Tuesday, July 26, 2011

Jee : Saya Memang Bahagia



SUKAR nak percaya, wanita cantik sepertinya masih belum berpunya? Hanya dia saja yang ada jawapannya. Sekalipun hidup solo, penyanyi jelita Fauziah Latiff atau lebih mesra disapa Jee, 41, mengakui ia bukan penghalang buatnya untuk hidup bahagia seperti orang lain.

“Memang saya belum bertemu pengganti sampai saat ini. Biarlah jodoh itu datang dengan sendirinya. Kalau ada, adalah.

Saya juga tidak ingin mencari jodoh kerana ia ketentuan Tuhan.

“Saya juga hargai dan bahagia dengan apa yang saya kecapi hari ini. Apa yang saya mahu semua sudah dapat dalam hidup iaitu dari segi karier seni, kehidupan dan keluarga. Apa yang saya lakukan sekarang ini semuanya untuk masa depan anak-anak.


“Ada juga yang bertanya kenapa saya tidak memilih rakan-rakan yang sama-sama aktif dalam aktiviti motosikal berkuasa tinggi sebagai teman hidup?


“Hakikatnya, mereka semua sudah seperti adik-beradik sendiri. Selalunya, selepas habis aktiviti menunggang motosikal, kami terus pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Sebagai ibu, Jee juga ingin memberikan yang terbaik buat dua anak lelakinya iaitu Jeffri Joaquim Indot, 13, dan Jeremy Jay Indot, 11.

“Anak-anak saya tinggal dengan bekas suami, tapi kami sama-sama menjaga mereka mengikut giliran saban minggu.

“Apa yang saya perhatikan, Jeffri dan Jeremy sama-sama meminati bidang muzik dan kedua-duanya boleh menyanyi. “Saya juga tidak kisah kalau mereka ingin mengi�kut jejak saya menceburi bidang seni asalkan mereka tamatkan persekolahan dulu. Selepas habis sekolah terpulanglah kepada mereka nak jadi apa mengikut minat masing-masing,” katanya.



Selain karier nyanyian, hidup Jee yang juga duta Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Malaysia (Coral) juga tidak pernah sunyi kerana ada saja aktiviti lasak dan alam sekitar dilakukan bagi mengisi masa lapangnya.


Jee ditemui ketika menjayakan The Blue Kebaya ‘showcase’ anjuran The Weld Shopping Centre dan Rafflesia The Pearl Centre.

Terbaru, Fauziah baru kembali dari menjayakan rombo�ngan Artis Pencinta Alam (APA) di Pulau Banding, Gerik, Perak, baru-baru ini.

“Saya memang tidak asing dengan aktiviti berkaitan alam sekitar. Namun, saya lebih kerap menyertai program kesedaran mengenai kehidupan laut.

“Sepanjang program ini, saya menimba pengalaman menarik ketika melawat perkampungan Orang Asli, Sungai Tiang, Pulau Banding.

“Apa yang boleh, saya katakan Orang Asli di sini lebih terbuka dalam menerima pembangunan tanpa merosakkan tempat asal mereka.

“Saya melihat anak-anak Orang Asli ini bermain alat muzik dengan telinga kerana mereka tidak boleh membaca. Kita juga patut beri peluang pada kanak-kanak ini untuk mengetengahkan bakat mereka itu,” katanya.

Tidak ketinggalan, Jee juga menjayakan majlis berkodeng yang mengangkat adat perpatih Negeri Sembilan sejak turun temurun untuk diperkenalkan pada orang luar bersama 300 ahli kelab motosikal berkuasa tinggi.

Selepas lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang seni, Fauziah bersyukur dengan pencapaiannya yang membolehkannya mampu bertahan sampai hari ini.

“Saya bersyukur kerana masih diterima peminat yang sentiasa menyokong saya dari dulu hingga kini.

“Saya juga berhubung dengan peminat menerusi laman sosial facebook dan Twitter. Artis dulu menyanyi dari dalam dan dia betul-betul masuk dalam lagu itu.
“Saya tidak pernah menyesal menjadi anak seni dan perjalanan saya jauh dan mencabar.

“Sepanjang pembabitan dalam bidang seni, saya kenal banyak erti kehidupan. Saya juga sudah lakukan apa yang saya sepatutnya buat dulu. Saya menganggap diri masih lagi belajar dan saya juga tidak tahu apa yang berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Sekalipun tidak bikin album baru, Fauziah saya masih sibuk memenuhi undangan persembahan makan malam korporat.

“Lagu yang diminta penonton ialah lagu ‘evergreen’ Teratai Layu Di Tasik Madu. Lagu kegemaran saya pula ialah Aku Sebutir Pasir dan album Sahabat yang meninggalkan kesan pada saya.

“Saya juga mula berjinak-jinak menulis lirik lagu untuk kepuasan sendiri tapi belum ada keyakinan untuk beri pada artis lain lagi,” katanya yang dikenali menerusi lagu Kau Merubah Segalanya, Tiada Noktah Cinta, Gubahan Rindu Puisi Syahdu dan Enggan.

Ditanya sama ada dia hanya selesa kerja dengan Rosyam Nor saja, Fauziah mengakui menimba pengalaman yang sangat berharga dalam drama bersiri popular, Gelora Di Hati Sara.

“Rosyam dan pasukannya banyak membantu saya menjiwai watak Sara dengan baik.
Rosyam juga selalu menegur dan marah jika apa yang dia mahu itu tidak sampai.
Terus-terang, saya selesa dengan watak Sara itu. Selepas Gelora Di Hati Sara, saya tidak dapat buat drama baru kerana kesibukan dengan aktiviti lasak,” katanya.

Lebih memberangsangkan, Fauziah duta produk SK-II selama 11 tahun bekerjasama dengan Broadway Acres Sdn Bhd yang beroperasi

di Sunway, awal tahun lalu, untuk menggilap bakat muda dalam bidang seni.

“Setakat ini, kami sudah mendapat seorang artis dari program Idola Kecil iaitu Dayana Emelda dan Daniel Razak yang juga pemain dram yang berusia 12 tahun.

“Ini adalah lebih pada kerja belakang tabir, tapi masih dalam bidang hiburan. Saya juga menjadi instruktor pada mereka,” katanya.



PROFIL

NAMA SEBENAR: Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff
NAMA KOMERSIAL: Fauziah Latiff/Jee
TARIKH LAHIR: 5 Disember 1970
TEMPAT LAHIR: Air Tawar, Perak
KERJAYA: Penyanyi dan pelakon
STATUS: Ibu tunggal
ANAK: Jeffri Joaquim Indot, 13 dan Jeremy Jay Indot, 11
ALBUM: Di Gamit Memori, Kau Merubah Segalanya, Kini, Tiada Noktah Cinta, Gubahan Rindu Puisi Syahdu, Epilog Memori Gelita, Apa Sebenarnya, Sahabat, Petikan Syahdu Fauziah Latiff Vol 1 & 2, Jee ‘98, Jee No 1’s, Yang Lebih Kau Cinta, Di Sebalik dan Pesona
TEATER: Teater muzikal, Rubiah

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Sumber : www.hmetro.com.my

Jee Tidak Kisah



SETELAH sekian lama tidak bertemu penyanyi Fauziah Latiff, 41, baru-baru ini S3 berpeluang berjumpa dengannya ketika menyertai rombongan Artis Pencinta Alam (APA) di Pulau Banding, Gerik, Perak.

Fauziah atau Jee yang memandu sendiri ke sana dengan ditemani pembantu peribadi, masih ramah seperti dahulu dan semasa tiga hari di sana, pelbagai cerita menarik dikongsi bersama.

Walaupun Jee disenarai sebagai artis kelas A, namun dia tidak pernah meletakkan dirinya sebegitu. Sebaliknya, populariti yang diraih sejak tahun 1980-an tidak pernah disalah guna.

Baginya, artis baru atau lama, semuanya sama dan disebabkan itulah Jee ramah dengan semua artis sepanjang program tersebut berlangsung.

Bercerita mengenai hutan, Jee berkata, dia sudah biasa masuk hutan kerana itu adalah sebahagian daripada aktivitinya, malah sebelum ini dia pernah pergi ke perkampungan Orang Asli.

Kata Jee, menyusuri hutan memberi ketenangan kerana banyak flora dan fauna yang boleh dikenali dan kehijauan sekitar menyejukkan pemandangannya.

“Kalau tak biasa masuk hutan, memanglah rasa letih tapi kalau dah selalu rasa seronok pula. Setakat pacat atau nyamuk itu biasalah. Kalau tak nak di‘serang’ oleh binatang itu, kita buatlah persiapan awal dengan menggunakan penghindar serangga.

“Kita nak masuk hutan kenalah buat cara masuk hutan. Tidak perlulah nak melaram sakan. Apa yang penting, pakaian kita sesuai dengan aktiviti agar tidak membebankan diri. Lagi satu kita kenalah jaga adab masuk hutan dan dengar kata ketua,” jelasnya.

Menurut Jee, selain menghayati keindahan alam semesta, dia juga gemar merakam khazanah alam menerusi lensa kameranya untuk ditatapi ketika waktu senggang.

Katanya, baik hutan atau lautan, masing-masing ada keistimewaan tersendiri yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“ Setiap kali melihat kebesaran-Nya, diri terasa insaf,” akuinya terus terang.

Jelasnya, bagi memupuk semangat cintakan alam sekitar, Jee sering juga membawa anak-anak, Jeffry Joaquim Indot, 13, dan Jeremy Jay Indot, 11, mengikuti kegiatannya.

Menurutnya, orang ramai perlu ada rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar kerana khazanah alam merupakan harta tidak ternilai yang bakal diwarisi oleh generasi akan datang.

“Sayang kalau kita tidak menjaga alam sekitar kerana inilah yang bakal diwarisi oleh anak-anak kita. Begitu juga dengan khazanah laut, seperti batu karang, kalau tidak dipelihara susah untuk kita jumpa lagi,” katanya yang merupakan duta Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Malaysia (Coral).

Sedia buat kebajikan

Ketika berada di perkampungan Orang Asli, Sungai Tiang, Pulau Banding, Jee tanpa rasa kekok, leka melayan kanak-kanak yang sedang belajar di i-Play Toy Library yang diperkenalkan oleh Yayasan Emkay untuk anak-anak Orang Asli menimba ilmu.

Jee yang pernah mengikut rombongan misi kemanusiaan ke Gaza, Palestine tahun lalu berkata, kanak-kanak biar apa bangsa atau keturunan adalah zuriat yang perlu diberi perhatian.

“Tiap kali melihat kanak-kanak, hati mudah tersentuh mungkin kerana Jee ini seorang ibu. Cuba bayangkan kalau anak-anak kita pula yang berada di tempat mereka.

“Waktu Jee pergi ke Gaza, perasaan sedih tidak dapat dibendung kerana kanak-kanak di sana terpaksa hidup dalam serba kekurangan. Jadi pada yang ada anak, janganlah dipersiakan masa depan mereka,” katanya.

Justeru itulah, kata Jee jika ada mana-mana persatuan yang mengundangnya untuk turut serta dalam aktivti kebajikan, dia tidak menolak.

“Dalam hidupnya, kita perlu bertolak ansur dan berfikiran positif. Jangan bangga diri dengan apa yang ada kerana semua itu hanya pinjaman dan tak rugi kalau kita berkawan dengan ramai orang,” katanya jujur.

Soal jodoh

Bila ditanya tentang pasangan hidup, Jee yang sudah lama hidup menyendiri itu berkata, dia malas untuk memikirkan soal itu dan lebih senang menyerahkannya kepada takdir.

Katanya, walaupun tanpa suami disisi, hidupnya tetap ceria kerana sentiasa diselubungi dengan gelak tawa dua orang puteranya.

“Keutamaan sekarang adalah anak-anak kerana mereka adalah permata hati Jee. Malah Jee gembira dan bersyukur dengan apa yang Jee ada sekarang ini.

“Selain anak-anak yang semakin membesar, hidup Jee juga dikelilingi ramai rakan-rakan yang sehaluan, terutamanya mereka yang bergiat dalam aktiviti motosikal berkuasa tinggi dan menyelam,” katanya.

Lalu apabila S3 mengusik Jee, tiadakah mana-mana ahli persatuan tersebut yang cuba rapat dengannya? Dengan selamba, Jee menjawab, “ Kita dalam kumpulan begitu macam adik-beradik. Tak ada nak bercinta-cinta kerana hubungan sebagai kawan lebih seronok.”

Bagaimanapun, Jee tidak menolak jika takdir menemukannya jodoh dengan mana-mana ahli persatuan tersebut.

Jee yang mendapat pujian kerana lakonannya dalam drama bersiri Gelora Di Hati Sara berkata, buat masa ini dia berhenti berlakon.

“Ke mana sahaja Jee pergi mesti ada yang bertanya tidak berlakon lagi ke? Terima kasihlah kerana menyokong Jee tapi buat masa ini tidaklah.

“Kalau menyanyi, masih lagi. Kalau orang undang, Jee pergilah. Kalau tidak, Jee sibuk dengan aktiviti beginilah,” terangnya.

Mengenangkan Jee yang suka dengan aktiviti lasak, S3 pun bertanya, tidakkah dia ingin menyertai program Amazing Race seperti yang dilakukan oleh Ida Nerina dulu.

Kata duta produk kecantikan SK-II itu, dia memang ada impian untuk menyertai program itu bagi menguji ketahanan diri tapi apabila memikirkan ada aktiviti yang memerlukan para peserta menjamah ‘makanan’ luas biasa, terus niatnya terbantut.

Sumber :www.utusan.com.my