Thursday, March 27, 2008

Jee Kembali demi ABPBH


Fauziah Latiff bakal menyampaikan trofi bersama Rozita Che Wan, Rashidi Ishak

BUKAN kecewa atau menjauhkan diri daripada segala publisiti, tetapi penyanyi Fauziah Latiff memilih untuk tidak menonjolkan dirinya di dada akhbar atau majalah sekadar memberikan sedikit ruang untuknya bernafas.

Kini, setelah setahun dirinya hidup sendirian, Fauziah atau Jee, berasakan sudah tiba detik dia muncul semula di khalayak. Bukan dengan niat untuk memperjelaskan segala kemelut yang melanda, sebaliknya bagi mendekati kembali kalangan peminat yang sekian lama merindui dirinya.


Penampilan pertama wanita anggun ini di kaca televisyen, tentunya sebagai penyampai pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007, yang bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, 30 Mac ini. Acara kemuncak yang mengumpulkan begitu ramai selebriti tanah air itu akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dan Hot FM.

Jee turut kembali ke arena seni dengan semangat lebih membara serta jiwa yang lebih kental, setelah kali akhir menghiburkan peminat dengan album Pesona. Apatah lagi kini lagu Menjauhkan Diri, ciptaan Ross Ariffin dan Juwie, mendapat putaran yang cukup membanggakan di beberapa stesen radio.

Kata Jee, Menjauhkan Diri bukan lagu baru, tetapi irama indah berkenaan cukup rugi jika tidak dikongsi bersama pendengar. Ia pernah dimuatkan dalam kompilasi Di Sebalik beberapa tahun lalu. Sayang sekali, lagu itu seperti terlupa untuk dimainkan DJ sewaktu kompilasi CD berkembar dua berkenaan mula dipasarkan.

Paling tidak, putaran semula lagu berkenaan mampu membangkitkan semula kenangan peminat pada penyanyi ini, sebelum dirinya tampil bersama album baru yang masih lagi dalam peringkat pencarian material, sehingga kini.


Menurut wanita jelita ini, jika diizinkan, dia sekali lagi ingin menerbitkan sendiri album terbaru, dengan konsep dan imej yang masih lagi dicari. Yang pasti, dia tidak berasakan perubahan drastik patut dilakukan bagi produk terbabit, bimbang peminat akan terkejut dan sukar menerima perbezaan yang dipersembahkan nanti.

"Menjadi harapan Jee agar album baru dapat juga dihasilkan sebelum tahun 2008 berakhir. Namun, Jee tidak mahu tergesa-gesa. Biarlah ia mengambil masa, asalkan hasilnya sempurna. Lalu, jika ada rezeki, mungkin Jee rakamkan sebuah single dulu, supaya peminat tidaklah lama menunggu," katanya.

Ditanya ke mana dia menghilangkan diri, Jee berkata, setiap manusia memerlukan masa untuk merehatkan minda dan fizikal. Dia juga tidak terkecuali. Justeru, waktu yang terluang itu digunakan untuk melakukan pelbagai aktiviti kegemarannya seperti menyelam, serta meluangkan masa bersama dua anaknya - Jeffri Joaquim Indot, 9, dan Jeremy Jay Indot, 7.

"Sebagai artis, saya juga manusia yang memerlukan masa untuk berehat. Setelah 22 tahun berada dalam dunia muzik, rasanya tibalah juga masa yang mencari sedikit ruang untuk diri sendiri. Satu ketika dulu, saya pernah bekerja sepanjang masa. Hendak diulang semula waktu itu, sudah tentu tidak termampu. Lalu, inilah masanya untuk saya seimbangkan semula antara kerjaya dengan keluarga.

"Saya dan bekas suami, Johan, memang bergilir-gilir menjaga dua anak lelaki kami. Walaupun bukan lagi suami isteri, tanggungjawab terhadap anak dalam memastikan kebajikan mereka terjaga, menjadi keutamaan kami. Tugas sebagai ibu bapa tidak pernah terhenti dengan status ibu atau bapa tunggal yang dipegang kini.

"Kita pula, harus bijak berkomunikasi dengan anak-anak. Kita tidak mahu mereka menjadi mangsa keadaan. Biar mereka tahu, walau apa pun terjadi, mereka masih mempunyai ibu bapa yang amat menyayangi. Demi anak-anak juga, saya dan Johan tetap keluar makan bersama. Perhubungan kami baik-baik saja, biarpun keadaan sudah berubah. Kerana anak-anak, kita sanggup berkorban apa saja," katanya.

Sambil menunjukkan foto Jeffri dan Jeremy di telefon bimbitnya, Jee berkata, dua cahaya matanya itu tidak syak permata paling berharga dalam hidupnya. Dia tidak kisah seandainya dia dikecam dan dicaci, tetapi jangan sekali-kali anak-anaknya diperlakukan demikian. Ujar Jee lagi, dua anak kecil itu tidak bersalah dan tidak ada alasan untuk orang ramai turut ‘menyentuh’ anak-anaknya apabila berbicara mengenai dirinya sebagai penyanyi.

Ditanya keadaan dirinya ketika ini, Jee mengaku, dia juga tidak ubah seperti kebanyakan wanita yang pernah mengalami situasi serupa.

"Paling utama, kita harus menerima kenyataan serta berfikiran positif. Usahlah menyerah saja pada keadaan yang menghimpit, sebaliknya berusaha untuk keluar daripada kemelut terbabit," pesan Jee kepada mereka yang mengalami nasib tidak jauh berbeza dengan dirinya.

Kata Jee juga, dengan melakukan pelbagai aktiviti, sedikit sebanyak kedukaan dapat diatasi. Jika asyik berseorangan, bimbang wanita ini, seseorang itu akan kembali memikirkan kisah lama yang hanya akan meracun diri.


Sumber: Berita Harian, 27/03/08

No comments: