Sunday, January 31, 2010

Hati Sara bergelora lagi

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

ROSYAM Nor tidak pernah silap percaturan dalam memilih pasangan dalam drama mahupun filem. Sebutlah siapa saja wajah-wajah pelakon wanita popular - Umie Aida, Haliza Misbun, Erra Fazira, Nasha Aziz, Lis Dawati, Rita Rudaini dan Rozita Che Wan, semuanya pernah bergandingan dengan hero Malaya yang bergelar jutawan itu.

Terbaru, Rosyam menemui keserasian dengan pasangan baru iaitu penyanyi Teratai Layu Di Tasik Madu dan Enggan, Fauziah Latiff atau Jee apabila drama bersiri Gelora Di Hati Sara yang disiarkan di kaca TV1, tahun lalu mendapat tempat di hati peminat dan ratingnya melebihi sejuta penonton. Selepas berulang kali disiarkan sepanjang tahun, kini Gelora Di Hati Sara disambung untuk musim kedua dengan adegan yang lebih menyentuh hati.

Biarpun pengarah asalnya, Zul R Shad tidak berkesempatan meneruskan garapan seterusnya, tetapi Mohd Nazir Juhan atau Jet Lee tidak menghampakan untuk meneruskan kesinambungan drama ini. Gelora Di Hati Sara terbitan syarikat produksi Rosyam, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd disiarkan 26 episod lagi dan kini rancak dalam proses penggambaran sekitar Lembah Klang.

Masih menampilkan hero dan heroin asal, Rosyam selaku Azrul dan Jee (Sara), drama air mata ini turut membariskan pelakon popular lain seperti Watie Sadali, Datuk Rahim Razali, Aida Radzwill, Hisham Ahmad Tajuddin, Ismail Yaacob, Mahmud Ali Bashah, Balkish Samundur Khan, Norman Hakim, Dian P Ramlee dan Izreen Azminda (Seekers).

Penderitaan Sara dalam Gelora Di Hati Sara bagaikan tidak berkesudahan malah gelora semakin memuncak hingga menuntut pengorbanannya sebagai isteri dan wanita. Itulah paparan musim terbaru yang pastinya akan membuatkan penonton terusik hati.

Penulis sempat menjenguk lokasi penggambaran Gelora Di Hati Sara di Balai Polis Gombak, Selangor, minggu lalu. Ketika itu, adegan Sara (Jee) ditahan polis akibat dendam yang belum terlerai.

Jee akui amat bersyukur lakonannya diterima malah ada kesinambungan selepas mendapat permintaan ramai. Dia tidak pernah menyangka Gelora Di Hati Sara berulang kali disiarkan sepanjang tahun dan ia sekali gus membuktikan drama itu mempunyai kelompok peminat tersendiri.

"Bergandingan dengan pelakon hebat seperti Rosyam, Datuk Rahim Razali dan Aida Radzwill memberi pengalaman bermakna buat saya. Mereka serius, berdisplin dan mementingkan mutu lakonan. Saya bertuah digandingkan dengan mereka yang hebat, saya turut terbawa-bawa cara mereka bekerja.

"Siapa tak kenal Rosyam, dia seorang yang serius dan tidak main-main di lokasi penggambaran, jadi saya perlu sentiasa bersedia. Biarpun saya masih banyak kelemahan diri, tetapi Rosyam tidak pernah membuatkan saya rasa tertekan, malah dia tidak kedekut ilmu untuk memberi tunjuk ajar. Apa yang dapat saya katakan, emosi saya cukup tersentuh dalam kesinambungan drama ini. Banyak episod-episod yang lebih menguris rasa dipaparkan pada kali ini. Saya sememangnya tercabar, saya perlu lebih banyak bermain emosi apabila Sara tidak sudah-sudah disakiti dan dikhianati. Jika musim lepas, Sara berdepan dengan konflik perkahwinan yang tidak direstui, berlainan pula kali ini. Ujiannya lebih besar dan menuntut pengorbanan diri," kata Jee yang masih tetap jelita.

Jee berkata, dia juga sudah menyiapkan rakaman sebuah lagu berjudul Ku Disini ciptaan Ross Ariffin dan lirik Jee sendiri. Ku Disini akan menjadi tema lagu Gelora Di Hati Sara.

"Lagu Ku Disini juga menjadi single pertama saya selepas hampir tiga tahun tiada album terbaru," katanya yang bahagia hidup sendiri.

Rosyam pula berkata, dirinya tidak akan berhenti berlakon selagi masih bernafas. Biarpun aktiviti lakonannya tahun lalu agak perlahan disebabkan kematian abang dan bapa, selain mendapat kecederaan ketika membintangi filem Libas, dia terpaksa berehat selama enam bulan selepas menjalani pembedahan.

"Alhamdullilah, saya sudah sihat sepenuhnya dan dapat kembali ke lokasi penggambaran. Saya bersyukur Gelora Di Hati Sara mendapat permintaan ramai dan ia disambung dengan musim terbaru yang lebih mendebarkan. Penulis skripnya masih orang sama, Sharifah Abu Saleem. Saya percaya kejayaan Gelora Di Hati Sara yang berulang kali disiarkan di kaca TV sehingga disambung ke musim terbaru adalah hasil kerjasama semua pelakon dan krew. memberi kesan dihati penonton," katanya yang akan muncul dalam tiga filem iaitu CE1, Estet dan Libas untuk tahun ini.

Sinopsis:

SARA mahu meneruskan perceraian walaupun rahsia sudah terbongkar. Dia ingin melakukan pengorbanan kerana keadaan Tengku Marina yang menyintai Azrul walaupun Iskandar ingin kembali kepadanya. Tengku Malik tetap mahu Azrul menceraikan Tengku Marina kerana ingin memberi peluang kepada Iskandar menyintai semula Tengku Marina. Kebaikan Sara membuatkan Tengku Marina setuju untuk diceraikan. Datin Maria pula sedih dengan keputusan Tengku Marina kerana dia adalah menantu pilihannya. Seboleh-bolehnya Datin Maria mahu mengekalkan perkahwinan itu. Datin Maria berada dalam keadaan dilema kerana semua menantunya mahu berkorban antara satu sama lain. Bagaimanapun, Azrul tetap memilih Sara dan mahu menceraikan Tengku Marina seperti kehendak Tengku Malik.

Sumber : Berita Harian

No comments: