanya, Rubiah juga di pentas yang sama.
"Menyanyi tiada masalah, cuma untuk melontarkan vokal sewaktu berdialog dengan emosi yang berbeza ada kalanya begitu menyukarkan.
"Sampai kena marah jugalah dengan tuan pengarah (ketawa). Alhamdulillah, Rahim banyak mengajar dan membimbing. Saya rasa bertuah kerana dapat berlakon di bawah arahannya," ujar Jee penuh yakin.
Sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment