Tuesday, February 23, 2010
Fauziah Latiff : Dilema Dua Madu
Fauziah Latiff jayakan watak lebih mencabar di samping Watie dan Rosyam Nor dalam Gelora Di Hati Sara musim kedua
APABILA Suhan Movies ingin menyambung kembali kisah Gelora Di Hati Sara yang disiarkan menerusi RTM kira-kira dua tahun lalu, penyanyi Fauziah Latiff tidak berfikir panjang. Dia ingin sekali lagi menjayakan watak Sara, walaupun pada musim kedua, watak itu jauh lebih bergelora.
Peminat yang sering tertanya-tanya mengenai sambungannya, serta sambutan cukup baik diberikan ketika drama bersiri itu ditayangkan dulu membuatkan Fauziah, atau lebih mesra disapa Jee, tidak teragak-agak untuk kembali menghidupkan watak terbabit.
"Kali ini, setiap watak nyata lebih hebat konfliknya. Sara sendiri berdepan pelbagai dugaan yang dahsyat. Selepas satu, satu lagi dugaan yang harus ditempuhinya. Malah setiap kali dugaan datang, ia lebih buruk daripada sebelumnya," cerita Jee memberikan sedikit gambaran mengenai watak yang dilakonkannya.
Bukan saja berhadapan masalah dengan suaminya, Asrul (Rosyam Nor), di rumah, malah dia juga perlu menangani kerenah yang ditimbulkan madunya (Watie) yang kembali diserang penyakit lama. Sara juga menghadapi ancaman di tempat kerja, selain musibah dilanggar kereta. Semua itu dapat disaksikan menerusi Gelora Di Hati Sara musim kedua.
Kata Jee, walaupun drama itu antara pengalaman awalnya beraksi di depan kamera sebagai pelakon, dia sedaya upaya menunaikan tanggungjawab diberikan dengan sebaik mungkin.
"Jika dilihat kepada barisan pelakonnya, semua adalah bintang yang cukup berpengalaman. Saya pula masih begitu baru dalam bidang ini. Masih banyak ilmu lakonan perlu saya pelajari dan tentu sekali, sewaktu membintangi drama ini, banyak kesilapan saya lakukan.
"Namun, saya cukup beruntung apabila kesemua pelakon lebih senior tidak kedekut ilmu. Mereka banyak membantu saya mendapatkan rentak lakonan lebih baik, apatah lagi apabila kali ini drama itu bersiaran selama sejam setiap episod. Ia sebuah kerja yang agak sukar, tetapi menjadi lebih mudah dengan sokongan semua pihak. Saya cukup menghargai bantuan mereka," ujarnya.
Drama yang mula menjalani penggambaran pada 10 November 2009 dan berakhir pada 5 Februari lalu itu turut dibintangi Datuk Rahim Razali, Aida Radzwill, Dian P Ramlee dan Balkisy.
Kata Jee, selain daripada Gelora Di Hati Sara, dia sebenarnya turut menerima tawaran berlakon daripada produser lain. Sayangnya, sebahagian daripada tawaran itu tidak dapat diterima, dek percanggahan jadual kerja.
"Saya juga kenalah betul-betul melihat di mana kemampuan saya. Takkan saya ingin terima sesebuah watak yang tidak termampu dilakukan oleh pelakon kurang berpengalaman seperti saya.
“Saya menjayakan projek Gelora Di Hati Sara musim kedua ini kerana saya sudah terbabit dengan projek pertama dulu. Paling tidak, sedikit keyakinan sudah pun diperoleh," kata Jee.
Ujarnya, peminat memang ingin melihat dia berlakon dengan lebih giat lagi, tetapi Jee lebih suka mengambil sikap tidak tergesa-gesa. Tegasnya, lakonan bukan bidang yang boleh dibuat secara main-main.
Sementara itu, saat menyentuh karier muziknya, penyanyi ini memberitahu lagu barunya, Ku Di Sini yang dicipta Ross Ariffin dan lirik hasil tangan sendiri, bakal dijadikan lagu tema drama bersiri berkenaan.
"Selain daripada menghiasi drama Gelora Di Hati Sara 2, lagu ini juga akan menjadi single terbaru saya. Kini kami berusaha menyudahkan proses mastering, supaya peminat dapat mendengarnya dengan kadar segera," kata Jee yang tidak mahu terburu-buru muncul dengan album baru.
Jee menambah, dia sentiasa membuka mata dan memasang telinga sekiranya ada lagu yang bagus dihasilkan mana-mana komposer, yang sesuai dinyanyikannya.
Sumber : Berita Harian
Coretan berkaitan
Entertainment,
Fauziah Latiff
Subscribe to:
Posts (Atom)