Thursday, March 4, 2010
Jee : Tiada Masa Buru Cinta
Fauziah Latiff akui selesa berkawan dengan sesiapa saja, anggap hubungan dengan lelaki ibarat adik dan abang
KEUTAMAAN Fauziah Latiff, 40, kini hanyalah kepada dua cahaya mata Jeffri Joaquim, 12, dan Jeremy Jay, 7, ibu serta kerjayanya. Soal hati ketika ini bukanlah keutamaan kepada wanita yang pemurah dengan senyuman itu.
Ditebak soal cinta, dengan kuntum tawa manja, Fauziah atau Jee membalas, belum waktunya untuk memburu cinta. Bukan jemu mahupun serik, wanita berhati waja ini tidak pernah menutup pintu hatinya untuk mengenali mana-mana lelaki. Bagaimanapun, apabila menyentuh soal jodoh, dia senang menyerahkan soal itu kepada takdir.
“Buat masa ini saya selesa berkawan dengan sesiapa saja. Saya menganggap hubungan dengan lelaki ibarat seperti adik dan abang. Bagi saya, memiliki kawan yang ramai adalah normal. Semua orang begitu, cuma buat masa ini anak-anak, ibu dan kerjaya menjadi keutamaan saya.
“Bukan serik untuk kembali berumah tangga dan saya bersikap terbuka. Saya serahkan semuanya di tangan takdir. Andai ada rezeki, ada jodoh, alhamdulillah,” sopan wanita ini menutur bicaranya.
Anggun dalam persalinan rekaan pereka muda Farlez Iskandar, Jee berkata hidupnya tidak sunyi biarpun bersendirian. Jeffri dan Jeremy berada di bawah jagaan bapanya, namun dia tidak pernah dihalang daripada bertemu dengan pengarang jantungnya.
Tatkala ada kelapangan, mereka akan bertemu. Atau jika cuti mereka bertembung, Jee akan meluangkan masa bercuti bersama-sama dengan dua puteranya itu ke mana-mana destinasi percutian yang menarik.
“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak berdepan sebarang masalah untuk bertemu anak-anak. Kami tidak mempunyai apa-apa masalah malah masih saling hormat menghormati. Bagi saya itu jalan terbaik daripada bermasam muka,” katanya yang menghubungi anak-anaknya setiap hari untuk bertanyakan perkembangan mereka.
Bagi peluang artis baru
PERNAH dua kali menggenggam trofi Penghibur Wanita Popular dua tahun berturut-turut 18 tahun lal, adalah sesuatu yang cukup manis buat penyanyi ini. Biar sudah sekian lama tidak dapat mengulangi kejayaan serupa, Jee tidak kisah.
Bagi wanita berasal dari Pontian, Johor ini, dia sudah melalui pelbagai rintangan dan kemanisan sebagai anak seni dan pernah melalui saat indah menjulang trofi popular itu. Justeru, tiba masanya generasi muda pula melalui apa yang pernah dia tempuhi satu ketika dulu.
“Apa yang sudah saya lalui dari hari pertama bergelar artis, menempuh pelbagai cabaran dan pernah juga mengecap kejayaan indah dalam kerjaya bagi saya semua itu sudah memadai. Biarlah generasi muda pula menikmati kemanisan hidup sebagai anak seni pula.
“Saya tumpang gembira melihat kejayaan artis baru. Namun saya berharap mereka menjadikan anugerah itu sebagai pembakar semangat untuk meningkatkan lagi mutu kerja mereka. Jangan hanya satu kemenangan, kemudian senyap.
“Apabila berjaya menggenggam trofi, mereka sepatutnya menganggap ia satu tanggungjawab besar yang perlu digalas. Sewaktu menerima trofi, mereka sudah perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan kepada kerjaya mereka di masa depan kerana kemenangan ini bukanlah sesuatu yang kecil tetapi trofi itu perlu dijadikan sebagai sumber inspirasi mereka,,” katanya yang bakal menjadi penyampai anugerah pada malam kemuncak ABPBH 2010 pada 4 April depan.
Beberapa kali dia diberi tanggungjawab sebagai penyampai anugerah, justeru ia bukanlah sesuatu yang baru buat artis berpengalaman sepertinya. Dia memang sentiasa menantikan majlis anugerah besar seperti ini kerana inilah masa untuknya bertemu serta bertanya khabar kepada teman yang sudah lama tidak ditemui.
Jee tak cerewet pilih pereka
BEKERJA dengan penyanyi wanita ini cukup mudah. Dia tidak cerewet sekali pun namanya dalam industri hiburan tanah air bukan calang-calang. Begitu ringkas orangnya, justeru penyanyi yang turut bergelar pelakon ini tidak kisah pereka mana yang bakal mereka baju untuk digayakan di malam kemuncak ABPBH nanti.
Sesi fotografi bersama lapan pereka wanita muda iaitu Farlez Iskandar, Sya Shaharani, Nabella Erwani Zainal Abidin, Diana Azmi, Azura Mazaruddin, Liza Azulkarnain, Aizurawaty Nawi dan Jezmine Zaidan berlangsung lancar.
“Mereka harus diberikan peluang. Jika tidak diberikan peluang, kita tidak akan tahu sejauh mana kemampuan mereka. Mereka juga tidak seharusnya dikritik kerana ia hanya akan mematahkan semangat. Kalau ingin menegur biarlah secara baik dan mereka perlu diberikan sokongan.
“Saya sendiri tiada masalah untuk memakai baju sesiapa saja tidak kiralah pereka baru mahupun lama. Bagi saya setiap mereka mempunyai cara serta konsep mereka yang perlu kita hormati,” katanya.
Kata Pereka
Azura Mazaruddin
“Tahun ini adalah tahun keempat saya bersama-sama dengan ABPBH. Kali ini saya akan bekerjasama dengan penyampai radio X FM, Nana. Saya memilih Nana kerana kami berkawan tetapi tidak pernah bekerja bersama, jadi tahun ini saya mengambil kesempatan itu untuk menghasilkan baju untuk rakan sendiri.
“Sebagai pereka yang sudah beberapa tahun terbabit dengan acara ini, saya melihat pembabitan lebih ramai pereka wanita kali ini adalah satu perkembangan yang cukup baik,” katanya,
Jezmine Zaidan
“Saya mengambil peluang menyertai ABPBH sebagai batu loncatan untuk mengembangkan lagi kerjaya saya sebagai pereka. Selain itu, ia juga satu platform yang baik untuk perniagaan saya iaitu Old Blossom Box yang baru saja ditubuhkan.
“Pada ABPBH nanti saya akan mereka baju untuk Intan Ladyana. Kami pernah bekerjasama untuk anugerah Fun, Fearless, Fabulous untuk majalah Cosmopolitan. Saya mahu Intan kelihatan feminin ketika anugerah itu nanti.
Sya Shaharani
“Saya lebih senang fokus kepada seorang artis saja. Tahun ini saya akan bekerjasama dengan Norliana Shamsuddin. Saya suka bekerjasama dengan seorang saja artis supaya saya boleh lebih fokus, jika terlalu ramai artis, saya bimbang tidak mampu fokus dan memberikan yang terbaik buat mereka.
“Saya juga seorang yang sangat cerewet, oleh itu saya lebih senang menjahit sendiri baju yang direka kerana ia adalah kepuasan untuk saya,” katanya.
Nabella Erwani Zainal Abidin
“Setakat ini saya masih belum memikirkan konsep apa yang sesuai untuk Marsha. Mungkin sesuatu yang glamor, ringkas tetapi menarik. Saya tidak bimbang bekerja dengan Marsha kerana dia seorang yang terbuka dan mudah menerima pendapat orang lain.
Aizurawaty Nawi
“Sebelum ini saya sering menghasilkan rekaan untuk artis yang memiliki badan bersaiz model tetapi kali ini saya mahu mencuba kelainan apabila bekerjasama dengan Noorkhiriah. Saya mahu melihat sejauh mana kemampuan saya menghasilkan rekaan untuk mereka yang bersaiz kecil.
“Lebih menyeronokkan, saya suka dengan tema Cetusan Warna. Negara kita bukan negara empat musim jadi tema yang dikenakan ABPBH sangat sesuai kerana saya boleh bermain dengan pelbagai warna.
Liza Alzulkarnain
“Saya berdebar kerana ini pembabitan pertama saya dalam sebuah anugerah yang besar seperti ini. Peluang ini tidak akan saya persia-siakan kerana saya hampir gagal untuk menyertai ABPBH tahun ini. Bagi acara ini, saya akan bekerjasama dengan Watie Elite, dia mahukan sesuatu yang ringkas serta gaya ala-ala Victoria Beckham.
Ili Diana Azmi
“Peluang menyertai APBBH sangat baik untuk pereka baru seperti saya. Peluang ini boleh saya gunakan untuk memperkenalkan nama saya dalam industri rekaan fesyen, kebetulan saya juga baru habis menuntut di Lim Kok Wing dan sudah lima bulan menganggur. Mungkin dengan menyertai ABPBH, peluang untuk mengembangkan nama dalam bidang rekaan fesyen akan lebih cerah.
Farlez Iskandar
“Bagi saya bekerja dengan orang yang popular sesuatu yang mencabar. Saya akan bekerja dengan Zizie Ezzette, Stacy dan juga Akim. Ini pertama kali saya akan menghasilkan baju untuk lelaki dan saya mengambilnya sebagai satu cabaran untuk kerjaya saya.
Coretan berkaitan
Entertainment,
Fauziah Latiff
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment