Monday, February 9, 2009

Jee Suka Topeng Muka

Sumber : Kosmo!

Status ibu tunggal tidak menghalang Fauziah menjalani kehidupan yang gembira dengan sokongan dua puteranya.

SUARA yang lunak, wajah yang jelita dan bibir yang sentiasa mengukir senyuman cukup senama dengan Fauziah Latiff, 38, atau lebih mesra dengan panggilan Jee.

Melahirkan lebih 16 buah album sejak tahun 1988 dengan album pertamanya, Digamit Memori dan yang terbaru, Pesona, Jee merupakan seorang penyanyi yang tidak pernah kenal erti penat.

Walaupun bergelar ibu tunggal pada usia muda, Jee reda dengan takdir kehidupan yang ditentukan oleh Tuhan buatnya.

Jee mengakui dia gembira dengan kehidupannya yang dikongsi bersama dua permata hati, Jeffry Joaquim Indot, 10 dan Jeremy Jay Indot, 8.

Penyanyi, pelakon dan jurucakap jenama kosmetik SK-II itu meluangkan sedikit masanya dalam satu temu bual ringkas bersama Kosmo! pada majlis pelancaran produk terbaru SK-II, di ibu kota, baru-baru ini.


Kosmo!:Boleh ceritakan rutin harian Jee kini?

Jee: Saya gembira dengan kehidupan saya sekarang. Saya memiliki rumah, kereta dan anak-anak untuk menemani saya setiap hari. Saya bersyukur. Pada saya wanita perlu kuat walaupun berdepan dengan apa sahaja rintangan dan dugaan.

Jika sebelum ini, Jee aktif dengan bermain jet ski dan kick boxing, apakah 'cinta' terbaru Jee?

Sudah lebih 20 tahun saya bekerja, Jadi sekarang adalah masa bagi saya untuk menikmati hidup. 'Cinta' terbaru saya adalah menunggang motosikal kuasa besar. Ini kerana, saya suka mesin dan kelajuan. Pada masa yang sama, saya meluang dan menghabiskan masa untuk aktiviti menyelam. Aktiviti menyelam pula memberikan saya peluang untuk mengenali keindahan hidupan lautan. Malah, menyelam juga mampu memberikan tenaga positif.

Di mana kali terakhir Jee menyelam?

Kali terakhir saya menyelam bersama anak-anak Jeffry dan Jeremy di Pulau Tioman tahun lalu. Saya mula menyelam sekitar tahun 2000 dan mendapati dasar laut kita sangat cantik. Jadi, sebagai penyelam kita dapat menemui hidupan baru di tempat yang berbeza. Setiap kali menyelam, saya akan menimba satu pengalaman baru.

Bagaimanakah Jee menjaga kulit wajah apabila sentiasa sibuk?

Rasanya kulit saya lebih tua daripada usia kerana faktor kerja yang panjang dan memakai alat solek lebih lapan jam. Saya sentiasa risau dengan keadaan kulit. Ditambah pula dengan aktiviti menyelam. Namun, dengan rangkaian produk penjagaan kulit SK-II, saya dapat melakukan pelbagai aktiviti tanpa rasa bimbang.

Apakah produk kegemaran Jee dalam rangkaian kosmetik tersebut?

Saya sudah menggunakan produk SK-II selama 12 tahun dan telah mencuba hampir kesemua produknya dan amat menyukai topeng muka. Bagi saya topeng mukanya mudah digunakan dan boleh dipakai pada waktu malam sehingga keesokan hari.

No comments: