Friday, November 21, 2008

Gelora Di Hati Jee


Fauziah digandingkan lagi dengan Rosyam Nor selepas telefilem Kudrat Iman mendapat sambutan

KEMUNCULAN Fauziah Latiff sebagai pelakon semakin mendapat perhatian daripada penonton menyebabkan produser menjadikan penyanyi ini menjadi antara sebahagian daripada barisan pelakon dalam produksi mereka.

Selepas mempamerkan lakonan yang baik dalam telefilem Kudrat, Fauziah atau Jee sekali lagi ditawarkan oleh Rosyam Nor ynag membintangi drama bersiri Gelora Di Hati Sara.

Drama menarik ini disiarkan menerusi slot Astaka di RTM1, jam 10 malam setiap Selasa, Rabu dan Khamis, bermula malam ini.

Plot cerita Gelora Di Hati Sara ini berlegar mengenai kisah cinta dan kekeluargaan yang menuntut pengorbanan wanita dalam mengecap kebahagiaan dalam rumah tangganya.

Selain Jee dan Rosyam, drama 26 episod ini turut mengetengahkan Datuk Rahim Razali, Aida Radzwill, Hisham Ahmad Tajudin, Watie Sadali, Ismail Yaacob, Mahmud Ali Basha dan Balkish Samundur Khan.

Jee memegang watak utama sebagai Sara dan digandingkan Asrul lakonan Rosyam.

Drama bersiri Kisah Gelora Di Hati Sara bermula dengan kepulangan Asrul dan Sara yang baru menamatkan pengajian dari luar negara ke Malaysia. Di luar pengetahuan keluarga masing-masing, mereka sebenarnya sudah bernikah namun perkara itu terpaksa disembunyikan kerana bimbang sikap keluarga Asrul terutama ibunya, Datin Maria yang tidak suka anak berkahwin dengan pilihan sendiri. Apatah lagi ibunya menghidap penyakit jantung.

Asrul meminta Sara bersabar dengan situasi mereka itu yang terpaksa menjalani kehidupan suami isteri secara sembunyi. Namun kesabaran Sara ada hadnya apatah lagi apabila membayangkan tempat isteri adalah di sisi suami. Sara mula mencari jalan bagaimana mahu mendampingi Asrul. Kebetulan syarikat keluarga Asrul berdepan dengan kes saman daripada sebuah syarikat pelanggan.

Hinggalah Sara dilantik syarikat bapa Asrul, Datuk Taufik untuk mengendalikan kes itu. Kehadiran Sara itu mengejutkan Asrul yang begitu bimbang Sara akan membongkar rahsia perkahwinan mereka. Sebaliknya Sara bersikap selamba dan hanya menjalankan tugas yang diamanahkan.

Dalam diam, Diana adik perempuan Asrul turut menyembunyikan rahsia konflik yang berlaku dalam rumah tangganya bersama Zaidi. Zaidi pula ialah menantu pilihan Datin Maria. Namun malang bagi Diana, apabila Zaidi suka menderanya tetapi Diana takut untuk mengadu kepada keluarganya. Tambahan pula di depan keluarganya, Zaidi mempamerkan sikap sopan santun dan menyayangi isterinya itu.

Hakikatnya Zaidi yang diberikan kepercayaan menjawat jawatan penting dalam syarikat Datuk Taufik menggunakan kesempatan untuk mengaut keuntungan di belakang ayah mentuanya itu. Kehadiran Asrul dalam syarikat pula menimbulkan rasa kurang Zaidi kerana kegiatan jahat secara senyapnya terganggu. Begitu juga dengan kehadiran Sara yang ditugaskan Datuk Taufik menyelesaikan masalah syarikat.

Kejayaan Sara mengetepikan kes saman tersebut menggembirakan Datuk Taufik yang kemudiannya melantik Sara menjadi peguam syarikatnya. Dalam diam Sara menyimpan dua misi iaitu untuk mendampingi suaminya dan menyiasat sesuatu yang dirasakan tidak kena pada Zaidi.

Sementara itu, Datin Maria begitu beriya-iya mahu menjodohkan Asrul dengan Tengku Marina, anak Tengku Malik kenalannya. Perkara ini menimbulkan perasaan kurang senang di hati Asrul yang menempatkan dirinya dalam dilema kerana dia menyintai Sara sepenuh hati tetapi pada masa sama perlu memenuhi hasrat ibunya yang tidak sihat itu.

Datuk Taufik pula dalam diam menyimpan hati terhadap Sara. Perkara itu diberitahunya kepada Asrul. Asrul marah dengan tindakan ayahnya namun masih setia menyembunyikan statusnya dengan Sara daripada pengetahuan keluarganya itu.

Namun sampai bilakah rahsia itu berjaya disembunyikan?

Sumber : Berita Harian

Fauziah Latiff yang BARU!!


Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN

Sumber : Utusan


SEBELUM membuat keputusan menerima peluang berlakon yang ditawarkan oleh Rosyam Nor, Fauziah Latiff atau Jee menghubungi beberapa wartawan hiburan senior dari beberapa akhbar utama.

Sebab utama Jee berbuat demikian ialah untuk mendapatkan nasihat selain pandangan mengenai peluang yang diperolehnya itu.

Khabarnya ketika itu, Jee sangat bimbang jika lakonannya tidak menjadi dan akan menjejaskan produksi yang menerbitkan drama tersebut.

Namun kini, segala telahan dan sangkaan negatif Jee lenyap sama sekali khususnya selepas telemovie pertama lakonannya, Kudrat Iman bersama Rosyam Nor diperkatakan ramai.

“Saya tak sangka lakonan saya diterima ramai. Alhamdulillah respons peminat terhadap drama itu cukup memberangsangkan.

“Apa yang membuatkan saya terperanjat ialah setiap kali mereka berjumpa saya, mereka akan menyebut dialog dalam telemovie itu. Itu yang membuatkan saya sangat terharu,” jelas Jee.

Ketika ini pula, semangat Jee sudah berubah. Daripada gusar dan bimbang, dia kini semakin bersemangat selepas Rosyam memaklumkan padanya bahawa Kudrat Iman yang ditayangkan sempena Aidilfitri lalu telah diulang tayang sebanyak empat kali berikutan permintaan yang tinggi daripada audiens.

“Saya berterima kasih kepada semua kerana dapat menerima lakonan saya dengan baik. Terlalu banyak kelemahan yang masih perlu saya pelajari. Saya umpama kanak-kanak yang baru masuk tadika,” katanya menggambarkan kemampuan diri dalam bidang lakonan.

Lantas jika ada yang masih kempunan untuk menyaksikan bakat lakonan pelantun lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini usahlah gusar.

Ini kerana drama kedua lakonannya juga bersama Rosyam iaitu Gelora Di Hati Sara (GDHS) akan ditayangkan setiap Selasa hingga Khamis pukul 10.30 malam di RTM1 bermula malam ini.

Bermain emosi

Jika Kudrat Iman, banyak menguji pembawaan karakter Jee, begitu juga menerusi drama GDHS.

Memegang watak Sara, memerlukan Jee bermain dengan emosi yang bukan sedikit.

“Dalam drama ini saya memegang watak Sara yang makan hati dan kerap menangis. Saya paksa diri saya untuk untuk marah dan apabila marah dengan sendirinya saya akan menangis,” kata Jee menyambung perbualan.

Menurt artis kelahiran Air Tawar Perak ini lagi, pernah sekali dia tidak mampu melakonkan satu babak dengan baik sehingga menyebabkan dia ditengking oleh Rosyam.

“Skrip panjang jadi kadang kala saya sendiri susah untuk menghafalnya. Apabila kena marah sikit, fikiran saya terus kosong. Lagilah dia (Rosyam) angin dan marah pada saya ketika itu.

“Tapi saya menerima perkara tersebut sebagai satu pengajaran untuk saya baiki diri. Kalau tidak bagaimana saya nak perbaiki kelemahan diri saya,” menurut Jee lembut menjelaskan pengalamannya dimarah di lokasi penggambaran.

Belum beri kata putus

Dalam pada itu pemilik nama sebenar Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff ini memberitahu, dia masih lagi menerima beberapa tawaran lakonan.

Ketika ini, kata Jee, dia masih lagi belum bersedia untuk menerima tawaran-tawaran tersebut.

“Saya kena pertimbangkan dahulu kerana banyak faktor yang perlu saya ambil kira termasuk tawaran menyanyi dan komitmen keluarga,” ujarnya memohon pengertian semua pihak.

Pada masa yang sama, ibu kepada dua cahaya mata ini menegaskan, dia belum bersedia menukar panggilan penyanyi kepada anak wayang.

“Tak mungkin kerana nyanyian adalah jiwa dan nyawa saya. Lakonan pula sesuatu perkara baru dalam hidup saya dan masih banyak perlu saya pelajari,” sambungnya.

Tanggungjawab besar Rosyam

Sementara itu bagi Rosyam pula, apabila Jee bersedia membintangi drama terbitan syarikatnya, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. merupakan satu tanggungjawab besar.

“Bukan mudah nak bawa nama Jee sebagai pelakon. Sebab ramai orang nak tahu pasal dia. Jadi saya perlu menjaga imej dan reputasinya.

“Saya tak mahu orang kata Jee bukannya boleh berlakon sangat. Tanggungjawab saya besar kerana saya mahu memastikan Jee tampil sebagai pelakon yang dihormati dan disegani,” kata hero pujaan ramai ini lagi.

Sepanjang bersama Jee di lokasi penggambaran, Rosyam merumuskan artis wanita itu sebagai seorang yang pemalu khususnya ketika ramai orang menonton lakonannya.

“Apabila babak dia patut marah, dia tak lepaskan kemarahan dan kerana itu saya marahkan Jee dan terus menengkingnya,” kata Rosyam jujur.

Tambah Pelakon Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2008 ini selepas kejadian Jee ditengking, apa yang merisaukan Rosyam ialah Jee merajuk atau tidak hadir ke lokasi.

“Mujur Jee profesional dan esoknya dia hadir macam biasa. Saya cuak juga sebab dia sampai lewat sikit sebab kesesakan lalu lintas.

“Apabila dia sampai saya tengok dia okey dan dapat lakonkan babak pada hari itu dengan lebih baik lagi,” katanya sambil ketawa besar mengimbas kejadian tersebut.

Friday, November 14, 2008

Jee anggap biasa jika dimarah Rosyam

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
Harian Metro

KEMUNCULAN penyanyi yang popular menerusi lagu Teratai Layu Di Tasik Madu dan Enggan, Fauziah Latif, 38, dalam dunia lakonan, disambut baik peminatnya yang rindukan wajah ayunya.

Selepas menyepi daripada arena seni suara, penampilan pertama menerusi drama Kudrat Iman membawakan watak Mahani, menyerlahkan bakat lakonannya.

Drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd untuk siaran RTM itu ternyata bukan pertama dan terakhir sebaliknya Fauziah atau lebih dikenali dengan panggilan Jee, sekali lagi dilamar Suhan Movies.

Kali ini untuk menjayakan drama Gelora Di Hati Sara yang akan disiarkan menerusi slot Astaka Perdana RTM1 pada 18 November ini.

Lebih membanggakan Jee apabila drama ini turut dijayakan pelakon hebat dan berpengalaman seperti Datuk Rahim Razali, Rosyam Nor dan Aida Radzwill. Pelakon lain ialah Watie Sadali dan Mahmud Ali Basha.

Jee mengakui berdepan perasaan gemuruh walaupun ini bukanlah kali pertama berhadapan dengan kamera. Katanya, hari pertama penggambaran memang gementar apatah lagi dia tidak biasa berdepan dalam keadaan penggambaran drama.

"Saya berasa takut apabila dikelilingi kru produksi dan masyarakat yang melihat aksi lakonan kami. Mujur juga saya mendapat bimbingan dan bantuan daripada kru produksi selain barisan pelakon berpengalaman seperti Kak Aida dan Datuk Rahim selain Rosyam sendiri.

"Banyak yang saya pelajari ketika terbabit dalam kedua-dua drama itu. Saya juga masih menganggap diri ini masih lemah dalam bidang lakonan.

"Walaupun pada pandangan mata kasar sesetengah pihak lakonan saya nampak ok namun pada saya masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Malah saya menganggap macam baru menuntut di tadika berbanding mereka yang lain," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Gelora Di Hati Sara di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) baru-baru ini.

Mengulas mengenai karektor Mahani dan Sara dilihat tidak banyak beza apabila memerlukannya bermain dengan emosi dan penghayatan mendalam ketika menjayakan watak itu.

Jee berkata, tidak timbul soal pemilihan watak menerusi drama itu, walaupun watak yang bermain emosi dia tetap menganggapnya sebagai ilmu buatnya.

"Bagi saya pelajaran dalam lakonan tidak pernah cukup. Saya melihat dan memperhatikan gaya lakonan pelakon lain seterusnya mempelajarinya secara spontan. Tidak kira di mana dan apa peranan sekali pun, saya perlu cuba sesuaikan diri dengan situasi.


"Walaupun pernah dimarah Rosyam ketika penggambaran Kudrat Iman, saya menganggap ia sebagai perkara biasa dalam menghayati watak yang dipertanggungjawabkan," katanya.

Buat masa ini, selepas selesai penggambaran dua drama berkenaan Jee mahu berehat seketika disamping memenuhi undangan menjayakan persembahan pentas.

Begitupun, ibu dua anak ini turut mempertimbangkan tawaran berlakon jika ia bersesuaian dengan keadaan dan masa.