Thursday, August 14, 2008

Ajak Jee Jadi Kekasih Di Skrin TV


Rosyam gembira penyanyi Apa Sebenarnya terima lamaran

PELAKON popular, Rosyam Noor berminat untuk melamar penyanyi Fauziah Latiff. Bukan cerita rekaan tetapi itulah hakikat sebenar dan Rosyam sendiri sudah mengaku di depan beberapa teman media bahawa dia memang minat dengan si pelantun Apa Sebenarnya itu.

Dan menurut Rosyam, hasrat yang murni lagi tulus itu sudah pun disuarakan kepada Fauziah yang lebih dikenali dengan panggilan Jee itu.

“Memang saya ada melamar Jee tetapi lamaran itu hanyalah meminta dia berlakon bersama saya dalam telemovie terbitan syarikat saya Suhan Movies & Trading Sdn Bhd

“Hasrat itu sudah pun saya luahkan dan sekarang sedang menunggu kata putus darinya,” ujar Rosyam ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbitan syarikatnya berjudul Ku Milikmu di La Maison Restaurant, Maytower Hotel and Serviced Apartment, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Rosyam, walaupun Jee masih belum memberi kata putus namun dia sudah pun merancang dua buah drama untuk penyanyi popular itu.

“Buat masa ini, saya sudah sediakan dua buah drama untuknya. Pertama drama itu mengisahkan kejujuran dan takdir bertajuk Gelora Di Hati Sarah dan kedua, drama itu bakal diberi tajuk, Teratai Layu Di Tasik Madu yang dipetik dari lagu popularnya.

“Ketika saya menyuarakan hasrat itu padanya, dia hanya tertawa dan tidak yakin sama ada dia boleh berlakon atau tidak. Tapi, saya yakinkan dia bahawa saya boleh mengajarnya dan sanggup berlakon bersama asalkan dia menerima tawaran itu,” tegas pelakon berkarakter ini.

Ditanya apakah kerana populariti menyebabkan dia berminat untuk mengambil Jee berlakon, Rosyam mengatakan pemilihan itu dilakukan atas beberapa sebab.

“Perkara utama membuatkan saya berminat dengan Jee adalah kerana saya memang meminatinya. Kemudian, saya melihat dia memang mempunyai potensi untuk berlakon berdasarkan apa yang saya lihat menerusi klip videonya.

“Mungkin apabila berlakon, populariti Jee akan lebih memuncak. Lebih-lebih lagi apabila digandingkan dengan saya. Kira macam pasangan baru sayalah selepas Eja dan Rita Rudaini. Saya juga akan gunakan lagu nyanyiannya sebagai lagu tema drama saya kerana lagu Jee memang banyak yang menarik,” ujar Rosyam yang bakal muncul dengan telemovie berjudul Mengejar Sinar yang akan ditayangkan pada Aidilfitri nanti di TV3.

Kembali

HAMPIR lapan bulan Rosyam tidak menjejakkan kaki ke lokasi sebagai pelakon. Sejak kematian abang dan bapanya awal tahun lalu, Rosyam berkata hatinya bagaikan tertutup untuk berlakon. Dan dalam tempoh itu, menurut Rosyam dia lebih banyak menghabiskan masa melakukan kerja di belakang tabir.

“Sekarang ini saya sudah kembali berlakon dan saya akan kembali berpasangan dengan Rita Rudaini untuk slot Samarinda berjudul Trilogi Cinta. Dan alhamdulillah, rezeki Suhan Movies semakin mencurah-curah dan kami semakin aktif menerbitkan telemovie dan juga drama bersiri.

“Insya-Allah, drama saya yang berunsurkan kerohanian akan ditayangkan di TV9. Drama berjudul Kepadamu Kekasih ini akan menceritakan mengenai kehidupan anak yatim piatu. Memang sedih ceritanya dan saya percaya ramai yang akan mengalirkan air mata apabila menonton drama ini,” jelas Rosyam sambil mengakui projek yang diterima syarikatnya sudah penuh sehingga tahun depan.

Mengulas drama Ku Milikmu yang diterbitkan syarikatnya, Rosyam berkata ini adalah percubaan pertama Suhan Movies & Trading Sdn Bhd menghasilkan drama komedi romantik seperti ini. Drama bersiri 26 episod ini menampilkan pelakon seperti Liza Othman, Norseha, Khathy Fauziah, Buzen, Eira Syazira, Farahdhiya, Zizan Nin, Adzriefaiz dan Kapten Md Nor.

Sumber : Berita Harian

No comments: