PERKAHWINAN adalah ikatan penyatuan dua jiwa dalam melayari hari-hari bahagia sebagai pasangan suami isteri. Bagaimanapun, mampukah sesebuah mahligai perkahwinan bertahan andai kasih sayang yang terjalin hasil guna-guna dari ilmu hitam?
Kisah menarik yang membawa kepada keinsafan tersebut dipaparkan dalam telefilem khas Aidilfitri, Kudrat Iman yang bakal menjengah kaca televisyen anda di RTM1, Sabtu ini (11 Oktober 2008), pada pukul 8.30 malam.
Mengajak penonton menghayati bagaimana mahalnya erti sebuah kemaafan seorang suami akibat perbuatan keji si isteri yang sanggup menggunakan ilmu hitam demi menakluki perhatian dan cinta dari insan yang menjadi teman hidupnya itu.
Dengan membariskan nama pelakon hebat seperti Rosyam Nor dan Wan Maimunah sebagai tunjang utama, selain dijayakan oleh Afida Es, Ismail Yaakob dan Ummi Nazeera, Kudrat Iman yang mengisi slot Panggung Seri turut mempertaruhkan percubaan julung kalinya penyanyi jelita, Fauziah Latiff.
Diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., telefilem tersebut mengisahkan kekhilafan seorang wanita tua bernama Esah yang menikahi seorang pemuda bernama Zainal berlandaskan ilmu hitam.
Perkahwinan tersebut menyebabkan ikatan pertunangan antara Zainal dan Mahani terpaksa diputuskan.
Akibat terlalu kecewa, Mak Som, ibu Zainal yang malu dengan tindak-tanduk anak lelakinya itu meninggal dunia.
Tanpa Zainal sedari, Esah yang merupakan seorang dukun dan jirannya telah mengenakan ilmu pengasih terhadapnya.
Demi menundukkan Zainal, Esah menggunakan nasi tangas (kangkang).
Sejak berkahwin, Zainal mula menikus dan mengikut telunjuk Esah. Pun begitu, apabila berdepan dengan Mahani, Zainal masih enggan melepaskan Mahani dan merayu agar Mahani bersabar.
Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke tanah. Aktiviti khurafat serta tindak-tanduk Esah yang menyihir suaminya terpaksa dihentikan apabila menjelang Ramadan.
Memilih sehari sebelum tibanya Ramadan, Esah mengulangi sihir nasi tangas terhadap Zainal.
Namun, malang menimpa apabila kakinya tersandung tungku dapur, lalu jatuh tertiarap sehingga nasi dalam periuk jatuh berderai. Sejak hari itu, bermulalah episod duka bagi Esah.
Mahani yang jemu dengan janji-janji kosong Zainal menerima pinangan Muin dan bakal disatukan selepas hari raya.
Desas-desus Zainal terkena buatan Esah semakin menular di kalangan kakitangan di pejabat tetapi disangkal oleh Zainal lalu menuduh Mahani yang menyebarkan fitnah tersebut.
Suatu hari, ketika sedang membersihkan rumah, Zainal menemui kitab pedukunan dan sihir nasi tangas yang disimpan oleh Esah.
Zainal yang berang dengan perbuatan Esah, menuduhnya sebagai derhaka dan patut diceraikan.
Sejak terpisah dengan ilmu pedukunan, Esah semakin teruk. Suhu badan panas dan kulitnya berubah menjadi hitam. Kerana kasihan, Zainal mengambil keputusan memelihara Esah.
Masihkah ada peluang untuk Esah bertaubat dan bagaimana pula kesudahan hubungan Mahani dan Zainal setelah Mahani membuat keputusan meneruskan perkahwinannya dengan Muin?
Pastikan anda menonton telemovie ini untuk mengetahui kesudahannya?
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment