Monday, August 4, 2008

Fauziah Latiff Terima Lamaran Rosyam Nor


BUKAN sedikit tawaran filem dan drama ditolak Fauziah Latiff. Bagaimanapun aktor dan penerbit terkenal, Rosyam Nor, bertuah apabila wanita yang mesra disapa Jee itu menyambut baik lamarannya membintangi produk terbitan Suhan Movies.

Dan, pastinya kesediaan pelantun lagu Enggan itu muncul sebagai ‘heroin’ baru Rosyam mengubat kerinduan peminat yang sekian lama menanti kemunculannya.

Akui Rosyam, sudah lama dia memasang angan-angan membawa Jee ke dunia lakonan, bahkan dia yakin penyanyi jelita itu mampu menghayati setiap watak yang bakal dibawa dengan baik.

“Bagi saya, Jee adalah penghibur. Melihat persembahan dan klip videonya, saya yakin dia boleh berlakon. Penyanyi diserap sebagai pelakon bukan perkara baru dalam industri kita.

“Sebagai pengenalan, dia akan menjadi pasangan saya dalam sebuah drama yang akan ditayangkan pada Aidilfitri nanti.

“Kemudian dia akan membintangi drama 13 episod berjudul Gelora di Hati Sara dan pada tahun depan kami akan bergandingan dalam siri Teratai Layu di Tasik Madu yang juga terbitan Suhan Movies.

“Sebagai tanda terima kasih di atas kesudian Jee, saya akan mempromosi lagu dendangannya dalam drama yang dibintanginya,” kata Rosyam di majlis pelancaran drama Ku Milik Mu.

Tambahnya, bergelar pelakon drama menuntut pengorbanan masa. Jika dibandingkan pendapatan yang bakal diperoleh memanglah tidak setimpal menyanyi.

Bagaimanapun, dia yakin Jee akan gembira kerana digandingkan dengan ramai pelakon hebat dan peluang yang diberi ini menjadi landasan ibu kepada dua putera itu mencuba cabang seni baru.

Mengulas perkembangan terbaru, Rosyam bersyukur kerana syarikatnya mendapat kepercayaan stesen televisyen, malah sudah enam tahun berturut-turut drama terbitannya ditayangkan pada malam raya.

“Sempena perayaan Aidilfitri, saya menghasilkan tiga drama raya. Satu daripadanya berjudul Mengejar Sinar dibintangi Fauziah Nawi, Aziz M Osman, Erma Fatima, Ismail Yaacob, Erynne Erynna dan saya sendiri.

“Lazimnya drama raya terbitan Suhan Movies meruntun hati dan penuh dengan pengajaran. Begitu juga dengan drama ini yang mengisahkan tiga insan hilang harapan.

“Saya melakonkan watak Iman yang hilang arah apabila isterinya meninggal dunia. Dia menyalahkan dirinya dan mula hilang tumpuan hingga kehilangan kerja.

“Dia yang mempunyai seorang anak akhirnya melarat di tepi jalan dan bertemu wanita tua senasib dengannya lakonan Fauziah Nawi,” katanya yang menyifatkan drama dan filem antara medium terbaik untuk berdakwah.

Selain rancak menerbitan drama raya, produksi miliknya juga mempersembakan drama Trilogi Cinta, Rozana dan Kepadamu Kekasih selepas Rozana.

“Saya berterima kasih dengan Media Prima, Astro dan RTM kerana mempercayai saya. Dengan adanya peluang sebegini, dapatlah saya berkongsi pendapatan dengan rakan pelakon dan kru penggambaran. Memang inilah matlamat Suhan Movies.

“Insya-Allah syarikat saya akan menerbitkan filem tahun depan. Namun sebelum ini saya akan hasilkan sebuah program realiti. Bagaimana konsepnya perlu dirahsiakan buat sementara waktu,” katanya yang berjiwa prihatin.

Pelakon ini turut menjawab penyepiannya sejak lapan bulan lalu ada sebabnya. Dia memerlukan sedikit ruang apabila abang dan bapa tercinta menyahut panggilan Ilahi.

“Dua insan ini sangat rapat dengan saya. Kehilangan mereka sangat dirasai. Kalaupun berlakon, saya hanya muncul seketika dalam Abadi Sebuah Cinta.

“Sepanjang tempoh ini, bolehlah dikatakan saya dapat berehat selepas 25 tahun bekerja keras. Kebanyakan masa saya dihabiskan di pejabat,” katanya yang menolak banyak tawaran filem kerana watak yang diberi kurang bersesuaian dengan jiwa dan usianya.

Mengulas siri Ku Milik Mu, tegas Rosyam, ini adalah produk pertama bertemakan kisah remaja dan ringan syarikatnya.

Berpuas hati dengan sentuhan Along Kamaludin selaku pengarah, dia optimis siri yang bersiaran di saluran TV3 ini memenuhi citarasa penonton.

Siri yang bakal ditayangkan setiap Selasa, jam 9 malam bermula 5 Ogos ini mengetengahkan Zizan Nin, Faradhiya dan Eira Syazira sebagai pelakon utama dengan dibantu Buzen, Liza Othman, Adzriefaiz dan Khaty Fauziah.

Sumber : Metro

No comments: