BIARPUN tahun silih berganti, namun lagu-lagu nyanyiannya tidak pernah luput daripada ingatan peminat-peminatnya.
Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff atau lebih mesra dengan panggilan 'Jee' bukan sahaja berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi jelas berbakat dalam bidang lakonan juga.
Walaupun kini aktif dalam drama Gelora Di Hati Sara musim kedua, Jee tetap meneruskan perjuangannya sebagai penyanyi dan kini sedang menyiapkan single terbarunya, 'Ku Di Sini'.
"Menyanyi itu jiwa Kak Jee, Kak Jee akan tetap memberikan lagu-lagu terbaru untuk peminat.
"Kak Jee mula hasilkan lirik lagu itu pada penghujung tahun lepas tapi memandangkan banyak kerja yang perlu diselesaikan, baru sekarang dapat tumpukan sepenuhnya," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Menurut penyanyi Teratai Layu di Tasik Madu ini, lagu itu juga akan dijadikan sebagai lagu tema drama Gelora Di Hati Sara musim kedua yang baru sahaja selesai penggambarannya.
"Kak Jee buat lirik lagu tersebut dengan tujuan untuk mengaitkan dengan drama tersebut.
"Lagu itu kini dalam proses mastering. Selepas semuanya selesai, Kak Jee akan serahkan kepada Syarikat Suhan Movie untuk buat proses seterusnya," penyanyi berusia 40 tahun itu. Sepanjang kariernya bergelar anak seni, Jee turut memberitahu dia tidak suka melakukan banyak kerja dalam satu masa kerana mahu memberi fokus terhadap satu tugasan sahaja.
"Sehingga kini, Kak Jee banyak terima tawaran untuk berlakon, tapi disebabkan tengah terlibat dalam penggambaran drama, Kak Jee terpaksa tolak.
"Kak Jee akan pastikan jadual kerja, masa, dan juga watak yang diberikan bersesuaian sebelum Kak Jee terima tawaran.
"Setengah orang suka buat banyak kerja dalam satu masa, tapi Kak Jee akan tumpukan sepenuhnya terhadap satu kerja dulu. Lagipun takut nanti jadual bertindih," kata ibu kepada Jeffri Joaquim Indot, 12, dan Jeremy Jay Indot, 10.
Sementara itu, Jee yang juga pelakon utama drama bersiri 'Gelora Di Hati Sara' turut memberitahu sokongan daripada peminat dan keluarga membuatkan dia gembira dengan karier sebagai pelakon.
"Alhamdulillah, banyak juga Kak Jee terima kritikan yang positif daripada peminat dan keluarga tetap menyokong Kak Jee," ujar anak kelahiran Johor itu.
Bagi Jee, bidang lakonan adalah satu cabaran baru dalam hidupnya berbanding dengan bidang nyanyian yang diceburinya lebih 20 tahun.
"Kak Jee pandang dari sudut yang berbeza kerana berlakon dan menyanyi tidak sama.
"Tempoh berlakon juga agak lama misalnya proses penggambaran drama Gelora Di Hati Sara yang mengambil masa tiga bulan," katanya.
Walaupun sudah lama berkecimpung dalam bidang seni suara, Jee menganggap bidang lakonan masih baru baginya.
"Banyak lagi yang perlu Kak Jee belajar, memandangkan Kak Jee tidak mempunyai pengalaman. Jika masih ragu-ragu, Kak Jee pasti berbincang terlebih dahulu dan cuba lakukan yang terbaik," katanya.
Menyentuh mengenai kehidupannya, Jee menjelaskan dia bahagia di samping anak-anak dan kerjayanya sekarang walaupun tanpa kehadiran lelaki bergelar suami disisi.
"Alhamdulillah, Kak Jee gembira dengan kehidupan sekarang di samping anak-anak dan cuma sibuk dengan kerja.
"Kak Jee hanya mahu pastikan anak-anak dan ibu bapa Kak Jee sihat. Tidak pernah Kak Jee memikirkan soal berkahwin.
"Jika ada jodoh, Kak Jee akan kahwin, tapi kalau ditakdir hidup bersendirian pun tidak mengapa," ujarnya yang tidak gemar berkongsi kisah peribadinya kepada umum.
Walaupun sudah berpisah lebih kurang dua tahun, namun Jee mengakui dia tetap mempunyai hubungan baik dengan bekas suaminya, Johan Indot.
"Kami tetap berkawan, ada masanya saya pernah membawa anak-anak makan bersama dengan bapa mereka.
"Dia dengan kehidupannya dan Kak Jee dengan kehidupan sekarang," kata duta produk SK-II ini.
No comments:
Post a Comment