ADA kening yang berkerut-kerut dan ada juga yang menyembunyikan rasa lucu apabila Shidi hendak memulakan aksinya di pentas latihan Muzikal Tun Abdul Razak, lebih tiga minggu lalu.
Namun bagi suami kepada wanita yang pernah bergelar Pelakon Filem Wanita Terbaik itu, reaksi begitu bukanlah satu tindakan yang menimbulkan rasa marah kepada Shidi. Bahkan, dia sebaliknya tumpang ketawa mengenangkan itulah pengalaman pertama di pentas teater.
"Seronok sebenarnya tengok mereka menunjukkan reaksi begitu. Itu di pentas latihan, di rumah pula, saya ada pengkritik nombor satu, isteri saya Vee (Vanidah Imran) akan buat muka penyek bila saya mula buka mulut untuk baca skrip.
"Paling pedas, dia kata saya tak cukup emosi, suruh saya buat aksi yang besar-besar. Tapi Alhamdulillah, dia banyak bagi panduan kepada saya dan saya sendiri sangat bersyukur dianugerahkan seorang isteri yang otai bila cakap bab lakonan pentas," jelas Shidi yang menggalas watak sebagai Tun Razak menerusi teater arahan Datuk Rahim Razali itu.
Kali pertama di pentas teater, bagaimanapun tidak sukar untuk pelakon ini membiasakan dirinya dengan suasana sebuah pementasan lantaran sering menemani dan menghantar isterinya, Vee menjalani latihan teater.
"Sekarang baru saya rasa dan nikmati sendiri apa yang menjadi kegilaan Vee setiap kali terlibat dengan teater," kata Shidi mengakui dirinya sebagai peminat teater dan lakonan pentas.
Bakal menonjolkan aksinya di Panggung Sari, Istana Budaya pada 16 hingga 20 Ogos, latihan untuk pementasan muzikal itu sebenarnya sudah bermula hampir dua bulan lalu bertempat di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
"Sampai ke tahap ini, saya sudah mula nampak struktur cerita dan siapa Tun Razak. Sebenarnya, saya bukan jenis yang pedulikan siapa dan apa peristiwa penting dalam sejarah pembangunan negara. Saya ambil tahu pasal sejarah pun masa di bangku sekolah sebab kena lulus peperiksaan.
"Semata-mata kerana teater inilah, saya mula membuat rujukan, beli buku tentang Tun Razak dan berulang kali menonton video-video ucapan sebenar Tun Razak semasa hayatnya.
"Itu bagusnya berlakon teater ini, setidak-tidaknya saya boleh bercerita tentang sejarah kepada anak-anak saya kelak," ujar Shidi yang bersetuju berlakon muzikal berkenaan kerana tiada alasan untuk menolak tawaran yang datang dari mulut Rahim Razali sendiri.
Orang kata, peluang keemasan tidak datang berkali-kali. Sekitar tahun 1999 dulu, Shidi pernah menolak tawaran untuk berlakon teater Keris Sang Puteri arahan Rahim Razali. Siapa sangka selepas berbelas tahun, tawaran daripada nama besar itu datang semula dan tanpa berfikir panjang, Shidi terus menerima tawaran menjayakan Muzikal Tun Abdul Razak tanpa berfikir panjang.
"Sampai bila saya harus menolak tawaran teater. Selain Keris Sang Puteri, saya juga pernah tolak tawaran berlakon teater Siti Zubaidah, Putera dan terakhir adalah Mahsuri.
"Faktor sebenar keengganan saya berlakon teater sebab saya tidak berani dan takut tersilap cakap. Saya ada cacat sikit, lidah pendek. Bila terlalu berhati-hati, saya akan cakap terbalik-balik. Sebab k
edua, komitmen masa yang panjang. Selalunya, tawaran teater untuk saya akan bertembung dengan jadual isteri saya yang kebetulan sudah menerima tawaran yang besar. Jadi, saya harus beri laluan kepada isteri saya," kata bapa kepada sepasang cahaya mata itu optimis.
Memuja rakan sepasukannya Fauziah Latiff atau Jee yang melakonkan watak Tun Rahah, isteri kepada Tun Razak, Shidi bertuah memandangkan tuntutan muzikal berkenaan, dia banyak mendapat tunjuk-ajar daripada Jee, seorang penyanyi yang hebat di matanya."Setiap kali masa berlatih vokal untuk nyanyian, mulut Jee akan ternganga-nganga dan tangannya akan terangkat-angkat. Saya bukan seorang penyanyi walaupun orang kenal saya sebagai ahli kumpulan Dead Mushroom, saya pemain gitar sahaja tapi saya yang paling popular, jadi orang ingat saya boleh menyanyi.
Sebenarnya tidak, nasib baiklah melodi nyanyian saya untuk muzikal ini bercorak nyanyian berkarakter, tidaklah sukar sangat," katanya yang masih hilang punca kenapa dipilih oleh Rahim Razali selaku Tun Razak.
Dalam seloroh, bisiknya: "Mungkin Datuk nampak karakter saya ada sedikit kesesuaian untuk watak berkenaan."
Selain latihan, skrip serta tunjuk ajar daripada sang pengarah yang dikagumi ramai itu, Shidi cuba mendekatkan dirinya dengan rakan-rakan seperjuangan Tun Razak bagi mendapatkan gambaran sebenar.
"Saya ada berjumpa dengan Tan Sri Michael Chen dan kami berbual hampir sejam bercakap tentang keperibadian Tun Razak. Perjumpaan dengan keluarga Tun Razak pula masih diuruskan oleh pihak ASWARA," katanya ketika ditemui pada sidang media Muzikal Tun Abdul Razak di Istana Budaya, baru-baru ini.
Jika Shidi takut terbelit lidah di atas pentas, Jee pula berdepan sedikit kerisauan memandangkan kali ini bukan sahaja melakonkan watak sebenar bahkan tokoh bekas wanita pertama itu masih lagi bernafas dan berkemungkinan besar akan menjadi tetamu khas menjelang malam pementasan kelak.
Watak Tun Rahah yang digalasnya bukanlah watak besar menerusi Muzikal Tun Abdul Razak, biarpun begitu, watak itu dilihat sangat bermakna dan memberikan impak terhadap keseluruhan perjalanan cerita.
"Berbanding watak Rubiah, imaginasi sendiri saya terhadap perlakuan dan perwatakan Tun Rahah akan sedikit terbatas kerana itu watak realistik, bukan mitos atau ciptaan penulis liri.
"Jadi, saya bergantung kepada apa yang dibekalkan menerusi skrip dan kehendak pengarah saya yang cool. Baru-baru ini, saya dibawa bertemu dengan Tun Rahah, dia wanita yang tinggi nilai pekertinya, sikap lemah-lembut dan keibuan miliknya sangat menyerlah.
"Dia sangat manis, banyak tersenyum dan bila saya cakap dalam muzikal berkenaan Tun Rahah akan menyanyi, dia ketawa sahaja, katanya 'mana ada Tun Rahah menyanyi', kemudian ketawa lagi," jelas Jee dalam nada ceria.
Di wajah Jee sendiri, sudah terbayang pekerti dan personaliti yang bakal direalisasikannya sebagai Tun Rahah, isteri bekas ketua negara dan bapa kepada pemimpin negara nombor satu ketika ini, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Itulah yang membuatkan saya berdebar-debar, saya lakonkan watak orang yang masih hidup dan watak ibu kepada lelaki pertama di Malaysia.
"Tapi watak saya tidak besar, saya hanya membawakan watak seorang isteri dan lebih kepada penghayatan jalan cerita. Jadi saya hanya perlu menghayati watak seorang isteri dengan baik kerana penceritaan teater berkenaan memfokuskan kepada Tun Razak," katanya yang sedang mengumpulkan sepenuh perhatian bagi menjayakan watak Toh Puan Rahah Mohd. Noah.
Sedia dikritik dan ditegur, Jee menganggap dirinya tidak lebih daripada seorang pelajar, sama seperti pelajar-pelajar ASWARA yang turut sama terlibat menerusi teater berkenaan.
Akui Jee juga, dunia lakonan sebenarnya masih asing buatnya walaupun penglibatannya menerusi teater Rubiah, drama Kudrat Iman dan Gelora Di Hati Sara sebelum ini tidak menghampakan penonton.
"Pengalaman berlakon bersama Rosyam dan Datuk sebenarnya banyak membantu. Dari situ saya dapat bina kekuatan untuk berlakon di pentas yang saya anggap lebih besar menerusi muzikal ini. Tapi sampai sekarang, malu masih lagi menjadi masalah saya.
"Soal penat, saya tiada hak untuk mengalah atau mengada-ngada sebab semua yang terlibat dengan teater ini penat," katanya yang terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan demi Muzikal Tun Abdul Razak.
Kongsi ibu tunggal kepada dua cahaya mata ini, hatinya terpanggil untuk kembali beraksi di pentas teater kerana ingin berkongsi dan belajar ilmu lakonan bersama pelajar ASWARA apatah lagi, teater itu ditunjangi oleh pengarah dan pelakon yang sangat diseganinya, Rahim Razali.
Dalam bidang nyanyian pula, penyanyi yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu tidak pernah terfikir mahu meninggalkan dunia seni suara. Biarpun begitu, akui Jee, rezekinya dalam dunia lakonan sedang menampakkan hasil sejak akhir-akhir ini.
Selepas projek teater selesai, Oktober nanti, Jee akan turun ke lokasi penggambaran drama dan sekali lagi akan berkolaborasi dengan Rosyam dan Rahim Razali dalam siri Gelora Di Hati Sara musim kedua.
"Nyanyian mungkin satu perkara yang tidak sukar lagi buat saya, tapi lakonan, ia satu bidang yang baru dan cabarannya pula sangat berbeza. Ketika ini, saya mula faham tentang istilah yang sering dilaungkan dilokasi," katanya yang masih tidak menolak peluang jika dijemput menyerikan apa sahaja majlis nyanyian.
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment