Oleh WAHIDA ASRANI
SETELAH kehilangan bapa tersayang Sheikh Abdul Latiff Omar beberapa tahun lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini kebiasaannya akan menyambut Aidilfitri dalam keadaan yang sederhana saja.
Aidilfitri tahun ini juga tidak ada bezanya buat Fauziah Latiff yang lebih mesra disapa Jee ini. Setelah kembali hidup 'solo' sejak setahun setengah yang lalu, Jee bersama dua orang anaknya, Jeffri Joaquim Indot, 9, dan Jeremy Jay Indot, 7 tetap akan pulang ke Johor Bahru untuk meraikan Syawal bersama ibunya.
Malah, menurut penyanyi berusia 38 tahun ini, dia juga merancang untuk membawa ibu dan anak-anaknya bercuti ketika raya nanti untuk menghabiskan masa bersama insan-insan tersayang di dalam hidupnya.
Apapun, ada satu perkara lagi yang cukup 'menggusarkan' Jee sempena Syawal kali ini.
Masakan tidak, buat pertama kali bakat lakonannya akan dinilai oleh penonton menerusi telemovie Kudrat Iman yang akan ditayangkan di saluran RTM1 pada 11 Oktober nanti.
Akui risau dengan respon ramai, Jee bagaimanapun tidak menafikan turut teruja untuk melihat sendiri komen peminat khususnya terhadap lakonannya itu, apatah lagi selama 22 tahun bergelumang sebagai anak seni, Jee hanya pernah muncul dalam teater Rubiah dan program komedi arahan Azwan Ali, Lontong beberapa tahun yang lalu.
Selepas itu, penyanyi jelita ini dilihat lebih selesa meneruskan karier nyanyiannya meskipun tawaran lakonan sentiasa menghambat dirinya. Sehinggalah Suhan Movies & Trading Sdn Bhd milik aktor popular Rosyam Nor 'melamar' Jee untuk membintangi beberapa buah drama mereka baru-baru ini, wanita ini akhirnya terbuka hati untuk mencuba.
Mengulas lanjut tentang pengalamannya berlakon, kata Jee, dia akui perasaan kekok dan malu memang tidak dapat dihindari dalam dirinya tatkala pertama kali berada di set lokasi Kudrat Iman pada pertengahan Ogos lalu, yang merupakan arahan Bade Azmi.
"Apa yang lebih merisaukan saya pada waktu itu ialah kerana pelakon-pelakon yang terlibat bukan calang-calang. Selain Rosyam, saya perlu berlakon bersama Wan Maimunah yang kita semua sedia maklum tentang bakatnya yang hebat.
"Tetapi, dari situ saya cuba kutip sedikit demi sedikit ilmu dan pengalaman bekerja dengan mereka memang cukup menarik. Dapat melihat sendiri bagaimana cara sesebuah produksi bekerja membuatkan saya lebih menghargai tugas krew dan pelakon kerana baru saya sedar bukan mudah untuk menghasilkan drama.
"Tentang lakonan saya, sukar untuk saya jelaskan sendiri. Terserahlah kepada penonton kelak untuk menilai. Bagi diri saya sendiri, saya sudah bersedia untuk sebarang kritikan kerana saya sedar saya tidak ada asas di dalam bidang ini," tutur Jee.
Bukan hanya menerusi Kudrat Iman saja, lakonan Jee juga boleh dilihat menerusi drama bersiri 26 episod, Gelora Hati Sara yang juga bakal disiarkan di RTM1 tidak lama lagi.
Drama tersebut turut menampilkan Rosyam Nor sebagai pelakon utamanya serta beberapa pelakon handalan lain seperti Datuk Rahim Razali, Aida Radzwill dan Watie Elite
Jee yang baru saja tamat menjalani penggambaran drama bersiri tersebut baru-baru ini akui, bukan mudah untuk dirinya berlakon di dalam dua buah drama sekaligus dalam masa dua bulan.
Selain kurangnya pengalaman, dia juga terpaksa cuba membiasakan diri dengan rutin harian sebagai pelakon yang adakalanya perlu berada di lokasi penggambaran seawal pukul 7 pagi.
"Itu satu pengalaman yang baru buat saya, tetapi saya tidak pernah complaint. Kalau nak kata penat tu, memanglah penat apatah lagi penggambaran dijalankan ketika bulan puasa. Bukan saja saya, semua krew juga sudah tentu penat.
"Tetapi saya akui pengalaman yang saya dapat ini amat menyeronokkan. Apa yang paling mencabar ialah untuk menghayati watak saya. Karektor saya memang berbeza di dalam kedua-dua buah drama itu.
"Di dalam Kudrat Iman, saya membawakan watak Mahani, tunang kepada Rosyam. Watak tersebut memerlukan saya banyak bermain dengan emosi. Di dalam Gelora Hati Sara, watak Sara yang saya bawakan itu lebih kepada pelbagai karektor.
"Drama ini secara ringkasnya mengisahkan Sara yang berkahwin dengan Asrul (Rosyam) di luar negara tanpa pengetahun keluarga. Setelah pulang ke Malaysia pelbagai konflik timbul dan disitulah saya perlu menjiwai watak saya dalam pelbagai mood," kata Jee.
Ditanya tentang tawaran lakonan yang lain, ujar Jee, dia ada mendapat projek lakonan lagi daripada Suhan Movies, namun semuanya masih lagi dalam perbincangan lanjut.
"Rosyam ada tawarkan lagi berlakon. Tetapi tak tahulah lagi macam mana... saya pun bukannya nak terus jadi pelakon selepas ini. Saya terima lamaran Rosyam pun kerana memang kena pada masanya memandangkan saya ketika ini sedang 'berehat' dulu dari bidang nyanyian.
"Apapun, fokus saya tetap pada nyanyian. Undangan persembahan masih banyak yang saya terima, cuma belum terfikir untuk menghasilkan album baru saja lagi," kata penyanyi ini lagi.
Sumber: Mstar.com.my
No comments:
Post a Comment