oleh WAHIDA ASRANI
SEPANJANG lebih 20 tahun mengabdikan diri di dalam bidang hiburan, dirinya memang selesa memberikan tumpuan yang penuh sebagai seorang penyanyi.
Meskipun banyak tawaran berlakon yang singgah, Fauziah Latiff yang mesra disapa Jee ini pasti akan menolak dengan alasan dirinya belum bersedia untuk terjun di dalam bidang tersebut.
Penyanyi berusia 37 tahun ini hanya pernah muncul di dalam teater arahan Ahmad Tarmimi Siregar, Rubiah pada tahun 2000 dengan memegang watak utama tersebut dan sebuah sitkom Hari Raya, Lontong arahan Azwan Ali yang turut dijayakan oleh Salih Yaacob, Ogy Ahmad Daud, Ning Baizura dan kumpulan KRU sekitar tahun 90an.
Namun kini, penyanyi yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini akui sudah tiba masa untuk dirinya 'memberanikan' diri bergelar pelakon setelah merasakan dirinya juga perlu mencuba sesuatu yang baru.
Jee akhirnya melahirkan persetujuan untuk berlakon di dalam beberapa buah drama terbitan produksi milik aktor popular, Rosyam Nor setelah beberapa tahun pelakon, dan penerbit itu cuba 'melamar' dirinya untuk berlakon.
"Sebenarnya saya agak gementar juga untuk berlakon ni. Tetapi saya rasa timing tu memang kena pada masa sekarang. Lagipun memang sudah lama Rosyam offer saya berlakon, tetapi saya memang tidak bersedia ketika itu."Kali ini, dia approach lagi dan seperti yang saya katakan tadi, masanya memang sesuai. Apatah lagi ketika ini saya sedang 'berehat' seketika daripada bidang nyanyian. Jadi rasanya tidak salah untuk saya cuba sesuatu yang baru pula," kata Jee.
Menurut ibu kepada dua orang anak lelaki iaitu Jeffri Joaquim Indot, 8, dan Jeremy Jay Indot, 6, buat masa ini dia masih di dalam peringkat perbincangan dengan Rosyam mengenai projek-projek drama yang bakal dijayakannya kelak.
Difahamkan, kemungkinan drama pertamanya nanti akan disiarkan sempena Hari Raya Aidilfitri yang turut menampilkan Rosyam sendiri dan Fauziah Nawi.
"Susah untuk saya cakap dengan lebih lanjut sekarang. Tetapi kita memang sedang berbincang lanjut tentang perkara itu. Tapi, rasa-rasanya boleh tak saya berlakon?" tutur Jee dalam nada ceria.
Bagi penyanyi ini, dia tidak merasakan dirinya agak 'lewat' untuk mula melangkah di dalam bidang lakonan sedangkan ramai rakan-rakan penyanyi lain sudah lama mula menceburi bidang itu.
Malah, Jee juga tidak mahu ada pihak yang menganggap percubaannya menceburi bidang lakonan ini disebabkan karier nyanyiannya yang semakin 'perlahan'.
"Selama kira-kira 23 tahun di dalam bidang nyanyian, saya sudah lalui pelbagai perkara pahit dan manis. Sudah banyak benda yang saya buat dan kecapi sepanjang menjadi seorang penyanyi.
"Jadi tidak salah jika saya ingin belajar satu bidang baru yang boleh manfaatkan diri saya sendiri. Saya tidak rasa diri saya lambat sertai bidang lakonan. Dulu, satu demi satu tawaran saya tolak kerana tidak bersedia dan ingin fokus kepada nyanyian saja.
"Kali ini, let me try this. Saya sedar saya masih baru dan apa saja kritikan yang diberikan kelak, saya akan terima dengan hati yang terbuka. Tidak kisahlah walaupun saya mula berlakon di dalam drama dulu.
"At least, saya boleh belajar dari bawah. Saya bersyukur kerana dapat bergandingan dengan pelakon yang berkaliber seperti Rosyam dan diberi peluang menyertai produksinya," ujar Jee.
Kata Jee lagi, percubaannya di dalam bidang lakonan bagaimanapun tidak bermaksud dia akan beralih angin sepenuhnya terhadap bidang tersebut.
"Saya ingin berehat seketika dari bidang nyanyian dan ingin beri tumpuan pada anak-anak dan perkara lain. Sebab itu saya tidak kisah untuk cuba berlakon pula.
"Tetapi, masih banyak tawaran show yang saya terima dan Insyaallah, jika ada rezeki, saya memang ingin hasilkan album baru. Lagipun, sudah ramai peminat yang bertanya bila album baru akan keluar," kata Jee yang kali terakhir menghasilkan albumnya kira-kira dua tahun lepas iaitu Pesona.
Sumber : mstar.com.my
No comments:
Post a Comment