Sunday, January 2, 2011

Jee peminat motosikal besar



SETIAP artis memiliki hobi tersendiri untuk rileks dan beriadah. Bagi Fauziah Latiff atau lebih dikenali sebagai Jee, susuk fizikalnya yang langsing itu tidak pernah menghalangnya untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi yang menjadi hobinya sejak tiga tahun lalu.

Ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini, Jee, 40, akui sangat meminati dunia motosikal kerana ia memberinya peluang menjelajah ke banyak lokasi menarik bersama kawan-kawan.

Kata Jee, menunggang motosikal antara cara riadah terbaik bagi bersosial sambil menimba pengalaman mencari rakan baru yang berkongsi minat serupa.

“Aktiviti ini Jee buat setiap kali ada kelapangan terutama pada hujung minggu atau ketika tiada komitmen menjalani penggambaran.


“Setakat ini banyak tempat sudah Jee jelajah sama ada perjalanan balik hari atau bermalam di satu-satu tempat bersama kawan-kawan.


“Kami selalu mengadakan aktiviti riadah ini untuk bertanya khabar antara satu sama lain melalui aktiviti bermotosikal. Ada masanya kami pergi menjelajah Tasik Banding di Perak dan meronda jauh sehingga ke Johor dan beberapa negeri lain dengan ahli kelab motosikal.

“Ada masanya, kami bertolak selepas subuh ke destinasi tertentu sebelum pulang sebelah petang. Selain itu, kalau sempat kami turut melakukan kerja amal,” kata Jee yang memegang watak penting dalam drama Gelora Di Hati Sara.

Jee yang juga bekas juri pertandingan realiti TV, Malaysian Idol, kini menyertai Lady Bikers Malaysia (LBM) yang dianggotai sekumpulan penunggang motosikal wanita berjiwa kental.

LBM dianggotai 55 ahli aktif terdiri suri rumah tangga, ibu tunggal dan golongan pekerja profesional. Kelab mereka disertai pelbagai jenis jenama motosikal serendah 150cc hingga berkuasa tinggi 1,000cc.

Pada sesi foto untuk ruangan R&R ini, Jee meluangkan masa bersama lapan anggota kelab itu termasuk Naib Presiden, Alia Aishah serta penasihat kelab, Fatin Jaafar. Mereka beriadah sekitar Tasik Putrajaya dan Bangi, Selangor.

Selepas penat menunggang, mereka singgah berehat menjamu selera di Supremo Donuts & Coffee, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi.

Antara jenama motosikal yang menyertai acara itu termasuklah Harley Davidson, Kawasaki, Ducati dan BMW.

Buat masa ini, penyanyi lagu Bukan Kemahuan Fikiran dan Batas Menanti ini memiliki dua motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Monster dan Harley Davidson.

“Motosikal menjadi minat utama Jee sejak zaman remaja lagi. Apapun, Jee tidaklah terlalu boros membelanjakan wang semata-mata bagi membeli pelbagai aksesori motosikal dan sut keselamatan.

“Jee ada empat topi keledar, beberapa jaket kulit, seluar dan but bagi kegunaan menunggang. Ingat, motosikal berkuasa tinggi bukan untuk memecut sesuka hati, sebaliknya kita juga perlu ikut undang-undang, namun ‘enjoy’ menikmati keindahan alam.


“Jee akui masih lagi belajar aspek teknikal menyelenggara motosikal melalui perkongsian ilmu sesama ahli,” katanya.

Kata Jee yang juga ibu kepada dua anak lelaki, Jeffri Joaqium, 12, dan Jeremy Jay Johan, 10, antara pelumba motosikal diminatinya adalah Fabrizio Pirovano, Troy Bayliss, Casey Stoner dan Nicky Hayden.

Sumber : Harian Metro

1 comment:

FootNote said...

yupss... saya juga suka motor besar, terutama motor sport.