Baru-baru ini kita digemparkan dengan kes permohonan pertukaran jantina dan juga kes hubungan terlarang yang tidak kesampaian oleh golongan lelaki yang menyerupai wanita. Tujuan saya menulis ini bukanlah untuk menghina mana-mana pihak, tetapi untuk kesedaran diri bersama. Ini kerana kita tiada hak menghina dan menghukum golongan ini kerana mereka juga diciptakan untuk menjadi khalifah di muka bumi.
Pertama sebelum kita terus beremosi dan menghina golongan ini. Lebih baik kita muhasabah diri dengan memberikan persoalan ini, "cukup sudah amalankah kita untuk ke syurga atau cukup sempurnakah diri kita di mana kita mempunyai tahap yang tinggi untuk menghukum manusia ini ke neraka sedangkan hukuman itu adalah satu-satunya hak Allah s.w.t.". Tujuan artikel ini ditulis juga adalah untuk kita bersama-sama menidakkan kebathilan yang berlaku kerana walaupun isu seperti ini sudah menjadi barah di dalam masyarakat Islam kita.
"Rasulullah SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan melaknat wanita yang menyerupai lelaki." (HR. Bukhari). Sudah jelas lagi terang, hukum menukar jantina adalah haram. Justeru itu, kembalilah kepada fitrah kejadian walaupun diberi dugaan yang berat kerana memiliki naluri perempuan/lelaki.
Bagi golongan ini, redhalah dengan kejadian Allah dan dekatkan diri kepada Allah Yang Esa. Positifkan diri dengan bersyukur tidak semua insan yang lahir di dunia ini mendapat dugaan seperti itu. Cukup insan sekeliling kita menghormati nilai-nilai Islam diterapkan dalam diri walau dilabelkan sebagai lelaki lembut atau sebagainya.
Apabila kita melihat dari pandangan yang lebih matang, golongan ini lebih jujur dalam melahirkan sifat mereka. Lebih baik daripada golongan gay/lesbian yang bersembunyi di sebalik perlakuan normal sebagai lelaki / wanita. Sekurang-kurangnya kita tahu siapa mereka dan mereka tidak bersembunyi dengan dugaan yang diberi. Justeru itu, label lelaki lembut atau sebagainya dibuang di dalam "topik kehidupan masyarakat".
Biarlah di masa hadapan, kita akan mendapat berita lebih baik daripada golongan ini. Contohnya mati syahid semasa menjalankan dakwah Islam atau mengharumkan nama negara dengan bakat yang dianugerahkan Allah s.w.t. Justeru itu, kita sebagai manusia normal tidak perlu menyisihkan golongan ini daripada masyarakat. Bimbinglah mereka ke arah yang lebih baik daripada kita membiarkan mereka hanyut di dalam lautan impian dunia imaginasi mereka.
Jadi tidak perlu kita menuding jari menyalahkan sesiapa bagi isu ini kerana ini adalah tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini.Bersama-sama kita berdoa agar kita semua ditempatkan di satu tempat yang mulia di sisi Allah s.w.t. tidak kira apa jua situasi diri. Bersyukur dengan fitrah dan mari bersama kita dekatkan diri bersama yang Maha Esa, Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment