HIDUP sebagai ibu tunggal bukan sesuatu yang diharapkan oleh kaum wanita. Namun, jika itu yang sudah menjadi takdir, kita perlu menerima aturan dan suratan takdir.
Bagi Fauziah Latiff atau lebih dikenali sebagai Jee, dia juga berdepan dengan masa depan tanpa bekas suaminya, Johan Indot, 48, di sisi.
Jee yang sudah hampir tiga tahun bersendirian sudah pun belajar untuk menguruskan hidupnya seorang diri dan bersyukur dengan apa yang dinikmati hari ini. Maka, buat masa ini dia belum mempunyai sebarang niat untuk menerima cinta baru dalam hidupnya.
"Saya bukannya muda lagi. Usia saya akan menjangkau 40 tahun tidak lama lagi. Selepas melalui pelbagai dugaan, saya tidak kisah kalau hidup bersendirian.
"Kalau ada jodoh, baguslah. Kalau tidak ada pun saya tidak kisah. Saya gembira dengan kehidupan saya sekarang. Saya memiliki rumah, kereta dan anak-anak untuk menemani saya setiap hari.
"Saya bersyukur dengan hidup ini dan pada saya wanita perlu menjadi kuat walaupun berdepan dengan apa sahaja rintangan," katanya pada majlis mengumumkan Jee sebagai jurucakap produk kecantikan SK-II untuk 12 tahun berturut-turut.
Hidupnya kini dihabiskan dengan minat terbaru iaitu menunggang motosikal kuasa besar dan menyelam. Dia menunggang motosikal kerana menyukai mesin dan kelajuan.
Aktiviti menyelam pula memberikan dia peluang untuk mengenali dan mempelajari keindahan hidupan lautan. Malah, menyelam juga mampu memberikan tenaga positif kepada dirinya.
"Sudah lebih 20 tahun saya bekerja. Jadi sekarang adalah masa bagi saya untuk menikmati hidup. Saya mula menyelam sekitar tahun 2000 dan mendapati laut kita juga cantik. Jadi tidak kira di mana, kita sebagai penyelam dapat menemui hidupan baru di tempat berbeza.
"Namun, saya cuma tahu mengenai batu karang yang asas sahaja. Jadi setiap kali menyelam adalah satu pengalaman baru. Kali terakhir saya menyelam adalah bersama anak-anak saya, Jeffry Joaquim Indot, 10, dan Jeremy Jay Indot, 8, di Pulau Tioman pada tahun lalu," tambah Jee yang merupakan duta Coral Malaysia.
Selain daripada aktiviti riadah, Jee juga sibuk dengan tugasan sebagai ibu terutama selepas kedua-dua anaknya kembali bersekolah. Maka, Jee mengambil keputusan untuk berehat seketika dalam dunia lakonan serta nyanyian.
"Muzik masih menjadi keutamaan saya. Tetapi masih belum ada sebarang perancangan untuk merakamkan album baru. Saya juga telah menolak banyak tawaran berlakon kerana mahu berehat," tambahnya lagi.
Pernah terlibat dalam drama Gelora Di Hati Sara, Jee berpendapat dirinya masih lagi baru dalam dunia lakonan dan memerlukan lebih banyak masa untuk belajar.
"Lakonan adalah seperti tadika buat saya. Maka, saya perlu banyak belajar daripada mereka yang senior. Apa yang saya pelajari semasa berada di lokasi penggambaran lebih sebulan adalah nilai komitmen dan tanggungjawab.
"Namun, saya tidak mahu terlalu mendesak untuk bergelar seorang pelakon yang diterima ramai. Saya mahu lakukannya secara berperingkat kerana untuk dikenali sebagai pelakon hebat bukannya satu perkara muda," jelasnya yang anggun dalam gaun ungu.
Selesa sebagai jurucakap SK-II
Sudah menggunakan produk SK-II selama 12 tahun, Jee telah mencuba hampir kesemua produknya dan amat menyukai topeng muka. Baginya, topeng muka ini mudah untuk digunakan dan boleh dipakai pada waktu malam sehingga keesokannya.
"Pada mulanya saya memang mempunyai masalah dengan kulit saya tetapi bukannya terlalu teruk. Cuma kulit saya agak berminyak dan warnanya tidak sekata. Saya berasa sedih, marah dan risau dengan keadaannya. Namun, selepas menggunakan produk ini, ramai orang yang tertanya-tanya apa yang saya lakukan terhadap kulit saya. Inilah jawapannya,"ujarnya.
Menyatakan kulitnya lebih tua daripada usia kerana faktor kerja yang memerlukan masa yang panjang di luar dan memakai alat solek lebih daripada lapan jam, Jee sentiasa risau dengan keadaan kulitnya.
"Kini ditambah lagi dengan aktiviti menyelam, saya perlu lebih berhati-hati. Nasib baik dengan rangkaian penjagaan kulit ini, saya boleh menyelam tanpa perlu merisaukan kulit saya," tambahnya yang menasihatkan kaum lelaki juga perlu menjaga kulit mereka.
No comments:
Post a Comment