Tuesday, August 26, 2008

Jee Sudah Bersedia Bergelar Pelakon


oleh WAHIDA ASRANI

SEPANJANG lebih 20 tahun mengabdikan diri di dalam bidang hiburan, dirinya memang selesa memberikan tumpuan yang penuh sebagai seorang penyanyi.

Meskipun banyak tawaran berlakon yang singgah, Fauziah Latiff yang mesra disapa Jee ini pasti akan menolak dengan alasan dirinya belum bersedia untuk terjun di dalam bidang tersebut.

Penyanyi berusia 37 tahun ini hanya pernah muncul di dalam teater arahan Ahmad Tarmimi Siregar, Rubiah pada tahun 2000 dengan memegang watak utama tersebut dan sebuah sitkom Hari Raya, Lontong arahan Azwan Ali yang turut dijayakan oleh Salih Yaacob, Ogy Ahmad Daud, Ning Baizura dan kumpulan KRU sekitar tahun 90an.

Namun kini, penyanyi yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini akui sudah tiba masa untuk dirinya 'memberanikan' diri bergelar pelakon setelah merasakan dirinya juga perlu mencuba sesuatu yang baru.

Jee akhirnya melahirkan persetujuan untuk berlakon di dalam beberapa buah drama terbitan produksi milik aktor popular, Rosyam Nor setelah beberapa tahun pelakon, dan penerbit itu cuba 'melamar' dirinya untuk berlakon.

"Sebenarnya saya agak gementar juga untuk berlakon ni. Tetapi saya rasa timing tu memang kena pada masa sekarang. Lagipun memang sudah lama Rosyam offer saya berlakon, tetapi saya memang tidak bersedia ketika itu.

"Kali ini, dia approach lagi dan seperti yang saya katakan tadi, masanya memang sesuai. Apatah lagi ketika ini saya sedang 'berehat' seketika daripada bidang nyanyian. Jadi rasanya tidak salah untuk saya cuba sesuatu yang baru pula," kata Jee.

Menurut ibu kepada dua orang anak lelaki iaitu Jeffri Joaquim Indot, 8, dan Jeremy Jay Indot, 6, buat masa ini dia masih di dalam peringkat perbincangan dengan Rosyam mengenai projek-projek drama yang bakal dijayakannya kelak.

Difahamkan, kemungkinan drama pertamanya nanti akan disiarkan sempena Hari Raya Aidilfitri yang turut menampilkan Rosyam sendiri dan Fauziah Nawi.

"Susah untuk saya cakap dengan lebih lanjut sekarang. Tetapi kita memang sedang berbincang lanjut tentang perkara itu. Tapi, rasa-rasanya boleh tak saya berlakon?" tutur Jee dalam nada ceria.

Bagi penyanyi ini, dia tidak merasakan dirinya agak 'lewat' untuk mula melangkah di dalam bidang lakonan sedangkan ramai rakan-rakan penyanyi lain sudah lama mula menceburi bidang itu.

Malah, Jee juga tidak mahu ada pihak yang menganggap percubaannya menceburi bidang lakonan ini disebabkan karier nyanyiannya yang semakin 'perlahan'.

"Selama kira-kira 23 tahun di dalam bidang nyanyian, saya sudah lalui pelbagai perkara pahit dan manis. Sudah banyak benda yang saya buat dan kecapi sepanjang menjadi seorang penyanyi.

"Jadi tidak salah jika saya ingin belajar satu bidang baru yang boleh manfaatkan diri saya sendiri. Saya tidak rasa diri saya lambat sertai bidang lakonan. Dulu, satu demi satu tawaran saya tolak kerana tidak bersedia dan ingin fokus kepada nyanyian saja.

"Kali ini, let me try this. Saya sedar saya masih baru dan apa saja kritikan yang diberikan kelak, saya akan terima dengan hati yang terbuka. Tidak kisahlah walaupun saya mula berlakon di dalam drama dulu.

"At least, saya boleh belajar dari bawah. Saya bersyukur kerana dapat bergandingan dengan pelakon yang berkaliber seperti Rosyam dan diberi peluang menyertai produksinya," ujar Jee.

Kata Jee lagi, percubaannya di dalam bidang lakonan bagaimanapun tidak bermaksud dia akan beralih angin sepenuhnya terhadap bidang tersebut.

"Saya ingin berehat seketika dari bidang nyanyian dan ingin beri tumpuan pada anak-anak dan perkara lain. Sebab itu saya tidak kisah untuk cuba berlakon pula.

"Tetapi, masih banyak tawaran show yang saya terima dan Insyaallah, jika ada rezeki, saya memang ingin hasilkan album baru. Lagipun, sudah ramai peminat yang bertanya bila album baru akan keluar," kata Jee yang kali terakhir menghasilkan albumnya kira-kira dua tahun lepas iaitu Pesona.

Sumber : mstar.com.my

Fauziah Latiff : Kembali Dengan Nafas Baru


Fauziah Latiff atau mesranya Jee, bakal melebarkan bakat seninya sebagai pelakon. Kini rakyat Malaysia amnya peminatnya menantikan kemunculan pertama Jee di skrin TV bergandingan dengan Rosyam. Jika dilihat dari penampilan Jee, kita dapat lihat bahawa wanita cekal ini mampu untuk menggegarkan industri lakonan Malaysia dan mungkin beliau mampu menjadi aktres terbaik Malaysia.

Kita pasti dapat membayangkan Jee akan membawakan watak air mata, dan mungkin lebih dari itu. Lihat sahaja lakonannya di dalam setiap video klip yang dihasilkan. Tampak memberangsangkan. Jadi, laluan mudah bagi Jee untuk menghayati watak ditambah pengalaman hidupnya yang sukar untuk berada di atas kini.

Walau jarang tampil di khalayak, kemunculan Jee tetap diberikan perhataian walau hanya menghadiri jemputan majlis-majlis tertentu. Artikel di akhbar tetap di nanti di mana peminat tetap ingin mengetahui berita terbaru tentang artis kesayangan mereka ini. Jee antara artis yang mekar di hati rakyat Malaysia. Lagu-lagu dari albumnya tidak pernah menghampakan peminat. Kini, lakonannya di skrin tv mahupun di layar perak pasti menjadi koleksi kenangan indah di kalangan peminat setianya.

Kepada Jee, jangan sesekali berputus asa kerana ramai peminat mendoakan kejayaan Jee. Tidak apa bidang Jee ceburi, peminat berada di belakang Jee untuk menyokongnya untuk membuat yang terbaik. All the BEST to Jee!!!

Jee : Bahagia Hidup Sendiri


Oleh: Syanty Octavia Amry
Foto: Dannial Shah Ubaiedillah

Hampir 10 tahun melayari hidup berumahtangga bersama Johan Endut, kini penyanyi yang popular dengan lagu "Teratai Layu Di Tasik Madu", Fauziah Latif harus akur apabila terpaksa menjalani hidup sebagai ibu tunggal sekali lagi bersama dua orang anak lelakinya.

Perkahwinan kali kedua Jee yang dibina atas dasar cinta itu hanya mampu bertahan setakat ini sahaja dan kini Jee harus fokus terhadap kerjaya dan anak-anak yang semakin membesar.

Seperti semua sedia maklum, sikap berhati-hati Jee dalam menjawab soalan media membuatkan tidak semua rahsia peribadinya dapat dikongsi bersama peminat. Apa yang penting kini bagi Jee adalah memberikan didikan yang secukupnya terhadap anak-anak dan memastikan mereka tidak lalai dengan kehidupan duniawi.

Lama tidak muncul dengan album solo, kini Jee sedang sibuk mencari material untuk album terbarunya yang masih dalam perbincangan yang dijangka bakal berada di pasaran pada 2009 nanti. Baginya lambat keluar album bukan satu masalah, yang penting kualiti dan kepuasan pada dirinya serta peminat yang lebih diutamakan.

Mengulas kehidupannya kini, Jee mengakui tidak ada yang berubah, segala-galanya masih tetap sama seperti dahulu. Rutin hidupnya tetap sama. Menjaga kebajikan anak-anak yang di bawah jagaannya kini serta sekali sekala ke syarikat rakaman untuk berbincang mengenai projek terbarunya.

“Tidak ada apa yang merubah hidup saya sejak dulu hingga kini. Hari-hari yang saya lalui masih tetap sama seperti dulu, bezanya mungkin saya hanya dengan anak-anak tanpa suami di sisi."


Sumber : www.jomstar.com

Tuesday, August 19, 2008

JEE Si Anak Wayang


Lamaran aktor tersohor negara Rosyam Nor bagaikan sukar ditepis penyanyi jelita ini

SELAMA ini nama Fauziah Latiff atau Jee lebih menyerlah sebagai penghibur. Malah, lagu dan nyanyiannya sehingga kini sering menjadi peneman kala kita berduka atau bergembira. Kecemerlangannya dalam bidang nyanyian memang tidak dapat disangkal lagi.

Namun, sejujurnya bagaikan ada kekurangan dalam resume si pelantun Kau Merubah Segalanya ini jika dia tidak berani terjun dalam bidang lakonan. Melihat perjalanannya sebagai anak seni, dia mempunyai bakat yang besar dalam bidang ini. Buktinya, penghayatannya dalam setiap klip video yang dijayakan sering mendapat pujian.

Malah, seraut wajah jelitanya itu pernah muncul dalam teater berjudul Rubiah dan juga program komedi Lontong terbitan TV3 suatu waktu dulu. Namun, pembabitannya itu bukanlah secara total kerana selepas itu Jee lebih senang menumpukan perhatiannya dalam bidang nyanyian.

Bagaimanapun, tembok yang dibina Jee dalam bidang lakonan berjaya diruntuhkan aktor Rosyam Noor apabila pelakon dan penerbit terkenal itu berjaya menarik minat Jee untuk berlakon bersamanya dalam sebuah telemovie berjudul, Kudrat Iman.

Agaknya ilmu apalah yang dipakai Rosyam sehingga berjaya membuka pintu hati Jee untuk berlakon dalam telemovie arahan Bade Azmi itu.

“Sebelum ini pun Rosyam memang sudah lama melamar saya untuk berlakon dengannya cuma saya saja yang tidak memberikan sebarang keputusan. Mungkin apa yang boleh saya katakan adalah lamaran itu tiba tepat pada masanya.

“Dan kebetulan saya sekarang ini mempunyai banyak masa terluang kerana sedang berehat dari menyanyi. Bukan senang hendak berlakon, fokus kena ada. Lagipun, melihat kesungguhan yang ditunjukkan Rosyam membuatkan hati saya terbuka untuk menerima tawarannya itu,” ujar Jee ketika ditemui Hip di lokasi penggambaran telemovie berkenaan di Ampang, petang Jumaat lalu.

Dijolok pertanyaan apakah bayaran lumayan juga menjadi faktor dia bersedia turun ke gelanggang lakonan, Jee menafikan kesahihan perkara itu.

“Ia bukan disebabkan bayaran tetapi saya melihat kepada dengan siapa saya bekerja, cerita dan jenis watak yang ditawarkan. Apa yang berlaku di sini adalah perjanjian persefahaman antara saya dan Rosyam. Asalkan masing-masing puas hati dengan hasilnya, itu sudah memadai,” jelas Jee sekali gus melenyapkan spekulasi kononnya dia dibayar mahal oleh Suhan Movies & Trading Sdn Bhd sebagai pelakon utama telemovie itu.

Gementar di hari pertama penggambaran

TAMPIL berbaju kurung dengan rambut dilepaskan ke bahu, Jee yang memegang watak sebagai Mahani kelihatan anggun sudi berkongsi pengalamannya buat pertama kali bergelar anak wayang.

“Hari pertama saya di lokasi, haru biru sangat. Perasaan malu, gementar dan takut bercampur baur dalam hati. Bayangkan pertama kali berlakon, saya perlu berdepan dengan pelakon berpengalaman seperti Rosyam, Wan Maimunah, Ismail Yaacob.

“Bukan saja dengan pelakon tetapi Jee juga segan dengan semua kru yang bertugas. Tapi syukurlah, selepas sehari bersama mereka, Jee akhirnya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling,” katanya yang turut menjadikan lokasi penggambaran itu sebagai tempat untuk menimba ilmu.

Walaupun berada di depan kamera bukanlah satu masalah baginya namun bagi Jee perkara itu berbeza apabila dia berlakon.

“Memang banyak bezanya antara berlakon dan buat klip video. Klip video tak banyak terbabit dengan skrip. Lagipun sudah 20 tahun Jee buat perkara yang sama, dah lali. Ini berbeza dengan lakonan kerana selain perlu menghafal skrip, kita juga perlu bermain dengan emosi.

“Pun begitu, Jee begitu berterima kasih pada mereka kerana sudi membimbing Jee walaupun pada awalnya memang sukar buat Jee untuk menghayati watak Mahani. Iyalah, setiap kali ada adegan memerlukan saya bertentang mata dengan Rosyam, saya akan ketawa kerana lucu,” cerita Jee sambil tertawa kecil.

Sebagai Mahani, Jee berkata walaupun watak itu tidaklah seberat mana namun karakternya itu tetap menuntut pengorbanan yang tinggi buatnya.

“Mahani seorang gadis kampung yang ringkas dan juga tunangan kepada Rosyam yang memegang watak sebagai Zainal. Bagaimanapun apabila dia mendapat tahu Rosyam curang padanya, dia amat marah. Babak masa Mahani serang Rosyam itulah yang membuatkan saya berdebar-debar. Mesti orang nak tengok macam mana Fauziah Latiff mengamukkan?

“Tapi mujurlah Bade ada bagi tunjuk ajar bagaimana nak hayati babak sebegitu. Dan saya sendiri, kalau tak ada babak pun akan tetap datang ke lokasi untuk melihat pelakon lain berlakon. Sekurang-kurangnya ia boleh membantu Jee untuk mantapkan lagi teknik lakonan,” jelasnya yang nyata serius apabila mengambil keputusan untuk bergelar pelakon.

Sumber : Berita Harian

Thursday, August 14, 2008

Ajak Jee Jadi Kekasih Di Skrin TV


Rosyam gembira penyanyi Apa Sebenarnya terima lamaran

PELAKON popular, Rosyam Noor berminat untuk melamar penyanyi Fauziah Latiff. Bukan cerita rekaan tetapi itulah hakikat sebenar dan Rosyam sendiri sudah mengaku di depan beberapa teman media bahawa dia memang minat dengan si pelantun Apa Sebenarnya itu.

Dan menurut Rosyam, hasrat yang murni lagi tulus itu sudah pun disuarakan kepada Fauziah yang lebih dikenali dengan panggilan Jee itu.

“Memang saya ada melamar Jee tetapi lamaran itu hanyalah meminta dia berlakon bersama saya dalam telemovie terbitan syarikat saya Suhan Movies & Trading Sdn Bhd

“Hasrat itu sudah pun saya luahkan dan sekarang sedang menunggu kata putus darinya,” ujar Rosyam ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbitan syarikatnya berjudul Ku Milikmu di La Maison Restaurant, Maytower Hotel and Serviced Apartment, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Rosyam, walaupun Jee masih belum memberi kata putus namun dia sudah pun merancang dua buah drama untuk penyanyi popular itu.

“Buat masa ini, saya sudah sediakan dua buah drama untuknya. Pertama drama itu mengisahkan kejujuran dan takdir bertajuk Gelora Di Hati Sarah dan kedua, drama itu bakal diberi tajuk, Teratai Layu Di Tasik Madu yang dipetik dari lagu popularnya.

“Ketika saya menyuarakan hasrat itu padanya, dia hanya tertawa dan tidak yakin sama ada dia boleh berlakon atau tidak. Tapi, saya yakinkan dia bahawa saya boleh mengajarnya dan sanggup berlakon bersama asalkan dia menerima tawaran itu,” tegas pelakon berkarakter ini.

Ditanya apakah kerana populariti menyebabkan dia berminat untuk mengambil Jee berlakon, Rosyam mengatakan pemilihan itu dilakukan atas beberapa sebab.

“Perkara utama membuatkan saya berminat dengan Jee adalah kerana saya memang meminatinya. Kemudian, saya melihat dia memang mempunyai potensi untuk berlakon berdasarkan apa yang saya lihat menerusi klip videonya.

“Mungkin apabila berlakon, populariti Jee akan lebih memuncak. Lebih-lebih lagi apabila digandingkan dengan saya. Kira macam pasangan baru sayalah selepas Eja dan Rita Rudaini. Saya juga akan gunakan lagu nyanyiannya sebagai lagu tema drama saya kerana lagu Jee memang banyak yang menarik,” ujar Rosyam yang bakal muncul dengan telemovie berjudul Mengejar Sinar yang akan ditayangkan pada Aidilfitri nanti di TV3.

Kembali

HAMPIR lapan bulan Rosyam tidak menjejakkan kaki ke lokasi sebagai pelakon. Sejak kematian abang dan bapanya awal tahun lalu, Rosyam berkata hatinya bagaikan tertutup untuk berlakon. Dan dalam tempoh itu, menurut Rosyam dia lebih banyak menghabiskan masa melakukan kerja di belakang tabir.

“Sekarang ini saya sudah kembali berlakon dan saya akan kembali berpasangan dengan Rita Rudaini untuk slot Samarinda berjudul Trilogi Cinta. Dan alhamdulillah, rezeki Suhan Movies semakin mencurah-curah dan kami semakin aktif menerbitkan telemovie dan juga drama bersiri.

“Insya-Allah, drama saya yang berunsurkan kerohanian akan ditayangkan di TV9. Drama berjudul Kepadamu Kekasih ini akan menceritakan mengenai kehidupan anak yatim piatu. Memang sedih ceritanya dan saya percaya ramai yang akan mengalirkan air mata apabila menonton drama ini,” jelas Rosyam sambil mengakui projek yang diterima syarikatnya sudah penuh sehingga tahun depan.

Mengulas drama Ku Milikmu yang diterbitkan syarikatnya, Rosyam berkata ini adalah percubaan pertama Suhan Movies & Trading Sdn Bhd menghasilkan drama komedi romantik seperti ini. Drama bersiri 26 episod ini menampilkan pelakon seperti Liza Othman, Norseha, Khathy Fauziah, Buzen, Eira Syazira, Farahdhiya, Zizan Nin, Adzriefaiz dan Kapten Md Nor.

Sumber : Berita Harian

Monday, August 4, 2008

Fauziah Latiff Terima Lamaran Rosyam Nor


BUKAN sedikit tawaran filem dan drama ditolak Fauziah Latiff. Bagaimanapun aktor dan penerbit terkenal, Rosyam Nor, bertuah apabila wanita yang mesra disapa Jee itu menyambut baik lamarannya membintangi produk terbitan Suhan Movies.

Dan, pastinya kesediaan pelantun lagu Enggan itu muncul sebagai ‘heroin’ baru Rosyam mengubat kerinduan peminat yang sekian lama menanti kemunculannya.

Akui Rosyam, sudah lama dia memasang angan-angan membawa Jee ke dunia lakonan, bahkan dia yakin penyanyi jelita itu mampu menghayati setiap watak yang bakal dibawa dengan baik.

“Bagi saya, Jee adalah penghibur. Melihat persembahan dan klip videonya, saya yakin dia boleh berlakon. Penyanyi diserap sebagai pelakon bukan perkara baru dalam industri kita.

“Sebagai pengenalan, dia akan menjadi pasangan saya dalam sebuah drama yang akan ditayangkan pada Aidilfitri nanti.

“Kemudian dia akan membintangi drama 13 episod berjudul Gelora di Hati Sara dan pada tahun depan kami akan bergandingan dalam siri Teratai Layu di Tasik Madu yang juga terbitan Suhan Movies.

“Sebagai tanda terima kasih di atas kesudian Jee, saya akan mempromosi lagu dendangannya dalam drama yang dibintanginya,” kata Rosyam di majlis pelancaran drama Ku Milik Mu.

Tambahnya, bergelar pelakon drama menuntut pengorbanan masa. Jika dibandingkan pendapatan yang bakal diperoleh memanglah tidak setimpal menyanyi.

Bagaimanapun, dia yakin Jee akan gembira kerana digandingkan dengan ramai pelakon hebat dan peluang yang diberi ini menjadi landasan ibu kepada dua putera itu mencuba cabang seni baru.

Mengulas perkembangan terbaru, Rosyam bersyukur kerana syarikatnya mendapat kepercayaan stesen televisyen, malah sudah enam tahun berturut-turut drama terbitannya ditayangkan pada malam raya.

“Sempena perayaan Aidilfitri, saya menghasilkan tiga drama raya. Satu daripadanya berjudul Mengejar Sinar dibintangi Fauziah Nawi, Aziz M Osman, Erma Fatima, Ismail Yaacob, Erynne Erynna dan saya sendiri.

“Lazimnya drama raya terbitan Suhan Movies meruntun hati dan penuh dengan pengajaran. Begitu juga dengan drama ini yang mengisahkan tiga insan hilang harapan.

“Saya melakonkan watak Iman yang hilang arah apabila isterinya meninggal dunia. Dia menyalahkan dirinya dan mula hilang tumpuan hingga kehilangan kerja.

“Dia yang mempunyai seorang anak akhirnya melarat di tepi jalan dan bertemu wanita tua senasib dengannya lakonan Fauziah Nawi,” katanya yang menyifatkan drama dan filem antara medium terbaik untuk berdakwah.

Selain rancak menerbitan drama raya, produksi miliknya juga mempersembakan drama Trilogi Cinta, Rozana dan Kepadamu Kekasih selepas Rozana.

“Saya berterima kasih dengan Media Prima, Astro dan RTM kerana mempercayai saya. Dengan adanya peluang sebegini, dapatlah saya berkongsi pendapatan dengan rakan pelakon dan kru penggambaran. Memang inilah matlamat Suhan Movies.

“Insya-Allah syarikat saya akan menerbitkan filem tahun depan. Namun sebelum ini saya akan hasilkan sebuah program realiti. Bagaimana konsepnya perlu dirahsiakan buat sementara waktu,” katanya yang berjiwa prihatin.

Pelakon ini turut menjawab penyepiannya sejak lapan bulan lalu ada sebabnya. Dia memerlukan sedikit ruang apabila abang dan bapa tercinta menyahut panggilan Ilahi.

“Dua insan ini sangat rapat dengan saya. Kehilangan mereka sangat dirasai. Kalaupun berlakon, saya hanya muncul seketika dalam Abadi Sebuah Cinta.

“Sepanjang tempoh ini, bolehlah dikatakan saya dapat berehat selepas 25 tahun bekerja keras. Kebanyakan masa saya dihabiskan di pejabat,” katanya yang menolak banyak tawaran filem kerana watak yang diberi kurang bersesuaian dengan jiwa dan usianya.

Mengulas siri Ku Milik Mu, tegas Rosyam, ini adalah produk pertama bertemakan kisah remaja dan ringan syarikatnya.

Berpuas hati dengan sentuhan Along Kamaludin selaku pengarah, dia optimis siri yang bersiaran di saluran TV3 ini memenuhi citarasa penonton.

Siri yang bakal ditayangkan setiap Selasa, jam 9 malam bermula 5 Ogos ini mengetengahkan Zizan Nin, Faradhiya dan Eira Syazira sebagai pelakon utama dengan dibantu Buzen, Liza Othman, Adzriefaiz dan Khaty Fauziah.

Sumber : Metro