Tuesday, August 23, 2011

Selesa jalani hidup sendiri



Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM

SUDAH menjadi resmi setiap umat Islam yang menyambut Aidilfitri apabila mahu meraikan bulan kemenangan itu dengan insan tersayang.

Bagaikan tidak lengkap sambutan itu seandainya tanpa mereka yang disayangi untuk meraikan bersama-sama bulan yang penuh kemakmuran itu.

Namun, tidak semua insan bertuah berpeluang menikmati detik-detik terindah terutama mereka yang kehilangan ayah dan ibu tercinta.

Pastinya, kerinduan akan menggamit perasaan di kala takbir dan tahmid berkumandang lalu dengan pantas akan mengimbas kembali segala memori indah yang pernah tercipta.

Ketika itulah, air mata yang mengalir deras tanpa dipaksa itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa luluh dan pilu perasaan yang datang itu.

Hanya mereka yang berdepan dengan situasi sama sahaja mampu berkongsi dengan insan senasib yang pernah merasai kehilangan itu.

Bagi penyanyi jelita, Fauziah Latiff yang kehilangan arwah ayahnya, Allahyarham Sheikh Abdul Latiff Sheikh Omar Bajrai sekitar tujuh tahun lalu, kerinduan itu tetap dirasai.

Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila setiap kali menjelangnya Syawal, hati wanita penyanyi jelita yang lebih mesra disapa Jee itu pasti akan terusik.

Masih segar dalam ingatannya apabila terkenangkan kekecohan arwah ayahnya itu dalam membuat persiapan menjelang hari raya.

“Semua kelengkapan dan persiapan dia yang akan sediakan. Malah, kalau dia ada di dapur, kesibukannya mengalahkan ibu sehinggakan ibu saya sering memarahinya kerana mengganggu kerja-kerjanya.

“Seperkara yang membuatkan saya tidak boleh melupakan arwah adalah air tangannya yang cukup istimewa terutama kuah lodeh. Itu sudah semestinya santapan wajib saya setiap kali pagi raya.

“Kerana itulah, Syawal meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat saya. Selepas arwah pergi, semuanya sudah tidak sama lagi. Semangat untuk menyambut Hari Raya itu seolah-olah turut dibawa pergi oleh arwah,” ujar Jee atau nama sebenarnya, Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff ini dalam nada perlahan.

Begitu juga dengan kemeriahan Syawal itu sendiri yang pada hematnya, seolah-olah tidak lagi dirasai kini jika hendak dibandingkan sewaktu zaman bujangnya ketika di kampung halamannya di Johor.

Bagi Jee, nostalgia Syawal pada ketika itu adalah antara yang terindah dan ia akan menjadi kenangan yang akan terus terpahat dalam kotak ingatannya.

Lalu, apabila sesekali bicaranya disulami tawa kecil kerana teringatkan nostalgia indah itu, sudah cukup untuk merumuskan bahawa ia telah meninggalkan kesan yang bukan sedikit untuk Jee.

“Saya memang seorang yang sangat tradisional apabila menyambut Aidilfitri dalam pelbagai aspek. Memang cukup seronok apabila kita dapat mengacau dodol dalam kawah yang besar. Begitu juga dengan penyediaan rendang di luar rumah yang mengundang kemeriahan luar biasa.

“Ibu saya, Ngaisah Ahmad bersama kaum ibu yang lain akan sibuk memasak dan kemudiannya membahagikan dengan jiran tetangga.

“Budak-budak pula akan bermain bunga api dan mercun dengan penuh keriangan di samping memasang pelita di keliling kampung.

“Disebabkan itu, kalau beraya di kampung ketika itu, saya akan menyambutnya dengan penuh semangat. Segala momen indah itu tidak dapat lagi dimiliki oleh generasi baru lebih-lebih lagi untuk mereka yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur,” ujar wanita berusia 40 tahun ini sambil mengukir senyuman manis mengimbau kenangan tersebut.

Bercerita lanjut tentang persiapan raya tahun ini pula, ibu kepada dua orang cahaya mata, Jeffri Joaquim Indot, 13, dan Jeremy Jay Indot, 11, itu lebih selesa untuk bersederhana.

Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, dia akan menyediakan kelengkapan untuk ibu dan anak-anaknya terlebih dahulu sebelum menyiapkan untuk dirinya.

Apatah lagi, dia dan bekas suaminya, Johan Indot tidak mempunyai sebarang masalah dalam hak penjagaan anak-anak lalu membuatkan mereka senang untuk bertolak-ansur dalam penyediaan kelengkapan anak-anak.

“Kalau kuih raya, saya lebih selesa membelinya manakala juadah wajib seperti rendang, ketupat, lontong dan sayur lodeh, ibu saya akan menyediakannya.

“Buat masa ini, saya sendiri sukar untuk memberikan jawapan di manakah saya akan menyambut raya tahun ini. Sama ada saya akan pulang ke kampung atau ibu saya yang datang ke KL.

“Semuanya belum dapat dipastikan lagi. Selalunya keputusan akan saya lakukan dalam saat-saat akhir,” kata penyanyi yang mula menempa kemasyhuran menerusi lagu Digamit Memori pada tahun 1988 ini lagi.

Sekadar mengusik Jee yang terkenal dengan kelembutannya ketika berbicara, tidakkah dia rindu untuk beraya dengan seorang lelaki bernama suami?

Sementelah sudah lebih empat tahun dia menjanda, pasti ramai yang mahu tahu apakah hati Jee sudah dimiliki oleh mana-mana lelaki.

Tidak melatah mahupun melenting, Jee yang sudah lebih 20 tahun menjadi penyanyi itu hanya mampu tersenyum sebelum memberikan jawapannya.

“Jujurnya, saya memang tidak mempunyai sebarang perhubungan dengan mana-mana lelaki buat masa ini.

“Saya selesa dengan kehidupan solo saya dan saya bahagia melaluinya dengan aktiviti harian. Lagipun dalam usia begini, soal jodoh bukan lagi satu keutamaan buat saya.

“Kebahagiaan saya kini adalah bersama dua orang anak lelaki saya yang semakin membesar. Untuk melihat perkembangan mereka di depan mata adalah proses yang cukup istimewa dan membanggakan saya sebagai seorang ibu,” kata Jee yang pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali ini penuh terbuka.