BAGI Fauziah Latiff atau lebih akrab disapa Jee, meskipun peranan sebagai Toh Puan Rahah Mohd Noah tidak besar namun tanggungjawab untuk melunaskan amanah itu membuatnya gerun menanti tarikh pementasan.
Jee bertuah kerana berpeluang bertentang mata dengan tokoh yang memainkan peranan penting sebagai tulang belakang yang memberi kekuatan kepada perjuangan Tun Abdul Razak.
Pertemuan itu secara tidak langsung membantu Jee untuk lebih mendalami karektor serta peribadi wanita itu, lantas menyuntik sedikit keyakinan untuk merealisasikan watak yang diamanahkan.
“Setiap babak membabitkan Rahah mempunyai makna yang besar, membuatkan saya agak berdebar untuk menjiwai karektor itu.
“Saya tidak mungkin mampu menjadi dirinya namun saya cuba untuk membawa cerita dan menyampaikan mesej menerusi watak itu,” katanya.
Jee berkata, dia agak bernasib baik kerana sebelum ini pernah beraksi di pentas menerusi muzikal, Rubiah selain membintangi telefilem, Kudrat Iman dan drama bersiri, Gelora Di Hati Sara.
Pengalaman itu kata Jee, membantu dia untuk membina keyakinan sekali gus mengenepikan perasaan malu yang masih menakluk dirinya.
“Berlakon drama bagaikan latihan yang membentuk saya menjadi manusia yang lebih yakin dengan diri sendiri. Jujurnya, saya masih lagi berusaha untuk mengikis perasaan malu.
“Alhamdulillah, selepas menjalani sesi latihan keberanian untuk berlakon sudah mula muncul. Cuma kali ini agak mendebarkan kerana saya membawa watak seseorang yang masih hidup.
“Semua itu memerlukan kajian serta latihan yang mendalam supaya penyampaian dan pemahaman mengenai perjalanan cerita itu dapat diterjemahkan dengan baik menerusi lakonan nanti,” katanya.
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment