KUALA LUMPUR 29 Julai - Kakitangan produksi serta barisan pelakon Muzikal Tun Abdul Razak (MTAR) yang bakal dipentaskan di Istana Budaya selama lima hari bermula 16 Ogos ini, kini giat menjalani latihan pementasan.
Berkonsepkan biografi ketokohan serta kepimpinan Tun Abdul Razak, teater yang sarat elemen muzikal itu dipentaskan bersempena Sambutan Kemerdekaan Negara ke-52 yang turut mengupas keperibadian tokoh negarawan itu.
Pembantu pengarah MTAR, Rosdeen Suboh berkata, tenaga produksi yang melibatkan hampir 100 orang termasuk pensyarah dan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kini memasuki bulan kedua latihan pementasan.
"Kita mengadakan latihan di Aswara setiap hari dari pukul 2 hingga 6 petang dan bersambung semula pada pukul 8 malam.
"Berbanding barisan pelakon utama, pelakon latar lebih memerlukan banyak latihan bagi memastikan penyampaian jalan cerita lebih dramatik," katanya pada sidang akhbar MTAR di Istana Budaya di sini semalam.
Dua pelakon utamanya, Rashidi Ishak dan Fauziah Latiff yang menghadiri sidang akhbar itu turut giat menjalani latihan bagi memastikan kelancaran pementasan tersebut.
Menurut Rashidi, beliau banyak membuat kajian terutamanya membaca dan membeli buku-buku berkaitan tokoh berkenaan.
"Bukan setakat buku malah pihak Aswara sendiri membantu saya mendapatkan rakaman visual dan teks-teks ucapan beliau dari pelbagai sumber termasuk Arkib Negara bagi membantu saya menghayati watak tersebut," katanya yang memegang peranan sebagai Tun Abdul Razak.
Bagi Fauziah yang memegang peranan sebagai Toh Puan Rahah Mohd. Noah pula, peluang bertemu wanita itu banyak membantunya memahami keperibadian ibu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu.
"Saya masih mencari 'Toh Puan Rahah' dalam diri dan saya hampir menemuinya. Secara peribadi beliau wanita yang sangat baik dan lemah-lembut.
"Menjadi 100 peratus seperti karakter beliau memang tak boleh. Bagaimanapun, saya cuba memahami gerak geri beliau dan memberikan yang terbaik untuk menghayati watak itu," katanya.
Sementara itu, Rektor Aswara, Datuk Omar Awang berkata, penceritaan, kreativiti serta skrip pementasan arahan Datuk Rahim Razali itu lebih luas berbanding skrip asal MTAR yang pernah dipentaskan di Panggung Eksperimen , Aswara pada Oktober tahun lalu.
Tambahnya, tiket-tiket boleh didapati dengan harga RM50, RM30 serta RM11.50 dan untuk maklumat lanjut boleh layari laman sesawang www.ticket2u.biz.
Sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment