Sunday, October 12, 2008

Jee Bangkit Semula

Sudah dua tahun Suhan Movies merisik penyanyi wanita yang cukup popular pada era 1990-an ini untuk terbabit dalam projek drama dan telemovie

FAUZIAH Latiff atau cukup dikenali di kalangan orang industri hiburan dan peminatnya dengan panggilan Jee, punya alasan tersendiri mengapa dia lebih selesa mendiamkan diri. Katalah apapun, dia lebih rela diam dan mengunci mulut daripada bercerita hal peribadi. Itulah memang sifat semulajadinya.

Kesediaannya untuk muncul sebagai artis penghias muka depan sisipan Bintang Popular (B*Pop) minggu ini ada alasan yang tersendiri dan cukup penting. Ternyata, ia lebih kepada menghebahkan kepada masyarakat dan peminat mengenai kegiatan dan pergerakan kerjaya seninya yang terkini selepas sekian lama berehat dari pentas nyanyian arus perdana.

“Masa dan ketikanya cukup sesuai untuk Jee mencuba sesuatu yang lebih baru lebih-lebih lagi ia ada kena mengena dengan usaha mengembangkan kerjaya seni yang selama ini lebih tertumpu kepada nyanyian,” jelasnya yang kini mula berjinak dalam lakonan.

Dia akui, sudah dua tahun, syarikat Suhan Movies merisik penyanyi wanita yang cukup popular pada era 1990-an ini untuk terbabit dalam projek drama dan telemovie terbitan mereka.

“Ketika saya didekati abang Rosyam Nor (penerbit Suhan Movies), dia lebih kepada memberikan rasional dan juga penjelasan mengenai keperluan pembabitan saya di samping menjanjikan tunjuk ajar dan pendedahan secukupnya dalam bidang lakonan. Saya terima berlandaskan kepada hakikat bahawa saya tahu saya berada dalam kelompok insan seni yang betul,” katanya yang begitu menghargai setiap detik berada di lokasi penggambaran dua telemovie terbitan Suhan Movies - Kudrat Iman dan Gelora Di Hati Sarah.

“Acting is a lot of hardwork, memang bukan kerja yang mudah untuk dilunaskan. Saya begitu menghormati ketekunan, kesabaran dan ketelitian sutradara Bade Azmi dan warga kerjanya sewaktu penggambaran. Fokus paling utama kerana tanpa tumpuan, memang sukar untuk mencari mood dan penghayatan watak dan perwatakan,” tambah Jee yang bersyukur selain mendapat tunjuk ajar serta menimba pengalaman cukup berharga sepanjang berada di lokasi penggambaran, dia menjadi cukup akrab dengan barisan pelakon dan krew produksi.

Kudrat Iman yang turut dibintangi Rosyam, Wan Maimunah, Afida Es dan Ismail Yaacob disiarkan semalam (11 Oktober) menerusi RTM1, jam 8.30 malam. Dalam drama itu dia membawa watak utama sebagai gadis bernama Mahani yang menjadi tunangan kepada pemuda, Zainal tetapi mereka gagal untuk menaiki jenjang pelamin. Babak paling sukar baginya tentulah kerana banyak bermain emosi terutama adegan dia memarahi Mak Esah yang merampas tunangnya.

Selepas Kudrat Iman, penyanyi jelita yang cukup popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu dan Enggan ini akan muncul pula menerusi telefilem berjudul Gelora Di Hati Sarah. Kali ini, Jee membawa watak seorang peguam bernama Sarah yang terpaksa berkahwin senyap-senyap di luar negara. Dia akui tugas sebagai pelakon untuk watak berkenaan begitu berat kerana terpaksa bermain emosi dalaman dan kena bijak bermain dengan permainan air muka untyuk sesuaikan dengan keadaan yang tidak menentu.

“Memang kerja berlakon penat tetapi adalah tidak adil untuk saya merungut. Saya memang minat lagi untuk terus berlakon pada drama lain tetapi bergantung pada masa dan keadaan,” kata Jee.

Selain berkongsi pengalaman sebagai orang baru dalam dunia lakonan, pemilihan Federal Hotel Internationals (FHI) sebagai lokasi sesi fotografi bersama Jee sebenarnya mengundang nostalgia indah kepada penyanyi yang berstatus ibu tunggal ini.

“Inilah hotel ayah selalu bawa Jee jalan-jalan makan angin masa kanak-kanak dulu. Rasanya ketika itu usia Jee baru empat atau lima tahun,” ceritanya yang masih terkenang arwah bapanya yang sering menjadikan FHI sebagai tempat bertemu rakan-rakan lama dan membawa keluarga beristirehat.

FHI bagi Jee bukan sembarangan hotel. Premis yang sudah tersergam sejak sebelum merdeka itu menjadi saksi dan tempat berhimpun pejuang dan pemimpin tanah air sebelum menanti detik bersejarah 31 Ogos 1957, Tanah Melayu di isytiharkan negara merdeka dari sebarang penjajahan. Mungkin kerana itu jugalah hubungan Jee dengan FHI tidak pernah putus malah sering diundang untuk mengadakan persembahan istimewa seperti sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan ke-50, tahun lalu selain meraikan Minggu Setiausaha.

Masih dalam suasana sambutan Aidilfitri, Jee akui dia meraikan hari lebaran itu bersama dua anaknya secara sederhana di kampungnya di Johor.

Jee dan bekas suaminya yang juga ahli perniagaan, Johan Indot mendirikan rumah tangga pada 1997 dan bernikah di London. Mereka kini sudah bercerai dan hasil perkahwinan lalu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Jeffri Joaquim, 10, dan Jeremy Jay, 8.

“Syukur, anak-anak dapat beraya bersama Jee tahun ini, kami pulang ke kampung Jee di Johor dan sempat menziarahi sanak-saudara terdekat lain,” jelasnya yang lebih selesa berhari raya dalam suasana serba sederhana.

Nyata, biarpun kini hidup sendiri, Jee yang masih mahu merehatkan dulu kerjaya nyanyiannya buat sementara waktu tidak pernah melihat kegagalan rumah tangga sebagai penghalang untuknya terus bangkit dan meraih kejayaan dalam kehidupan. Mengenai jodoh, dia enggan lagi bercakap soal rumah tangga buat masa ini dan fokusnya hanya bertumpu pada karier dan mencari wang.

“Saya sedar dalam keadaan apapun, kita kena teruskan hidup,” katanya yang berkali-kali menolak untuk bercakap lebih lanjut mengenai hal peribadi termasuk soal cinta.

Fakta Menarik Jee

  • Penghibur Terbaik dalam Pesta Kingsway anjuran RTM pada 1989.

  • Biarpun pada zahirnya kelihatan lembut dan ayu, Jee cukup meminati sukan lasak seperti menyelam skuba, berkuda dan jet ski.

  • Perkahwinan pertama Jee dengan Syed Budriz pada 1992 berakhir dengan perceraian tiga tahun berikutnya.

  • Jee mendirikan rumah tangga kedua bersama ahli perniagaan, Johan Indot pada 19 Jun 1997 di London dan bercerai pada Mac 2007.

  • Hasil perkahwinan Jee dengan Johan, dikurniakan dua cahaya mata, Jeffri Joaquim, 10, dan Jeremy Jay, 8.


INFO: Jee

  • NAMA: Fauziah Latiff
  • USIA: 38 Tahun
  • TARIKH LAHIR: 5 Disember 1970
  • ASAL: Air Tawar, Perak
  • ALBUM: Album sulungnya, Digamit Memori muncul pada 1988 dan hingga kini, memiliki 17 album rakaman.
  • PENCAPAIAN: Penghibur Terbaik dalam Pesta Kingsway di RTM pada 1989.
•1988-1990 -

Top Five Most Popular Singer for 3 consecutive Years


Represented Malaysia in the 6th Asian Pop Song Festival in Manila

• 1989 ~ Won the Award for Fiesta Kingsway's Best Entertainer Of the Year

• 1991 ~ Best Female Entertainer of the Year

• 1992 ~ Best Female Entertainer of the Year

• 1993 ~ Best Entertainer and Best Song of the Year

• 1994 ~ Best Song of the Year (SBC) and Best Female Entertainer Of the Year

• 1995 ~ Represented Malaysia in Asean Music Festival - Fukuoka, Japan
Represented Malaysia in Asean Music Syndrome – Kyoto, Japan
Represented Malaysia in Asia Pop Queen Festival – Fukuoka, Japan
Represented Malaysia in Asia Big Adventure – Osaka, Japan
• 1996 ~ Represented Malaysia in Asia Song Festival in Bali

• Best Music Video (Sahabat), Anugerah Industri Muzik (AIM)

• Best Music Video (Sahabat) 1995 ~ 1996

• Best Director (Sahabat) 1995 ~ 1996

• Best Editing (Sahabat) 1995 ~ 1996

• Best Art Director (Sahabat) 1995 ~ 1996

• Best Photography (Sahabat) 1995 ~ 1996
  • DRAMA: Sitkom Lontong
  • TELEMOVIE: Kudrat Iman dan Gelora Di Hati Sarah
  • TEATER: Muzikal Rubiah
Sumber : Berita Harian

No comments: