Monday, September 29, 2008

Jee, Rosyam Terasa Kehilangan


Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN
fadzilah.bahar@utusan.com.my

TIADA yang lebih indah tatkala menyambut Syawal sekiranya dapat berkumpul bersama-sama keluarga tercinta.

Bermaaf-maafan dan meluangkan masa bersama antara perkara yang acap kali dinantikan sementelah kedatangan Syawal hanya setahun sekali.

Mungkin itu perasaan yang dirasai seluruh umat Islam di muka bumi ini. Namun bagaimana pula rasa jiwa insan-insan yang akan menyambutnya tanpa insan tersayang di sisi?

Meskipun sedaya upaya menahan sebak, namun jauh di sudut hati kenangan bersama orang tercinta sukar dikikis dari kotak ingatan.

Begitulah juga perasaan yang singgah dalam diri dua insan seni yang bakal menyambut Syawal kali ini tanpa insan tersayang di sisi.

Penyanyi jelita, Fauziah Latiff dan pelakon yang disegani, Rosyam Nor akan melalui detik-detik sepi dan pilu di pagi raya kelak.

Bagi penyanyi kelahiran Air Tawar, Perak ini, Syawal kali ini pastinya mengamit memori antaranya bersama arwah ayahanda tercintanya, Allahyarham Sheikh Abdul Latiff Omar Bajrai dan memori tatkala menyambut Syawal sebagai seorang isteri.

Dua momen indah yang pernah singgah dalam diari kehidupannya tidak mungkin mampu ditangkisnya. Namun, sudah suratan Ilahi menentukan jalan hidupnya kini bersendiri.

Jelas Fauziah Latiff atau lebih mesra dengan panggilan Jee, hatinya sedikit terusik apabila kedatangan Syawal ini kerana bakal disambut sendirian tanpa lelaki bergelar suami.

Sementelah sebelum ini detik-detik terindah itu dikongsi bersama suami dan anak-anak.

“Pastinya ada rasa sedikit kesedihan kerana saya beraya seorang tanpa suami tapi nak buat macam mana, sudah suratan takdir begitu. Saya menerimanya dengan reda.

“Yang penting saya masih ada ibu dan anak-anak di sisi untuk menemani saya. Kini anak-anak lebih penting berbanding kebahagiaan saya,” luah Jee dalam nada tenang mengimbas detik-detik rayanya terdahulu.

Akui Jee, kesedihan menyambut raya bersendiri tidak akan sama dengan kesedihan menyambut Aidilfitri tanpa ayah di sisi.

“Sedih sambut raya seorang tanpa teman di sisi tak akan sama dengan kesedihan menyambutnya tanpa ayah. Itu lebih memilukan hati saya kerana setiap kali raya ayah saya yang akan bersemangat dalam menyiapkan persiapan raya,” kata Jee dalam senyuman yang seakan melindungi kesedihannya.

Terang si pelantun lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini, Syawal kali ini akan diraikannya bersama anak-anak dan ibu ke sebuah destinasi yang masih belum diketahui.

“Seminggu sebelum raya, saya sudah mula bercuti dan akan pulang ke kampung mengambil ibu ke Kuala Lumpur dan kemudian kami akan bercuti bersama-sama,” katanya yang bakal muncul dalam drama bersiri Gelora Hati Sarah bersama Rosyam.

Satu yang pasti Syawal kali ini juga disambut dengan penuh debaran oleh penyanyi berusia 38 tahun ini apabila bakat lakonannya menerusi telemovie berjudul Kudrat Iman akan disiarkan di RTM 1 pukul 11.30 pagi pada hari raya kedua.

Bergandingan bersama Rosyam sebagai pasangan tunang yang kemudiannya berpisah bukanlah satu tanggungjawab yang mudah untuk Jee pegang.

Mengakui agak takut dengan penerimaan khalayak kelak terhadap lakonannya namun Jee optimis mencuba.

Malah kata penyanyi yang dilahirkan pada 5 Disember 1970 ini setelah mencuba barulah dia mengerti akan kepayahan untuk bergelar anak wayang.

“Bukannya senang nak jadi pelakon ini setelah saya cuba barulah saya tahu. Sebelum ini saya pernah muncul sekadar dalam sitkom satu dan dua sahaja dan dalam video klip.

“Tapi apabila berlakon baru kita tahu akan kesusahannya. Saya cuba bagi yang terbaik selebihnya terpulang kepada penonton untuk menilainya,” sambungnya lagi.

Kurang penyeri - Rosyam Nor
Sama seperti Jee, Rosyam juga turut merasai perasaan yang sama dengannya.

Pemergian ayahanda tercinta Shamsuddin Mohamed Yusof, awal tahun ini membuatkan lebaran Rosyam kali ini kurang berseri.

Malah terang pemilik nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin ini suasana pilu yang dirasai tahun ini berganda kerana mereka sekeluarga kehilangan dua insan tersayang.

“Tahun lepas abang saya meninggal dunia dan tahun ini ayah saya pula. Memang terasa sangat apabila nak menyambut Syawal kali ini. Tambah pula tanpa ayah di sisi.

“Seperti kita kehilangan sebelah kaki jadinya. Bayangkan selalunya pagi raya kita boleh memohon kemaafan kepada kedua-dua ibu bapa kita tapi apabila ayah tiada kita minta maaf pada ibu sahaja tentu terasa kekurangannya. Sedih memang sedih tapi kita perlulah terima hakikat ini dan teruskan kehidupan,” kata Aktor Terbaik Festival Filem Malaysia pada tahun 2003.

Akan menyambut Syawal kali ini sama seperti tahun-tahun sebelumnya di Kuala Lumpur jelas pelakon berusia awal 40-an ini, dek kerana kesibukan menjalani penggambaran drama terbaru terbitan syarikatnya menyebabkan dia tidak berkesempatan menyediakan kelengkapan raya untuk anak-anaknya.

“Tahun ini saya sibuk dengan penggambaran drama sampai tak ada masa nak luangkan masa dengan mereka. Mujur isteri saya sangat memahami dan membantu saya menguruskan persiapan raya buat anak-anak,” jelasnya lagi.

Bercerita mengenai gandingan pertama kalinya bersama penyanyi jelita Fauziah Latiff sambil tersenyum lebar kata Rosyam: “Jee mampu menjadi seorang pelakon yang baik dan popular satu hari nanti. Setakat ini saya berpuas hati dengan hasil yang dia berikan. Dia mampu pergi jauh dalam bidang lakonan ini.”

Sunday, September 14, 2008

Tangisan Jee mengejutkan peminat


Oleh Hardi Effendi Yaacob

TURUT mendapat liputan media insiden membabitkan penyanyi popular, Fauziah Latiff (Jee) yang menitiskan air mata ketika menyanyikan lagu terbarunya, Aku Bukan Boneka dalam satu persembahan di Kuala Terengganu pada Disember 1994.

Kejadian berlaku di Dewan Gamelan, Primula Beach Resort apabila beliau tidak dapat menahan sebak, mungkin kerana mengenang pergolakan rumah tangganya ketika itu, lalu menangis dan bergegas meninggalkan pentas sebaik selesai menyanyikan lagu berkenaan.

Difahamkan, 700 tetamu termasuk peminat setianya yang menghadiri majlis itu turut tersentuh, malah ada yang menangis sebaik mendengar lagu berkenaan, yang seolah-olah membayangkan kisah kehidupan pahit getirnya sesudah berumah tangga.

Lagu Aku Bukan Boneka ciptaan Adam Ahmad dan lirik S Amin Shahab antaranya berbunyi `kau dirikan aku mahligai permata di tengah lautan bergelora, indah rupa... isinya hampa, kasih sayang dihempas gelombang, cintamu yang curang’ yang menyentuh perasaan setiap yang mendengarnya.

Ia turut disifatkan peminatnya sebagai salah satu lagu terbaik pernah dirakamkan penyanyi terbabit, yang turut dimuatkan dalam album ketujuhnya, Apa Sebenarnya, terbitan Adnan Abu Hassan ketika itu.

Jee sebelum itu pernah menggemparkan peminat seluruh tanah air apabila menitiskan air mata ketika menyanyikan lagu yang sama dalam sebuah rancangan hiburan popular di televisyen sebelum ini.

Sumber : Berita Minggu/Harian

Komen Penulis: Lagu-lagu Jee sememangnya banyak yang menyentuh perasaan dan berkisar tentang kehidupan sebenar kita sebagai manusia. Tahniah Jee.. banyak peminat hidup bersemangat dari lagu-lagu Jee.

Thursday, September 11, 2008

Alamat Untuk Menghubungi Kak Jee

Atas permintaan peminat Kak Jee, saya telah mendapatkan alamat yang boleh digunakan untuk menghantar kad raya atau sebagainya kepada idola kesayangan kita. Alamat ini saya perolehi daripada PA Kak Jee iaitu Joe Saiful. Terima kasih atas kerjasama anda!!! Alamat ini juga boleh digunakan untuk peminat Atilia.

Td-05-06,Crystal Tower,
Changkat Bukit Indah2
68000 ampang,
Selangor Darul Ehsan

Perpaduan Teras Kejayaan!!!

Thursday, September 4, 2008

Universiti Apex : UM Tewas???

Kerajaan telah pun mengumumkan Universiti Sains Malaysia (USM) terpilih untuk menjadi Universiti Apex di Malaysia. Tujuan untuk meningkatkan rangking dunia dari tannga 309 ke 5o terbaik dunia bagi 12 tahun akan datang. Pasti warga Universiti Malaya (UM) agak kecewa dengan pemilihan tersebut dan termasuklah saya. Sebelum ini saya cukup yakin bahawa UM akan menjadi Universiti Apex Malaysia.

Bukan saya mahu menidakkan keputusan kerajaan, saya cuma rasa terpanggil untuk memberi pendapat peribadi saya. Ya, kita tidak boleh melihat kejayaan lepas untuk mengukur prestasi kita di masa hadapan. Tetapi melihat kejayaan lepas mengukur kredibiliti sesebuah universiti untuk terus tampil memberi kejayaan. Ini kerana kejayaan lepas yang diperolehi memperlihatkan kemampuan universiti untuk terus menjadi yang terbaik. Selain itu, kelemahan lepas dijadikan pengajaran untuk terus bersaing di masa hadapan.

UM pernah disenaraikan sebagai 100 universiti terbaik dunia sebelum jatuh ke tangga 186 dan terus ke tangga 246. Manakala USM masih belum berjaya mengatasi pencapaian UM setakat ini. Mungkin di Malaysia, nama USM nampak menyaingi universiti tertua Malaysia, tetapi nama baik (goodwill) UM adalah lebih baik di mata dunia. USM mungkin jaguh kampung, tetapi UM tidak. Ini cuma pendapat saya, bukan mahu menyalahkan keputusan yang dibuat.

USM mungkin mampu menyaingi UM melalui status "sains"nya. Iaitu kajian sainsnya mampu untuk menyaingi UM, tetapi bagi kajian lain saya berpendapat UM lebih baik kerana menyeimbangi kesemua kajian yang dilakukan. Justeru itu, kemasukan pelajar asing ke UM seimbang. Ini melalui pengamatan saya sahaja, bukan dari statistik sebenar. Cuma saya tetap berdoa bahawa keputusan kerajaan ini tepat.

Saya juga mencadangkan tambah kuota Universiti Apex kepada dua atau lebih kepada universiti berpotensi, misalnya, UM dan UPM. Universiti ini mampu terus menyaingi universiti dunia. Saya tidak mahu, jika universiti lain yang tidak dipilih sebagai Universiti Apex menyaingi USM dan berada di rangking lebih baikmdari USM di mata dunia. Jadi rakyat akan menyalahkan pihak kerajaan kerana percaturan pemilihan universiti tersebut adalah silap.

Kepada USM, tahniah. Buktikan apa yang dibentangkan di dalam kertas kerja yang diberikan. Perancangan yang dibuat jangan berada di kertas putih sahaja malah perlu dilaksanakan untuk membuktikan kredibiliti perancangan tersebut. Terus memajukan Malaysia dalam pendidikan!!!