Tuesday, July 26, 2011
Jee : Saya Memang Bahagia
SUKAR nak percaya, wanita cantik sepertinya masih belum berpunya? Hanya dia saja yang ada jawapannya. Sekalipun hidup solo, penyanyi jelita Fauziah Latiff atau lebih mesra disapa Jee, 41, mengakui ia bukan penghalang buatnya untuk hidup bahagia seperti orang lain.
“Memang saya belum bertemu pengganti sampai saat ini. Biarlah jodoh itu datang dengan sendirinya. Kalau ada, adalah.
Saya juga tidak ingin mencari jodoh kerana ia ketentuan Tuhan.
“Saya juga hargai dan bahagia dengan apa yang saya kecapi hari ini. Apa yang saya mahu semua sudah dapat dalam hidup iaitu dari segi karier seni, kehidupan dan keluarga. Apa yang saya lakukan sekarang ini semuanya untuk masa depan anak-anak.
“Ada juga yang bertanya kenapa saya tidak memilih rakan-rakan yang sama-sama aktif dalam aktiviti motosikal berkuasa tinggi sebagai teman hidup?
“Hakikatnya, mereka semua sudah seperti adik-beradik sendiri. Selalunya, selepas habis aktiviti menunggang motosikal, kami terus pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Sebagai ibu, Jee juga ingin memberikan yang terbaik buat dua anak lelakinya iaitu Jeffri Joaquim Indot, 13, dan Jeremy Jay Indot, 11.
“Anak-anak saya tinggal dengan bekas suami, tapi kami sama-sama menjaga mereka mengikut giliran saban minggu.
“Apa yang saya perhatikan, Jeffri dan Jeremy sama-sama meminati bidang muzik dan kedua-duanya boleh menyanyi. “Saya juga tidak kisah kalau mereka ingin mengi�kut jejak saya menceburi bidang seni asalkan mereka tamatkan persekolahan dulu. Selepas habis sekolah terpulanglah kepada mereka nak jadi apa mengikut minat masing-masing,” katanya.
Selain karier nyanyian, hidup Jee yang juga duta Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Malaysia (Coral) juga tidak pernah sunyi kerana ada saja aktiviti lasak dan alam sekitar dilakukan bagi mengisi masa lapangnya.
Jee ditemui ketika menjayakan The Blue Kebaya ‘showcase’ anjuran The Weld Shopping Centre dan Rafflesia The Pearl Centre.
Terbaru, Fauziah baru kembali dari menjayakan rombo�ngan Artis Pencinta Alam (APA) di Pulau Banding, Gerik, Perak, baru-baru ini.
“Saya memang tidak asing dengan aktiviti berkaitan alam sekitar. Namun, saya lebih kerap menyertai program kesedaran mengenai kehidupan laut.
“Sepanjang program ini, saya menimba pengalaman menarik ketika melawat perkampungan Orang Asli, Sungai Tiang, Pulau Banding.
“Apa yang boleh, saya katakan Orang Asli di sini lebih terbuka dalam menerima pembangunan tanpa merosakkan tempat asal mereka.
“Saya melihat anak-anak Orang Asli ini bermain alat muzik dengan telinga kerana mereka tidak boleh membaca. Kita juga patut beri peluang pada kanak-kanak ini untuk mengetengahkan bakat mereka itu,” katanya.
Tidak ketinggalan, Jee juga menjayakan majlis berkodeng yang mengangkat adat perpatih Negeri Sembilan sejak turun temurun untuk diperkenalkan pada orang luar bersama 300 ahli kelab motosikal berkuasa tinggi.
Selepas lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang seni, Fauziah bersyukur dengan pencapaiannya yang membolehkannya mampu bertahan sampai hari ini.
“Saya bersyukur kerana masih diterima peminat yang sentiasa menyokong saya dari dulu hingga kini.
“Saya juga berhubung dengan peminat menerusi laman sosial facebook dan Twitter. Artis dulu menyanyi dari dalam dan dia betul-betul masuk dalam lagu itu.
“Saya tidak pernah menyesal menjadi anak seni dan perjalanan saya jauh dan mencabar.
“Sepanjang pembabitan dalam bidang seni, saya kenal banyak erti kehidupan. Saya juga sudah lakukan apa yang saya sepatutnya buat dulu. Saya menganggap diri masih lagi belajar dan saya juga tidak tahu apa yang berlaku pada masa akan datang,” katanya.
Sekalipun tidak bikin album baru, Fauziah saya masih sibuk memenuhi undangan persembahan makan malam korporat.
“Lagu yang diminta penonton ialah lagu ‘evergreen’ Teratai Layu Di Tasik Madu. Lagu kegemaran saya pula ialah Aku Sebutir Pasir dan album Sahabat yang meninggalkan kesan pada saya.
“Saya juga mula berjinak-jinak menulis lirik lagu untuk kepuasan sendiri tapi belum ada keyakinan untuk beri pada artis lain lagi,” katanya yang dikenali menerusi lagu Kau Merubah Segalanya, Tiada Noktah Cinta, Gubahan Rindu Puisi Syahdu dan Enggan.
Ditanya sama ada dia hanya selesa kerja dengan Rosyam Nor saja, Fauziah mengakui menimba pengalaman yang sangat berharga dalam drama bersiri popular, Gelora Di Hati Sara.
“Rosyam dan pasukannya banyak membantu saya menjiwai watak Sara dengan baik.
Rosyam juga selalu menegur dan marah jika apa yang dia mahu itu tidak sampai.
Terus-terang, saya selesa dengan watak Sara itu. Selepas Gelora Di Hati Sara, saya tidak dapat buat drama baru kerana kesibukan dengan aktiviti lasak,” katanya.
Lebih memberangsangkan, Fauziah duta produk SK-II selama 11 tahun bekerjasama dengan Broadway Acres Sdn Bhd yang beroperasi
di Sunway, awal tahun lalu, untuk menggilap bakat muda dalam bidang seni.
“Setakat ini, kami sudah mendapat seorang artis dari program Idola Kecil iaitu Dayana Emelda dan Daniel Razak yang juga pemain dram yang berusia 12 tahun.
“Ini adalah lebih pada kerja belakang tabir, tapi masih dalam bidang hiburan. Saya juga menjadi instruktor pada mereka,” katanya.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff
NAMA KOMERSIAL: Fauziah Latiff/Jee
TARIKH LAHIR: 5 Disember 1970
TEMPAT LAHIR: Air Tawar, Perak
KERJAYA: Penyanyi dan pelakon
STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Jeffri Joaquim Indot, 13 dan Jeremy Jay Indot, 11
ALBUM: Di Gamit Memori, Kau Merubah Segalanya, Kini, Tiada Noktah Cinta, Gubahan Rindu Puisi Syahdu, Epilog Memori Gelita, Apa Sebenarnya, Sahabat, Petikan Syahdu Fauziah Latiff Vol 1 & 2, Jee ‘98, Jee No 1’s, Yang Lebih Kau Cinta, Di Sebalik dan Pesona
TEATER: Teater muzikal, Rubiah
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my
Sumber : www.hmetro.com.my
Coretan berkaitan
Entertainment,
Fauziah Latiff
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment