Saturday, October 4, 2008

Sepi Seorang Jee

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

TAHUN ini masuk tahun kedua, selebriti terkenal Fauziah Latiff atau lebih mesra disapa sebagai Jee ini merayakan Aidilfitri sebagai ibu tunggal sejak perkahwinan kali keduanya runtuh tahun lalu.

Kini bekas isteri kepada Johan Indot, 47, dan ibu kepada Jeffry Joaquim Indot, 9, dan Jeremy Jay Indot, 6, ini tetap meraikan lebaran seperti insan lain walaupun tidak lagi bertemankan suami di sisi setelah 10 tahun hidup bersama Johan.

Apabila diminta untuk berkongsi cerita mengenai keluarga, wanita ini menegaskan dia tidak mahu berkata banyak tentang perihal keluarga.

Namun, dia tetap berkongsi sedikit kenangannya berhari raya bersama anak-anak yang merupakan permata hati yang tiada tolok bandingnya.

Menurut Jee, anak-anak merupakan kekuatan dirinya untuk terus berdiri kukuh dalam mengharungi hari yang penuh berliku suatu ketika dulu dan menceriakannya ketika Hari Raya menjelma tiba.

“Raya saya biasa saja, tiada yang bezanya cuma bagi saya anak-anak gembira cukuplah, mereka yang paling utama buat saya. Persiapan yang dilakukan juga semuanya untuk mereka.

“Saya pakai baju tahun lalu pun tidak apa, sebab banyak lagi baju yang masih elok dan belum dipakai, buat apa membazir. Cuma saya ada membeli sedikit kuih raya saja,” tuturnya lagi.


Meskipun sibuk bekerja, Jee juga seperti ibu yang lain, selain mengemas rumah dan menyediakan keperluan anak-anak, dia juga tidak kekok untuk turun ke dapur memasak makanan kegemaran kedua-dua anaknya sempena raya.

“Mereka sangat suka ketupat dan masak lodeh. Kalau makanan itu ada atas meja, memang mereka makan penuh semangat, itu yang seronok sangat,” ujarnya lagi.

Sungguhpun begitu, Jee tetap bersyukur kerana dia dan bekas suami masih lagi berbaik demi anak-anak, dan sebagai ibu bapa, mereka berdua menjaga Jeffry dan Jeremy mengikut giliran.

“Saya tidak mahu penceraian menjejaskan anak-anak, mereka sihat, pergi sekolah macam biasa, jadi raya kali ini pun begitu juga.

“Rancangan beraya masih belum ada lagi, kalau tidak ada aral melintang saya akan bawa mereka pulang berhari raya di kampung saya di Johor dan selepas itu berkemungkinan membawa emak saya untuk bercuti sekali.

“Macam tahun lepas, malam raya mereka bersama saya, sibuklah buat persiapan bersama, dan pada keesokan harinya mereka akan beraya bersama bapa mereka pula. Tahun ini memang saya tidak tahu macam mana, semua melihat pada keadaan dulu,” katanya lagi yang enggan mengulas lanjut.

Cinta mula berputik

Apabila beralih topik kepada teman hidup, Jee yang masih jelita pada usia 37 tahun ini pada mulanya terdiam sejenak lalu berkata: “Saya tidak terfikir lagi tentang perkara itu. Kawan-kawan saya ramai, tetapi yang istimewa itu belum ada lagi.

“Asalkan saya gembira dan bahagia dengan hidup seperti sekarang ini sudah memadai. Mungkin nasib orang lain lebih teruk daripada saya, siapa tahu, jadi saya bersyukur sangat dengan apa saya miliki.

“Kalau ada jodoh adalah, kalau tidak pun saya cukup bahagia sekarang ini, kerana fokus saya hanya pada bidang lakonan yang baru saya ceburi dan kerja saya sebagai anak seni,” ucapnya jujur.

Tidak gusar jika selepas ini namanya lebih dikenali sebagai pelakon berbanding penyanyi oleh peminat hiburan generasi baru, Jee mengakui cintanya terhadap dunia lakonan sudah mula berputik.

Sudah berada dalam bidang nyanyian lebih 20 tahun, Jee memberitahu dia kini sedang merehatkan diri sebagai penyanyi kerana mahu memberikan lebih fokus terhadap lakonan.

Ini terbukti daripada penglibatannya dalam beberapa produksi drama terbitan aktor Rosyam Nor seperti, Gelora Di Hati Sarah dan Kudrat Iman yang ditayangkan bermula 11 Oktober ini.

“Saya sudah kecapi apa yang seorang penyanyi mahukan, rasanya lebih 20 tahun, jadi sekarang ini saya mahu berehat buat sementara dan tumpukan dalam bidang lakonan dulu.


“Ini kerana bidang lakonan menuntut komitmen yang lebih disebabkan saya merupakan pelakon yang sangat baru dan banyak benda yang saya kena belajar lagi,” katanya merendah diri.

Ditebak, mungkinkah keputusannya ini saling berkait dengan dakwaan-dakwaan yang mengatakan dia tidak lagi boleh menyanyi secara langsung.

Dengan tenang wanita penuh karisma ini menjawab: “Keputusan yang dibuat tidak ada kena mengena dengan gosip itu, lagipun memang sudah lama saya buat keputusan untuk berehat seketika daripada nyanyian.

“Saya tidak kisah apa pandangan serta komen orang tentang saya kerana mereka berhak untuk bersuara, saya terima dengan hati yang terbuka dan positif,” luahnya tanpa sedikit pun tanda amarah dalam diri.

Terpulang kepada Tuhan

Jika diteliti dengan mendalam, nama besar seperti Jee yang terjun ke bidang lakonan pastinya tidak sukar untuk meraih perhatian khalayak.

Apatah lagi, bakat lakonannya turut mendapat pujian daripada Rosyam Nor sendiri yang menyifatkan Jee seorang pelakon yang serba boleh apabila Rosyam sendiri bergandingan dengannya dalam drama Gelora Di Hati Sarah.

“Entahlah, saya cuba buat sehabis baik dan menuntut sebanyak ilmu daripada mereka yang lebih senior daripada saya, walaupun tidak sempurna tetapi saya ingin cuba.

“Saya akui, mula-mula sangat kaku, takut dan malu, tetapi lama-kelamaan bila saya sudah serasi dengan krew, perasaan malu itu hilang tiba-tiba,” jelasnya tentang pengalamannya sebagai pelakon baru.

Ditebak lagi, mungkinkah bidang lakonan menjadi sumber utamanya sebagai pintu rezeki selepas ini, Jee bagaimanapun menjawab perkara itu adalah diluar kawalannya.

“Tentang rezeki, saya tidak berani untuk menjawabnya, semuanya terpulang pada Tuhan, walaupun saya berlakon tidak bermakna saya akan kuburkan terus bidang nyanyian.

“Memang ada perancangan untuk hasilkan album baru, tetapi seperti yang saya katakan, sekarang ini saya sedang berehat daripada menyanyi, tunggulah tengok macam mana, harap peminat bersabar dan boleh terima saya sebagai pelakon pula,” luahnya yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini minta dimengerti.

Sebelum mengakhiri bicara, Jee sempat menyatakan penghargaannya buat peminat yang sentiasa menyokongnya daripada awal penglibatannya dalam bidang seni yang bermula pada tahun 1985.

“Apa yang saya tahu, tanpa peminat, siapalah saya, lagipun sekarang ini saya bukan muda lagi, zaman saya sudah berlalu, tetapi masih ada yang menyokong, itu satu penghormatan buat saya.

“Pada lebaran ini, saya harap semua menyambutnya dengan penuh gembira,” tuturnya sambil mengukir senyuman manis di bibir.

Sumber: Kosmo

No comments: