Monday, September 29, 2008

Jee, Rosyam Terasa Kehilangan


Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN
fadzilah.bahar@utusan.com.my

TIADA yang lebih indah tatkala menyambut Syawal sekiranya dapat berkumpul bersama-sama keluarga tercinta.

Bermaaf-maafan dan meluangkan masa bersama antara perkara yang acap kali dinantikan sementelah kedatangan Syawal hanya setahun sekali.

Mungkin itu perasaan yang dirasai seluruh umat Islam di muka bumi ini. Namun bagaimana pula rasa jiwa insan-insan yang akan menyambutnya tanpa insan tersayang di sisi?

Meskipun sedaya upaya menahan sebak, namun jauh di sudut hati kenangan bersama orang tercinta sukar dikikis dari kotak ingatan.

Begitulah juga perasaan yang singgah dalam diri dua insan seni yang bakal menyambut Syawal kali ini tanpa insan tersayang di sisi.

Penyanyi jelita, Fauziah Latiff dan pelakon yang disegani, Rosyam Nor akan melalui detik-detik sepi dan pilu di pagi raya kelak.

Bagi penyanyi kelahiran Air Tawar, Perak ini, Syawal kali ini pastinya mengamit memori antaranya bersama arwah ayahanda tercintanya, Allahyarham Sheikh Abdul Latiff Omar Bajrai dan memori tatkala menyambut Syawal sebagai seorang isteri.

Dua momen indah yang pernah singgah dalam diari kehidupannya tidak mungkin mampu ditangkisnya. Namun, sudah suratan Ilahi menentukan jalan hidupnya kini bersendiri.

Jelas Fauziah Latiff atau lebih mesra dengan panggilan Jee, hatinya sedikit terusik apabila kedatangan Syawal ini kerana bakal disambut sendirian tanpa lelaki bergelar suami.

Sementelah sebelum ini detik-detik terindah itu dikongsi bersama suami dan anak-anak.

“Pastinya ada rasa sedikit kesedihan kerana saya beraya seorang tanpa suami tapi nak buat macam mana, sudah suratan takdir begitu. Saya menerimanya dengan reda.

“Yang penting saya masih ada ibu dan anak-anak di sisi untuk menemani saya. Kini anak-anak lebih penting berbanding kebahagiaan saya,” luah Jee dalam nada tenang mengimbas detik-detik rayanya terdahulu.

Akui Jee, kesedihan menyambut raya bersendiri tidak akan sama dengan kesedihan menyambut Aidilfitri tanpa ayah di sisi.

“Sedih sambut raya seorang tanpa teman di sisi tak akan sama dengan kesedihan menyambutnya tanpa ayah. Itu lebih memilukan hati saya kerana setiap kali raya ayah saya yang akan bersemangat dalam menyiapkan persiapan raya,” kata Jee dalam senyuman yang seakan melindungi kesedihannya.

Terang si pelantun lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini, Syawal kali ini akan diraikannya bersama anak-anak dan ibu ke sebuah destinasi yang masih belum diketahui.

“Seminggu sebelum raya, saya sudah mula bercuti dan akan pulang ke kampung mengambil ibu ke Kuala Lumpur dan kemudian kami akan bercuti bersama-sama,” katanya yang bakal muncul dalam drama bersiri Gelora Hati Sarah bersama Rosyam.

Satu yang pasti Syawal kali ini juga disambut dengan penuh debaran oleh penyanyi berusia 38 tahun ini apabila bakat lakonannya menerusi telemovie berjudul Kudrat Iman akan disiarkan di RTM 1 pukul 11.30 pagi pada hari raya kedua.

Bergandingan bersama Rosyam sebagai pasangan tunang yang kemudiannya berpisah bukanlah satu tanggungjawab yang mudah untuk Jee pegang.

Mengakui agak takut dengan penerimaan khalayak kelak terhadap lakonannya namun Jee optimis mencuba.

Malah kata penyanyi yang dilahirkan pada 5 Disember 1970 ini setelah mencuba barulah dia mengerti akan kepayahan untuk bergelar anak wayang.

“Bukannya senang nak jadi pelakon ini setelah saya cuba barulah saya tahu. Sebelum ini saya pernah muncul sekadar dalam sitkom satu dan dua sahaja dan dalam video klip.

“Tapi apabila berlakon baru kita tahu akan kesusahannya. Saya cuba bagi yang terbaik selebihnya terpulang kepada penonton untuk menilainya,” sambungnya lagi.

Kurang penyeri - Rosyam Nor
Sama seperti Jee, Rosyam juga turut merasai perasaan yang sama dengannya.

Pemergian ayahanda tercinta Shamsuddin Mohamed Yusof, awal tahun ini membuatkan lebaran Rosyam kali ini kurang berseri.

Malah terang pemilik nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin ini suasana pilu yang dirasai tahun ini berganda kerana mereka sekeluarga kehilangan dua insan tersayang.

“Tahun lepas abang saya meninggal dunia dan tahun ini ayah saya pula. Memang terasa sangat apabila nak menyambut Syawal kali ini. Tambah pula tanpa ayah di sisi.

“Seperti kita kehilangan sebelah kaki jadinya. Bayangkan selalunya pagi raya kita boleh memohon kemaafan kepada kedua-dua ibu bapa kita tapi apabila ayah tiada kita minta maaf pada ibu sahaja tentu terasa kekurangannya. Sedih memang sedih tapi kita perlulah terima hakikat ini dan teruskan kehidupan,” kata Aktor Terbaik Festival Filem Malaysia pada tahun 2003.

Akan menyambut Syawal kali ini sama seperti tahun-tahun sebelumnya di Kuala Lumpur jelas pelakon berusia awal 40-an ini, dek kerana kesibukan menjalani penggambaran drama terbaru terbitan syarikatnya menyebabkan dia tidak berkesempatan menyediakan kelengkapan raya untuk anak-anaknya.

“Tahun ini saya sibuk dengan penggambaran drama sampai tak ada masa nak luangkan masa dengan mereka. Mujur isteri saya sangat memahami dan membantu saya menguruskan persiapan raya buat anak-anak,” jelasnya lagi.

Bercerita mengenai gandingan pertama kalinya bersama penyanyi jelita Fauziah Latiff sambil tersenyum lebar kata Rosyam: “Jee mampu menjadi seorang pelakon yang baik dan popular satu hari nanti. Setakat ini saya berpuas hati dengan hasil yang dia berikan. Dia mampu pergi jauh dalam bidang lakonan ini.”

No comments: