Saturday, December 8, 2007

Bersama Ustaz Rahman Rahmani - Pengasas Rumah Anak Yatim Baitul Ummah

1. Adakah bantuan masyarakat terhadap rumah-rumah kebajikan sudah mencukupi atau hanya melepas batuk ditangga semata-mata?

Secara jujurnya saya mengatakan bahawa bantuan yang diberikan terhadap rumah-rumah kebajikan adalah tidak mencukupi sama sekali. Bantuan masyarakat sebenarnya hanya mengikut musim. Sebagi contoh bila tiba bulan Ramadhan, banyaklah bantuan yang diberikan terhadap rumah-rumah kebajikan. Selepas musim atau bulan Ramadhan maka sunyi kembali bantuan yang diberikan oleh masyarakat terhadap rumah-rumah kebajikan. Maka kami terpaksa mencari alternatif lain bagi memenuhi keperluan anak-anak yatim di sini misalnya. Bukan mahu menagih simpati, cuma bantuan yang diberikan perlulah diberikan secara berterusan. Tidak semestinya sumbanagn itu berbentuk material malah kasih sayang dan perhatian itu lebih penting kepada mereka supaya tidak merasa tersisih di dalam masyarakat.
2. Pada pandangan Ustaz, adakah masyarakat kita sedar akan tanggungjawab mereka dalam membantu golongan kurang bernasib baik?

Pada pandangan saya, masyarakat kita ada yang sedar dan ada juga yang tidak sedar akan tanggungjawab mereka ke atas golongan yang kurang bernasib baik. Dalam bahasa kasarnya peratusan yang boleh diberikan ke atas kesedaran masyarakat ini adalah 50:50. Masyarakat itu hanya sedar apabila perkara ini berlaku di batang hidung mereka sendiri. Jika tidak, mereka hanya mementingkan diri semata-mata dan tidak memperdulikan nasib malang yang menimpa diri orang lain. Bagi yang sedar, mereka ini tidak putus-putus memberi bantuan malah sanggup meluangkan masa untuk bersama golongan kurang bernasib baik ini dalam menyelami erti kehidupan sebenar.
Sebagai contoh, aktiviti Kelab Penyayang Universiti Malaya, mahasiswa dan mahasiswi bersama turun padang dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik. Perkara ini menunjukkan bahawa kesedaran tetap ada dalam masyarakat, cuma ia hanya dilakukan oleh golongan tertentu sahaja dan dalam situasi yang saya berikan, ia dilakukan oleh pelajar universiti. Pada pendapat saya, kesedaran dan kempen juga perlu diadakan secara meluas bagi menyedarkan masyarakat kita tentang penderitaan golongan kurang bernasib baik agar kehidupan kita ini dipenuhi dengan limpahan kasih sayang dan rahmat-Nya.
3. Apakah bantuan sebenar yang amat diperlukan oleh rumah-rumah kebajikan?

Tidak malu saya nyatakan bahawa bantuan sebenar yang amat diperlukan oleh rumah-rumah kebajikan adalah bantuan dalam bentuk kewangan. Kedua adalah dari segi barang keperluan harian. bagi bantuan kewangan, kita perlu melihat situasi rumah kebajikan tersebut. Adakah rumah kebajikan tersebut tapaknya disewa atau milik persendirian. Dan jika menyewa, ia memerlukan kos bulanan tetap bagi aktivis masyarakat di dalamnya rumah tersebut untuk membayarnya. Kebanyakan aktivis masyarakat seperti kami bukanlah datangnya dari golongan berada, cuma kami memberi apa yang kami mampu berikan kepada mereka.
Bagi barang keperluan, bantuan perlulah secara berterusan agar keperluan golongan kurang bernasib baik ini mencukupi. Janganlah hanya mengikut musim tertentu sahaja, seperti hidup masyarakat di luar sana yang memerlukan pelbagai benda untuk memenuhi keperluan hidup, begitulah juga dengan golongan kurang bernasib baik ini. Kita sama sahaja, khalifah Allah di muka bumi ini.
4. Pada pendapat Ustaz, apakah peranan sebenar masyarakat dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik?

Peranan sebenar yang perlu dimainkan oleh masyarakat ialah jangan sekali-kali menyisihkan golongan kurang bernasib baik ini. Cukup sekadar kita memberi perhatian kepada mereka. Ini kerana kasih sayang merupakan entiti yang paling diperlukan oleh golongan kurang bernasib baik ini. Setiap manusia inginkan kasih sayang, jadi tidak terkecuali bagi mereka yang menerima nasib malang. Jika harta benda kita tidak dapat sumbangkan, cukup sekadar kita menghargai mereka dalam menjadi entiti masyarakat pada hari ini.


Ustaz Rahman Rahmani merupakan pengasas Rumah Anak-Anak Yatim Baitul Ummah di Gombak Selangor. Beliau merupakan aktivis masyarakat yang aktif dalam membela nasib golongan kurang bernasib baik terutamanya anak-anak yatim di Malaysia.

-Azlan Ali-

1 comment:

nani said...

KEBAJIKAN VS CARI MAKAN
http://www.agendadaily.com/cms/contentPrint.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_b80ded88-7f000010-c0e88800-ebb99b6b&paging=0

Susah nak sentuh bab kebajikan ni. Nak cerita nanti orang kata kita hendak mendabik dada. Tak cerita banyak pula orang tak tahu cerita-cerita tentang trend membuat kebajikan dewasa ini. Ada yang membuat kebajikan untuk cari makan. Ada pula yang suka nak buat kebajikan tetapi terpaksa pula disulami dengan mencari makan,, lain tu bunyai nya. Tetapi tak kurang juga yang benar-benar gemar membuat kebajikan.

Selama hampir 17 tahun terlibat di dalam kegiatan kebajikan ini banyak pengalaman yang saya lalui dan tempuhi. Tetapi ayat yang paling kerap saya dengar “ charity begins at home ”. Kalau nak buat kebajikan sampai anak isteri atau anak suami tak makan maka lupakanlah. Itulah lebih kurang makna bahasa Inggeris yang tertera di atas.

Suatu perkataan yang mudah di dengar dan sukar untuk dipraktikkan sesetengah pihak. Sebut nak buat kebajikan semua ingat mesti ada duit barulah boleh buat kebajikan. Sedar tak sedar syukur Alhamdullillah semakin ramai rakyat kita telah menjadi koperat dan kaya-raya. Oleh itu banyaklah peluang untuk sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang ingin membuat kebajikan.

Bantuan jangan cakaplah “ in cash or kind ” memang mudah dipungut di sana sini. Tetapi apa yang menyedihkan sekarang ini adalah apabila kegiatan kebajikan ini dijadikan satu peluang untuk mencari makan. Banyak orang telah menggunakan pentas kebajikan ini sebagai satu peluang untuk berniaga. Ia adalah satu kebaikan sekiranya perniagaan tersebut adalah untuk menambah tabung kebajikan itu sendiri, namun ia akan dilihat sebagai satu perkara yang tidak amanah apabila kegiatan perniagaan atas nama kebajikan itu digunakan untuk menampung tabungan sendiri (cari makan).

Sana sini kita sering mendengar orang menggunakan beberapa persatuan atas nama kebajikan seperti anak yatim, anak kurang upaya dan rumah orang tua dan pelbagai lagi tidak terkecuali badan-badan sukarela lain yang menganjurkan pelbagai kerja amal. Ada yang benar-benar beramal tetapi tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk menggunakan tabungan amal tersebut untuk kepentingan sendiri.

Bagi mereka yang tidak menggunakan badan amal ini untuk kepentingan sendiri terdapat juga yang membelanjakan tabung amal ini dengan borosnya ke atas perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Alasannya adalah “bukan duit aku….untung rugi peduli apa”.Inilah yang tidak kita ingini, tetapi masih berlaku. Keewangan tersebut dibelanjakan kononnya untuk menambahkan tabungan perniagaan akhirnya perniagaan lingkup, wang yang telah didermakan oleh orang ramai turut selesai.

Semakin hari semakin banyak yang saya dengar dan alami sendiri, bagaimana berlakunya penyalah gunaan keewangan di dalam badan-badan kebajikan. Sesetengah badan kebajikan ini mencecah hampir jutaan ringgit. Ada yang mendatangkan menafaat untuk kbadan tersebut dan tidak kurang juga yang mendatangkan menafaat kepada tubuh badan itu sendiri. Dalam seribu mungkin satu badan kebajikan yang benar-benar menampung keperluan mereka yang kurang bernasib baik.

Saya ingin mencadangkan agar satu akta oleh kerajaan ditetapkan kepada mana-mana syarikat yang ingin menggunakan nama mana-mana pertubuhan kebajikan hanya dibenarkan mengambil peratusan yang minimal sebagai pengurusan majlis amal tersebut. Sememangnya baru-baru ini Kementerian Wanita telah mengeluarkan kenyataan tentang perkara tersebut, namun ianya harus diletakkan akta serta hukuman ke atas mana-mana syarikat yang melanggar peraturan tersebut. Tujuannya adalah untuk menjaga kepentingan tabung kutipan yang dibuat atas nama mana-mana badan kebajikan di Malaysia.

Selain dari itu badan kerajaan juga harus lebih agresif dalam memantau beberapa rumah amal khususnya yang di dirikan tanpa naungan sebarang Pertubuhan namun bebas mengumpulkan dana bagi rumah amal tersebut. Sememangnya benar kebanyakkan rumah amal yang melibatkan anak yatim khususnya masih banyak yang tidak mempunyai sebarang pertubuhan mahupun akaun khas bagi pengumpulan dana anak-anak yatim tersebut.

Melalui pengalaman saya bukan semua rumah amal yang tidak didaftarkan itu sengaja tidak mahu mendaftarkan kegiatan mereka. Ini adalah kerana kebanyakkan pengasas rumah amal terutamanya anak-anak yatim ini terdiri dari mereka yang sudahpun lanjut usia dan tidak berpendidikan. Kementerian Kebajikan seharusnya memantau rumah kebajikan ini dan membantu untuk mendaftar serta memberi tunjuk ajar kepada pengasas ini menjalankan kegiatan mereka mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Sememangnya agak keterlaluan sekiranya saya menyatakan bahawa kebanyakkan rumah amal yang didirikan hanya seperti “menternak” (sekadar menampung makan dan pakai) tetapi tidak ditekankan ilmu pendidikan dan masa depan anak-anak ini.

Orang ramai juga seharusnya lebih memainkan peranan di dalam masalah ini. Kebanyakkan orang ramai yang datang ke rumah kebajikan terutama anak-anak yatim amat gemar memberi makanan, pakaian dan sebagainya semua di dalam bentuk kebendaan. Namun amat kurang yang datang untuk membiayai pendidikan anak-anak tersebut.

Beratus komputer telah dihantar ke rumah kebajikan ini dan berpuluh buku juga sering didermakan, tetapi tenaga pengajar tidak pernah di sumbangkan. Akhirnya computer yang dihantar seperti “tikus tengok besi” kata orang tua-tua. Tikus kalau jumpa besi dah tentu tak boleh makan maka makanlah pengat….sendiri mau ingat.

Bila berlaku masyarakat yang gemar berbuat kebajikan dengan hanya sekadar menghantar derma kebendaan maka alas an yang diberi mudah sahaja “sibuk cari makan”. Ramai orang tidak mengetahui bahawa masyarakat sekarang lebih pemurah memberi harta benda dan wang ringgit dari masa. Saya pernah menganjurkan program “ Time and Talent ” di rumah anak yatim, di mana saya dan beberapa sahabat pergi ke taman-taman perumahan untuk memohon agar masyarakat di situ dapat memperuntukan masa untuk anak yatim kami.

Saya kira kalau 1000 orang penghuni mendermakan satu jam kepada rumah anak-anak yatim maka dalam satu jam tersebut sudah tentulah anak-anak yatim akan mendapat beberapa jam perhatian khusus untuk membentuk akhlak dan memberi secebis kasih saying juga ilmu kepada mereka untuk dimenafaatkan. Namun program saya gagal kerana ia tidak berpanjangan akhirnya benda juga sampai ke rumah anak yatim kami sebagai pengganti diri.

Anak-anak yatim merupakan satu-satunya badan kebajikan yang saya berikan tumpuan sepenuhnya selama 17 tahun dan saya cukup masak dengan permasaalahan mereka dan juga badan kebajikan ini. Antara masalah yang telah saya nyatakan adalah samada ditubuhkan untuk cari makan atau sibuk cari makan sehingga akhlak mereka tidak diperdulikan.

Kerajaan terutamanya Kebajikan Masyarakat seharusnya mengadakan kempen-kempen kepada masyarakat untuk lebih prihatin dalam meluangkan masa bersama-sama badan kebajikan ini. Apa yang menyedihkan ialah derma yang berbentuk keewangan atau apa sahaja datang dengan cara bermusim. Seperti bulan Ramadhan dan perayaan banyaklah rezeki yang melimpah ke rumah-rumah kebajikan. Hari-hari lain……makan pengatlah.

Kerajaan juga harus mengadakan pemantauan yang ketat ke atas setiap dana yang diberikan kepada rumah-rumah kebajikan. Mereka juga harus diberikan syarat untuk menghantar laporan audit kepada Kementerian Kebajikan Masyarakat ke atas setiap dana yang dikeluarkan, haruslah dilapurkan secara terperinci ke mana wang tersebut dibelanjakan. Adakah untuk kebajikan atau cari makan?

Saya merasa amat kagum apabila melihat masyarakat Barat yang senantiasa melakukan acara-acara kebajikan dengan penuh dedikasi dan amanah. Sepanjang pengalaman saya ke luar Negara dan bergaul dengan badan kebajikan Katholik khususnya banyak ilmu yang saya pelajari dari mereka. Pengurusan dana mereka begitu sistematik dan amanah.

Tidak hairanlah sekiranya kita suatu hari nanti berniaga terpaksa menggunakan dana luar Negara tanpa kita sedari bahawa dana tersebut datang dari kelompok katholik ini. Pengurusan keewangan mereka begitu terancang dan menyerap sampai keseluruh pelusuk dunia. Inilah yang dikatakan agama Islam milik kita akhirnya Ad-Din milik bangsa lain.

Sedih tetapi benar. Manakah intelektual kewangan negara kita yang begitu terserlah kewibawaan mereka mengurus dana? Jawapannya sibuk cari makan. Kebajikan bukanlah hanya sekadar memberi wang dan harta benda tetapi juga masa, tenaga dan keupayaan. Saya harap suatu masa nanti para-para intelektual ini mahu turun ke padang kebajikan untuk memberikan masa dan tenaga serta kebolehan mereka untuk menjadi penasihat kepada badan-badan kebajikan dalam menguruskan dana kebajikan ini dengan lebih baik.

Dana negara untuk dunia apa salahnya sesekali libatkanlah juga diri untuk menguruskan dana untuk akhirat. Jangan hanya menanggap bahawa kerja kebajikan ini hanya untuk mereka yang pencen. Tak kan lari gunung dikejar….Kalau nak cari makan pun berapa banyak yang kita boleh makan. Bagi-bagilah sikit masa untuk kebajikan dan seimbang-seimbangkan. Rezeki sememangnya perlu dicari, namun ianya juga adalah ketetpan Allah. Buang masa berniaga bagai nak rak pun kalau Allah kata bukan rezeki, bukan rezeki juga. Oleh itu bahagi-bahagilah sedikit masa setelah Allah memberi ilmu. Menafaatkanlah bukan hanya sekadar mencari makan tetapi juga membuat kebajikan.

Fahamilah nasihat dari tokoh Islam ini baik-baik. Bukanlah anjuran beliau untuk membuang dunia dan mengambil hanya akhirat tetapi apa yang hendak beliau nasihatkan ini adalah dalam maksudnya. Semoga Allah membuka minda dan memberi petunjuk kepada siding pembaca akan nasihat yang begitu bermakna kepada kita. Tokoh ini adalah ABU DARDA’R.A :

“Lebih suka aku mempelajari suatu masalah, daripada mengerjakan solat sepanjang malam.”


“Orang-orang berilmu dan orang yang menuntut ilmu bersyarikat dengan kebajikan. Selebihnya adalah manusia-manusia bodoh yang padanya tak ada kebajikan”.


“Hendaklah engkau menjadi orang berilmu atau yang belajar atau mendengar ilmu dan janganlah engkau menjadi orang yang keempat ; yakni orang yang tak termasuk salah seorang dari kelompok orang tersebut agar engkau tidak binasa.”


“Aku berkeinginan untuk menghimpunkan antara perniagaan dan ibadah, tetapi keduanya tidak dapat berkumpul, maka aku memilih ibadah dan meninggalkan perniagaan.”


“Orang ‘alim (pengajar) dan orang yang belajar (murid) sama-sama mendapat ganjaran, kerana sesungguhnya , manusia terdiri atas dua golongan iaitu pengajar dan pelajar, selebihnya tidak berfaedah.”


Itulah nasihat yang begitu mendalam maksudnya hayatilah ia. Di dalam dunia kebajikan ini bukanlah sekadar mempunyai wang, harta dan kekayaan dianggap rezeki untuk kita beramal. Namun segala apa yang telah Tuhan anugerahkan kepada kita semua termaktub di dalam rezeki juga seperti kesihatan, tenaga, masa dan ilmu semuanya itu juga boleh dimenafaatkan di dalam dunia kebajikan.

Tak payah tunggu kaya harta benda untuk membuat kebajikan dan bagi yang jutawan juga belum tentu sekadar menghantar kebendaan sudah dapat memadamkan segala perkara haram yang dilakukan. Kalau bukan dari hasil rasuah dan riba Alhamdulillah. Kalau tenaga sudah tentu halal apa lagi jika diderma itu ilmu. Jadi bagi mereka yang ada ilmu dan masa elok-elok lah dimenafaatkan kepada kebajikan dan bukan sekadar mencari makan.

--- end ---