FAUZIAH Latiff atau Jee tidak pernah terfikir mahu meninggalkan dunia seni suara walaupun mengakui rezekinya dalam dunia lakonan sejak akhir-akhir ini lebih menonjol. Disebabkan rezekinya lebih murah ke arah lakonan dan berikutan kelembapan industri muzik, penyanyi ini terpaksa mengutamakan mana yang lebih penting. Pada masa yang sama, tidak menolak undangan nyanyian sekiranya ada.
Kerjaya Jee dalam dunia lakonan bermula di pentas teater 10 tahun lalu menerusi muzikal Rubiah arahan Ahmad Tarmimi Siregar. Bagaimanapun, pembabitannya di layar kaca baru bermula dua tahun apabila Rosyam Nor membuka laluan untuknya membintangi drama Kudrat Iman dan Gelora Di Hati Sara.
Sedekad tidak beraksi di pentas teater, platform terbaik seorang anak seni untuk benar-benar mengasah bakat mereka dalam dunia lakonan, Jee kembali ke dunia pementasan menerusi karya berjudul Tun Abdul Razak, juga sebuah muzikal dan kali ini di bawah arahan seorang yang cukup disegani, Datuk Rahim Razali.
Kongsi ibu tunggal kepada dua cahaya mata ini, hatinya terpanggil untuk kembali beraksi di pentas teater kerana karyanya dan ingin membantu pelajar Akademi Seni, Warisan dan Kebangsaan (Aswara) merealisasikan projek mereka.
Memegang watak sebagai Toh Puan Rahah Mohd Noah, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak, dalam tempoh sedekad bukan tiada pihak yang melamarnya untuk membintangi teater tetapi faktor masa menjadi penghalang.
Katanya, dia bersama pelakon lain termasuk Rashidi Ishak yang membawa watak Tun Abdul Razak masih memahami keseluruhan jalan cerita muzikal itu. Justeru, masih belum berkesempatan melakukan kajian terperinci mengenai peribadi isteri kepada mantan perdana menteri itu.
Namun katanya, lebih menarik jika dia dapat bertemu sendiri secara empat mata dengan Toh Puan Rahah tetapi menyedari mustahil untuknya berbuat demikian.
"Lebih menarik jika saya dapat bertemu sendiri dengan beliau tetapi hasrat itu mungkin sukar. Saya cuba membawa watak yang dipertanggungjawabkan ini dengan sebaiknya tanpa menjadi diri Toh Puan Rahah sepenuhnya kerana ini adalah perjuangan Tun.
"Saya hanya membawakan watak seorang isteri iaitu lebih kepada penghayatan jalan cerita. Jadi saya hanya perlu menghayati watak seorang isteri dengan baik," katanya.
Akui penyanyi dan pelakon ini yang kala ditemui sedang sibuk menjalani sesi fotografi untuk poster dan buku cenderamata muzikal ini di Aswara, selepas 10 tahun tidak berlakon di pentas secara langsung di hadapan penonton, hatinya berdebar-debar.
Dia juga bersedia dikritik penonton yang menyaksikan lakonannya bermula 16 hingga 20 Ogos yang akan dipentaskan di di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) kerana hanya dari situ dia mengetahui di mana kelebihan dan kekurangannya.
"Saya tidak kisah dikritik, jika saya salah, saya bersedia untuk ditegur. Saya mahukan kritikan supaya tahu di mana kekurangan yang boleh saya perbaiki," katanya yang seronok kerana dapat bertemu kembali dengan rakan-rakan yang pernah bersama-sama menjayakan Rubiah.
Walaupun dunia lakonan masih asing buatnya, lakonan jarang menghampakan. Kata Jee, formulanya cukup mudah, sama seperti menyanyi, dia hanya menghayati skrip diberikan membayangkan dirinya berada dalam situasi berkenaan. Pada waktu sama, tidak menerima lebih dari satu tawaran berlakon kerana masih belum mengerti selok-belok dunia seni lakon.
Beruntung bekerja dengan Rahim Razali
JIKA ini kali kedua Jee beraksi di pentas teater, sebaliknya ia pengalaman pertama Rashidi Ishak dalam dunia teater. Bagaimanapun, tidak sukar untuk pelakon ini membiasakan dirinya dengan suasana sebuah pementasan lantaran sering menemani dan menghantar isterinya, Vanidah Imran menjalani latihan teater.
Lebih 10 tahun bergelar pelakon, Rashidi memang mengharapkan lakonannya yang dapat meninggalkan kesan. Sebelum ini bukan tidak pernah menerima tawaran menjayakan teater tetapi pada waktu itu masa dan keadaan tidak mengizinkan.
"Saya sukar menerima tawaran disebabkan anak. Biasanya saya mengalah kepada isteri kerana dia sering mendapat tawaran yang bagus. Berlakon teater memerlukan komitmen tinggi kerana banyak masa perlu dihabiskan dengan latihan menyebabkan saya agak keberatan untuk menerima.
"Saya perlu luangkan masa dengan anak-anak untuk mengawasi pelajaran mereka jika isteri tiada di rumah. Oleh kerana tawaran ini datang tepat pada masanya yang mana kebetulan Vee tidak terbabit dengan sebarang projek besar, barulah saya menerima tawaran ini.
"Bagi membawakan watak Tun Abdul Razak, saya banyak membaca mengenai beliau. Menonton visual dan mendengar audio membabitkan dirinya dan saya turut bertemu dengan sahabatnya Tan Sri Michael Cheng. Saya dapatkan semua itu atas inisiatif sendiri melalui arkib dan turut dibantu pihak produksi.
"Buat masa ini, saya sedang memahami permainan pentas. Caranya berbeza dengan lakonan apatah lagi saya juga perlu menyanyi dalam muzikal ini yang mana ia satu cabaran baru buat saya kerana perlu menyanyi secara langsung dengan teknik nyanyian yang begitu teknikal," kata Shidee yang beruntung kerana mendapat tunjuk ajar dari Datuk Rahim Razali serta isterinya.
Tidak hanya menghayati skrip, Shidee turut mempelajari gaya pertuturan, pergerakan dan perwatakan Tun supaya watak yang dibawakan tampak realistik.
INFO:
- TEATER Muzikal Tun Abdul Razak dipentaskan dari 16 hingga 20 Ogos ini, tiket boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.biz. Tiket berharga RM 30 dan RM 50. Tiket bagi pelajar sekolah pula dijual pada harga RM 11.50.
- MUZIKAL Tun Abdul Razak yang bakal dipentaskan di IB adalah sebuah produksi yang dikembangkan idea dan penceritaannya dari pementasan bagi menyambut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika menonton slot itu pada 22 Oktober tahun lalu.
- MUZIKAL ini menghimpunkan artis dan tenaga kreatif yang terdiri daripada graduan Aswara adalah sebahagian usaha untuk menghimpunkan keupayaan kreatif dihasilkan institusi berkenaan.
- TENAGA produksi ini membabitkan seramai 100 orang termasuk pensyarah, pegawai dan kakitangan, graduan serta pelajar Aswara.
- TEATER muzikal yang berdurasi hampir dua jam ini diarahkan pelakon disegani Datuk Rahim Razali.
Sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment