Tuesday, August 19, 2008

JEE Si Anak Wayang


Lamaran aktor tersohor negara Rosyam Nor bagaikan sukar ditepis penyanyi jelita ini

SELAMA ini nama Fauziah Latiff atau Jee lebih menyerlah sebagai penghibur. Malah, lagu dan nyanyiannya sehingga kini sering menjadi peneman kala kita berduka atau bergembira. Kecemerlangannya dalam bidang nyanyian memang tidak dapat disangkal lagi.

Namun, sejujurnya bagaikan ada kekurangan dalam resume si pelantun Kau Merubah Segalanya ini jika dia tidak berani terjun dalam bidang lakonan. Melihat perjalanannya sebagai anak seni, dia mempunyai bakat yang besar dalam bidang ini. Buktinya, penghayatannya dalam setiap klip video yang dijayakan sering mendapat pujian.

Malah, seraut wajah jelitanya itu pernah muncul dalam teater berjudul Rubiah dan juga program komedi Lontong terbitan TV3 suatu waktu dulu. Namun, pembabitannya itu bukanlah secara total kerana selepas itu Jee lebih senang menumpukan perhatiannya dalam bidang nyanyian.

Bagaimanapun, tembok yang dibina Jee dalam bidang lakonan berjaya diruntuhkan aktor Rosyam Noor apabila pelakon dan penerbit terkenal itu berjaya menarik minat Jee untuk berlakon bersamanya dalam sebuah telemovie berjudul, Kudrat Iman.

Agaknya ilmu apalah yang dipakai Rosyam sehingga berjaya membuka pintu hati Jee untuk berlakon dalam telemovie arahan Bade Azmi itu.

“Sebelum ini pun Rosyam memang sudah lama melamar saya untuk berlakon dengannya cuma saya saja yang tidak memberikan sebarang keputusan. Mungkin apa yang boleh saya katakan adalah lamaran itu tiba tepat pada masanya.

“Dan kebetulan saya sekarang ini mempunyai banyak masa terluang kerana sedang berehat dari menyanyi. Bukan senang hendak berlakon, fokus kena ada. Lagipun, melihat kesungguhan yang ditunjukkan Rosyam membuatkan hati saya terbuka untuk menerima tawarannya itu,” ujar Jee ketika ditemui Hip di lokasi penggambaran telemovie berkenaan di Ampang, petang Jumaat lalu.

Dijolok pertanyaan apakah bayaran lumayan juga menjadi faktor dia bersedia turun ke gelanggang lakonan, Jee menafikan kesahihan perkara itu.

“Ia bukan disebabkan bayaran tetapi saya melihat kepada dengan siapa saya bekerja, cerita dan jenis watak yang ditawarkan. Apa yang berlaku di sini adalah perjanjian persefahaman antara saya dan Rosyam. Asalkan masing-masing puas hati dengan hasilnya, itu sudah memadai,” jelas Jee sekali gus melenyapkan spekulasi kononnya dia dibayar mahal oleh Suhan Movies & Trading Sdn Bhd sebagai pelakon utama telemovie itu.

Gementar di hari pertama penggambaran

TAMPIL berbaju kurung dengan rambut dilepaskan ke bahu, Jee yang memegang watak sebagai Mahani kelihatan anggun sudi berkongsi pengalamannya buat pertama kali bergelar anak wayang.

“Hari pertama saya di lokasi, haru biru sangat. Perasaan malu, gementar dan takut bercampur baur dalam hati. Bayangkan pertama kali berlakon, saya perlu berdepan dengan pelakon berpengalaman seperti Rosyam, Wan Maimunah, Ismail Yaacob.

“Bukan saja dengan pelakon tetapi Jee juga segan dengan semua kru yang bertugas. Tapi syukurlah, selepas sehari bersama mereka, Jee akhirnya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling,” katanya yang turut menjadikan lokasi penggambaran itu sebagai tempat untuk menimba ilmu.

Walaupun berada di depan kamera bukanlah satu masalah baginya namun bagi Jee perkara itu berbeza apabila dia berlakon.

“Memang banyak bezanya antara berlakon dan buat klip video. Klip video tak banyak terbabit dengan skrip. Lagipun sudah 20 tahun Jee buat perkara yang sama, dah lali. Ini berbeza dengan lakonan kerana selain perlu menghafal skrip, kita juga perlu bermain dengan emosi.

“Pun begitu, Jee begitu berterima kasih pada mereka kerana sudi membimbing Jee walaupun pada awalnya memang sukar buat Jee untuk menghayati watak Mahani. Iyalah, setiap kali ada adegan memerlukan saya bertentang mata dengan Rosyam, saya akan ketawa kerana lucu,” cerita Jee sambil tertawa kecil.

Sebagai Mahani, Jee berkata walaupun watak itu tidaklah seberat mana namun karakternya itu tetap menuntut pengorbanan yang tinggi buatnya.

“Mahani seorang gadis kampung yang ringkas dan juga tunangan kepada Rosyam yang memegang watak sebagai Zainal. Bagaimanapun apabila dia mendapat tahu Rosyam curang padanya, dia amat marah. Babak masa Mahani serang Rosyam itulah yang membuatkan saya berdebar-debar. Mesti orang nak tengok macam mana Fauziah Latiff mengamukkan?

“Tapi mujurlah Bade ada bagi tunjuk ajar bagaimana nak hayati babak sebegitu. Dan saya sendiri, kalau tak ada babak pun akan tetap datang ke lokasi untuk melihat pelakon lain berlakon. Sekurang-kurangnya ia boleh membantu Jee untuk mantapkan lagi teknik lakonan,” jelasnya yang nyata serius apabila mengambil keputusan untuk bergelar pelakon.

Sumber : Berita Harian

No comments: