Sunday, September 4, 2011

JEE : Masa Untuk Diri Sendiri



Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

TAMPIL mempesona dalam busana kebaya rekaan pereka fesyen terkenal, Salikin Sidek membuatkan mata tidak jemu memandang. Baik rona jingga mahupun epal hijau mampu membangkitkan seri wajahnya yang tidak makan usia itu.

Senyuman manis sentiasa menghiasi bibirnya membuatkan suasana sesi fotografi yang berlangsung di Restoran Seri Melayu, hangat dengan kemesraan. Setiap soalan dijawab penuh sopan malah dia sentiasa merendah diri seperti biasa.

Itulah Fauziah Latiff. Bintang yang tidak pernah berubah dari dulu. Sentiasa lembut turut katanya malah kewanitaannya cukup terserlah meskipun gemarkan aktiviti lasak dan mencabar.



Memahami tujuan wajahnya dirakam lensa, dia yang mesra disapa Jee mengalun bicara me­ngenai sambutan Aidilfitri. Jelasnya, lebaran disambut sederhana sejak ayahanda tercinta meninggal dunia.

Sambil menghela nafas panjang, dia yang mula dikenali menerusi lagu Digamit Memori menambah, kehila­ngan insan paling dikasihinya itu masih terasa hingga ke hari ini bahkan rindu yang melimpah di relung hati tidak mampu dibendung.

Seberat manapun, dia reda de­ngan aturan alam. Yang hidup pasti mengadap Allah SWT apabila tiba masanya dan ketentuan itu tidak boleh diubah.

“Kalau ayah masih ada, dialah yang paling sibuk melakukan persiapan. Dari soal mengemas rumah hinggalah masak, semua dia mahu buat. Ayah pandai masak, antara juadah air tangannya yang paling saya suka adalah rendang, kari dan lontong.

“Dia suka sangat duduk di dapur sampai mak bising. Terhibur lihat gelagat mereka apabila masak sama-sama. Habis urusan masak-memasak, kami anak beranak akan hias rumah bersama.

“Kehilangan ayah mening­galkan kesan hingga ke hari ini. Tidak tergamak rasanya terlalu beriya-iya menyambut raya apabila dia tiada di sisi,” kata Jee dalam nada lembut.

Sambung Jee yang rancak disolek Dinie Awaluddin, indahnya Aidilfitri apabila dapat berkumpul dengan ibu dan anak. Meskipun tahun ini giliran dua cahaya matanya, Jeffri Joaquim Indot, 13, dan Jeremy Jay Indot, 11 beraya dengan bekas suami, mereka masih berpeluang meraikan hari paling bermakna bagi umat Islam itu bersama-sama.

“Setiap tahun persiapan raya lebih saya fokuskan kepada anak dan mak. Jeffri dan Jeremy tidak cerewet, apa yang saya beli mereka suka dan akan pakai. Baju Melayu bapa mereka belikan, jadi saya cuma beli baju kasual.

“Tahun ini agak kelam-kabut kerana saya ada komitmen yang menuntut lebih perhatian. Apapun saya akan pastikan detik bersama ibu, anak, keluarga terdekat dan teman rapat melakar kenangan manis buat kami semua,” katanya.

Ujar Jee lagi, suasana raya lebih meriah jika diraikan di kampung. Masih segar di kotak memorinya, tatkala arwah nenek masih hidup sambutan Aidilfitri dan Aidiladha paling dinanti-nanti.

“Suasana raya dulu tak sama macam sekarang. Rumah nenek jadi tumpuan semua sanak-saudara dan mereka masak beramai-ramai. Biasanya juadah raya dimasak dalam kawah. Setiap orang ada tugasan masing-masing, sekali pandang seperti mahu me­nyediakan hidangan untuk kenduri. Ada yang kacau dodol, ada yang masak rendang, bakar lemang, rebus ketupat dan macam-macam lagi.

“Suasana kampung pada malam raya sangat cantik. Setiap rumah dihias dengan pelita malah riuh rendah dengan suara kanak-kanak bermain bunga api.

“Apabila nenek sudah tiada, rumah mak saya menjadi tempat adik-beradik berkumpul. Bagaimanapun kebelakangan ini jika beraya di kampung, saya beli makanan siap masak sebab tidak mahu ibu penat. Biskut raya biasanya saya tempah daripada kawan.

“Pun begitu ada beberapa juadah yang mak masak iaitu lontong, ketupat, rendang dan serunding,” katanya yang popular dengan lagu Teratai Layu di Tasik Madu, Aku Sebutir Pasir, Kau Merubah Segalanya dan Enggan.

Lebih dua dekad mencanai bakat di persada seni, Jee melakar pencapaian membanggakan sekali gus membuatkannya mampu bertahan hingga ke hari ini. Auranya tidak pernah luntur meskipun tidak lagi sekencang dulu.

Biarpun sudah lama tidak muncul dengan album baru, namanya terus meniti di bibir peminat setianya, bahkan kehebatan serta kelainan persembahannya satu ketika dulu masih menjadi sebutan. Siapa tidak ingat dengan gadis cantik bersuara lunak yang lincah menari di atas pentas bahkan alunan suara merdunya ketika menyampaikan lagu balada membuai hati pende­ngar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang. Jujur, bukan mudah perjalanan sebagai anak seni tetapi saya menghargai apa yang saya lalui selama ini tidak kiralah sama yang baik mahupun sebaliknya. Semua itu pengalaman yang mematangkan saya malah tidak ternilai harganya.

“Saya tahu peminat rindukan persembahan saya seperti dulu malah saya teringin mengadakan persembahan terbuka. Namun, pada fasa hidup sekarang, ada perkara lebih penting perlu saya utamakan.

“Selepas sekian lama bekerja keras, tahun ini saya peruntukkan untuk berehat. Dengan adanya masa untuk diri sendiri, banyak perkara yang sebelum ini saya tak dapat buat, boleh dilakukan. Tidak dinafikan bidang ini sebahagian daripada hidup saya. Di sinilah saya mencari rezeki dan membesar. Namun saya perlukan rehat dan dalam pada itu menyusun semula hidup saya.

“Apapun itu tidak bermakna saya langsung tidak menyanyi. Ada juga beberapa undangan persembahan acara tertutup saya penuhi,” kata­nya sambil menyifatkan dirinya bertuah kerana dikelilingi insan yang bagus dan sentiasa berusaha gigih menaikkan namanya malah mengakui sokongan tidak bertepi peminat memainkan peranan besar untuknya terus mendaki dan bertahan.

Keprihatinan penyanyi yang turut berbakat dalam dunia lakonan ini terhadap alam sekitar dan hidupan laut menjadikan nilainya semakin tinggi. Tugasnya sebagai duta Persatuan Pemulihan Terumbu Karang Malaysia (Coral) mengisi waktu senggangnya.

Banyak aktiviti lasak yang membabitkan alam sekitar selain aktiviti motosikal berkuasa tinggi menjadi teman setia duta produk SK-II ini.

Sumber: Harian Metro

No comments: