Jika tiba masanya, penyanyi jelita ini tetap akan terima cinta
Sejak berpisah dengan bekas suami kira-kira enam tahun lalu, jarang sekali kedengaran cerita penyanyi dan pelakon, Fauziah Latiff atau Jee, berpacaran dengan mana-mana jejaka.
Jika adapun cerita yang tersebar kononnya dia dilamun cinta ataupun sudah mendirikan rumah tangga, ia sekadar gosip ataupun usikan manja untuk penyanyi yang mula dikenali menerusi lagi Digamit Memori ini.
Barangkali kerana saya sudah selesa dengan kehidupan sebegini membuatkan saya tak rasa terdesak mencari kekasih. Namun ia tidak bermakna saya menolak jodoh." Fauziah Latiff, Penyanyi/pelakon
Sampai bilakah Jee mahu terus hidup solo? Melihat penampilan fizikal wanita berusia 43 tahun ini, kejelitaan yang dimiliki tidak pernah pudar. Malah, dia semakin berseri-seri, ditambah dengan bentuk tubuh yang langsing membuatkan ramai yang terpegun dengan kecantikannya.
Begitupun, jika ada yang menyangka kehidupan penyanyi ini sunyi tanpa ditemani lelaki bergelar suami, tanggapan itu silap sama sekali. Tegas Jee, dia tidak pernah rasa terdesak untuk mencari teman hidup.
“Barangkali kerana saya sudah selesa dengan kehidupan sebegini membuatkan saya tak rasa terdesak mencari kekasih. Namun ia tidak bermakna saya menolak jodoh. Jika sudah tiba masanya untuk cinta datang bertandang, saya tetap terima. Cuma, untuk saya pergi memburu cinta, itu tidak mungkin berlaku,” ujar Jee ketika ditemui pada majlis pelantikan dirinya sebagai duta minuman kesihatan pati ikan haruan Polleney di Mutiara Damansara, semalam.
Risau foto peribadi anak disebar
Diminta mengulas penyebaran foto dua anaknya, Jeffri Joaquim, 14, dan Jeremy Jay, 12, bersama bapa mereka, Johan Indot, di Internet baru-baru ini, Jee mengakui dia tidak selesa dengan perkara itu.
“Memang saya rasa kurang senang kerana saya bimbang andai penyebaran gambar itu dikaitkan dengan cerita kurang enak. Saya kasihankan mereka dan saya rasa, biarlah kehidupan peribadi mereka tidak terlalu digembar-gembur.
“Lagipun foto itu untuk tatapan peribadi, bukannya untuk umum. Saya tak mahu penyebaran gambar itu memberikan kesan negatif dalam kehidupan mereka,” tegasnya sambil melahirkan kerisauan.
Sebuah drama setahun
Beralih kepada perkembangan kerjaya seni, Jee berkata, buat masa ini dia masih sibuk di lokasi drama bersiri bercorak kepolisan, Roda-Roda Kuala Lumpur. Sambil mengakui semakin teruja beraksi di layar kaca, namun ia tidak membayangkan dirinya menerima apa saja tawaran yang datang.
“Bukanlah nak kata cerewet, tapi memang itulah sikap saya yang lebih suka fokus kepada satu-satu kerja. Disebabkan itulah dalam setahun, saya berlakon satu drama saja. Saya memang tak suka terkejar-kejar.
“Sebelum terima satu-satu watak itu, saya terlebih dulu melihat karakter dan selepas itu barulah skrip serta jalan cerita. Jika karakter mencabar, saya terima. Watak Inspektor Fauziah ini pula memang mencabar kerana saya perlu menjerit dan menunggang motosikal polis. Walaupun sudah biasa, tetapi cara menunggangnya berbeza daripada motosikal yang selalu saya tunggangi,” ujarnya.
Cuba dulu baru setuju
Perlantikan Jee sebagai duta Polleney boleh dianggap seperti sirih pulang ke gagang. Sebelum ini, dia pernah menjadi jurucakap produk itu sekitar 1988 untuk beberapa tahun.
“Sebelum menjadi duta sesuatu produk, saya akan mencubanya terlebih dulu. Jika ia berkesan, barulah saya bersetuju. Untuk produk ini, saya sudah lama mengamalkannya, iaitu hampir 20 tahun. Ibu bapa saya yang memperkenalkannya. Selain menjaga kesihatan ia juga membantu kita menjadi awet muda,” tutur Jee sambil mengukir senyuman manis.
Sumber : www.bharian.com.my