Monday, September 14, 2009
Jee Lega
HAMPIR tiga tahun menanti, Fauziah Latiff atau Jee mampu menarik nafas lega apabila harapannya untuk muncul dengan lagu baru bakal menjadi kenyataan.
Acap kali penyanyi yang kian menonjol dalam dunia lakonan ini disogok dengan pertanyaan bila akan kembali dengan album hingga penat menjawab.
Ketika menjayakan sesi fotografi bersama Selebriti di Balai Berita baru-baru ini, Jee memaklumkan akan merakam single terbaru dalam waktu terdekat.
Lagu ciptaan Ross Arifin itu sekali gus bakal mengakhiri segala persoalan, bahkan ia menjadi perkhabaran gembira buat peminat bintang jelita ini.
“Insya-Allah saya akan masuk studio secepat mungkin. Kalau boleh, biar proses rakaman siap sebelum raya dan jika semuanya berjalan lancar single ini akan menemui peminat tahun depan.
“Selama ini saya tidak mahu terkejar-kejar kerana mahu hasilkan karya terbaik. Lagipun bila bergerak sendiri, banyak perkara perlu diteliti.
“Ross tahu apa yang saya mahu dan saya berpuas hati dengan buah tangannya kali ini. Pertama kali mendengar melodinya saya terus jatuh cinta. Bagi saya ini karya terbaiknya dan berharap orang ramai suka dengan single yang belum diberi judul ini,” katanya yang tidak lekang dengan senyuman.
Menyingkap pembabitannya dalam dunia lakonan, ibu kepada Jeffri Joaquim, 11, dan Jeremy Jay, 9, ini mengaku kian selesa, malah bersyukur apabila drama bersiri, Gelora Di Hati Sara mendapat sambutan hangat.
“Alhamdulillah, Allah buka ruang kepada saya untuk mencuba perkara baru satu persatu. Daripada menyanyi, saya kemudian diundang menjayakan teater muzikal Rubiah arahan Ahmad Tarmimi Siregar, 10 tahun lalu.
“Pembabitan sebagai pelakon semakin serius apabila Rosyam Nor menawarkan saya membintangi telefilem Kudrat Iman dan drama Gelora Di Hati Sara. Terbaru, saya kembali ke pementasan teater menerusi Muzikal Tun Abdul Razak arahan Datuk Rahim Razali. Semua peluang itu saya jadikan pengalaman dan pelajaran baru.
“Selepas Aidilfitri saya akan kembali ke lokasi penggambaran Gelora Di Hati Sara musim kedua yang dijangka selesai awal tahun depan.
“Ada juga tawaran filem menyusul tapi saya belum bersedia kerana masih hijau dalam bidang ini. Insya-Allah jika ada rezeki selepas ini saya tidak menolak,” katanya.
Beralih ke topik lebaran yang kian menjelang, Jee memberitahu belum memutuskan sama ada beraya di Kuala Lumpur atau pulang ke pangkuan keluarga tercinta di Johor.
Katanya lembut, andai tidak pulang ke kampung halaman kemungkinan besar ibunya meraikan lebaran bersamanya di Kuala Lumpur.
“Soal di mana anak akan beraya, saya belum lagi berbincang dengan bekas suami. Biasanya kami bergilir, tengoklah pada keadaan. Apa pun keputusannya nanti, saya mahu anak gembira.
“Setakat ini saya belum belikan mereka baju Melayu, mungkin sehari dua lagi saya bawa mereka membeli-belah. Bab persiapan saya tidak cerewet, segala keperluan dilakukan ala kadar saja. Untuk diri sendiri, saya sediakan beberapa baju kurung kapas,” kata pelantun lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini.
Sumber : Metro Ahad
Coretan berkaitan
Entertainment,
Fauziah Latiff
Subscribe to:
Posts (Atom)