Thursday, April 10, 2008

Jee: "Kami hanya kawan"


Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

SELEPAS setahun berpisah dengan suami, Johan Indot, penyanyi cantik Fauziah Latiff atau lebih dikenali dengan nama Jee kini semakin serasi dengan kehidupan solonya.

Hasil perkahwinannya dengan bekas suami, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki yang berusia tujuh dan sembilan tahun.

Meskipun sibuk dengan aktiviti masing-masing, Jee tetap meluangkan masa dengan anak-anaknya yang semakin membesar itu dengan berlibur bersama apabila cuti hujung minggu atau musim cuti sekolah secara bergilir-gilir.

Bertanya kepada perkembangan lain penyanyi yang bakal menginjak usia 38 tahun menjelang bulan Disember depan, Jee dalam proses merakamkan album baru yang dijangka akan menembusi pasaran dalam tahun ini.

"Setakat ini, baru lima peratus lagu yang siap dirakam tetapi masih belum confirm lagi. Saya tak nak terlalu tergopoh-gapah untuk menyiapkan album baru ini.

"Apabila mendapat lagu, saya perlu membuat pilihan dengan teliti. Oleh itu, saya ingat mahu keluarkan album single dahulu sebelum album penuh dikeluarkan.

"Saya berharap sangat album penuh itu dapat dikeluarkan dalam tahun ini. Saya sentiasa memikirkan tentangnya tetapi bukan mudah untuk membikin album itu dengan kadar segera," ujar Jee yang bakal menyarungkan busana berwarna putih dan hitam rekaan Hatta Dolmat pada majlis Makan Tengahari Minggu Setiausaha Rafflesia di Hotel Istana Kuala Lumpur pada 16 April depan.

Dalam majlis yang turut dijayakan oleh tujuh orang penyanyi lain seperti Jaclyn Victor, Erra Fazira, Ning Baizura, Liza Hanim, Azharina Azhar, Ziana Zain dan Noryn Aziz itu, beliau akan menyanyikan sebuah lagu iaitu Resah yang dimuatkan dalam album lamanya.


Aleeza Kassim dan Noryn Aziz turut menjayakan Minggu Setiausaha Rafflesia pada 16 April ini

"Saya akan pakai seluar dan kemeja rekaan Hatta Dolmat semasa menyanyikan lagu tersebut bersama dua orang penari. Rekaan Hatta memang cantik dan saya sangat sukakannya.

"Memanglah sekejap sahaja saya menyanyi tetapi nak buat macamana sebab kita ada ramai penyanyi lain yang bakal menjayakan persembahan pada hari itu nanti.

"Persembahan saya dalam majlis itu hanya sekadar persembahan dan tiada istilah membuat 'comeback'. Saya hanya ingin menjadi diri-sendiri.

Kata Jee yang baru pertama kali menjayakan Minggu Setiausaha ini, beliau amat teruja untuk menjayakan program sebegini disamping menghargai pereka fesyen tempatan yang semakin mendapat tempat di dalam industri fesyen sekarang.

Berbalik kepada kisah kehidupan Jee sekarang, "Alhamdulillah, saya masih 'the old' Jee. Tidak terlalu banyak aktiviti yang saya lakukan buat masa ini. Jika saya tidak sibuk dengan pembikinan album, saya akan menjalan aktiviti lasak seperti menyelam. Sudah enam tahun saya melakukan aktiviti ini.

"Minggu lepas saya menyelam di Pulau Tioman, Pahang. Saya ke sana bersama rakan-rakan baik. Memang seronok melakukan aktiviti tersebut beramai-ramai.

"Di sana kami tak kisah tinggal di mana-mana pun, khemah pun boleh sebab ianya lebih seronok.

"Tentang kos perbelanjaan untuk aktiviti menyelam ini pula, saya akan berbelanja mengikut tempat tersebut dan sebab tertentu."

"Tiada masalah kalau kami keluar beramai-ramai"-Jee

Baru-baru ini, pemilik nama Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff ini bangkit dikaitkan mempunyai hubungan intim dengan pelakon kacak Hans Isaac.

Namun telahan tersebut dinafikan oleh Jee apabila beliau mengatakan Hans hanya kawannya dan hubungan mereka tidak sampai membuahkan rasa cinta antara satu sama lain.

"Kalau tak silap saya, Hans sudah membuat kenyataan yang kami tidak bercinta dan setakat kawan sahaja. Sebagai kawannya, saya ingin bercakap perkara yang sama iaitu kami hanya kawan.

"Saya mempunyai ramai kawan dan Hans merupakan salah seorang kawan saya. Hubungan kami tidaklah terlalu rapat tetapi kadangkala kami akan berjumpa dan keluar secara beramai-ramai. Saya fahami dan hormatinya sebagai kawan.

"Rasanya tiada masalah kalau kami keluar beramai-ramai. Ianya perkara normal dan tidak perlu dijadikan isu yang besar. Tidak menjadi kesalahan juga kalau saya nak keluar dengan sesiapa pun.

"Saya dah lama kenal dia. Keluarga saya juga mengenalinya. Jadi apabila kami keluar bersama, mungkin orang lain akan anggap yang bukan-bukan walaupun mereka tak tahu apa-apa pun.

"Apabila mendengar hal ini, saya tak nak melenting tetapi harap benda ni tidak diperbesarkan lagi.

"Saya sudah dewasa dan bukannya budak-budak lagi. Masing-masing sudah pandai menjaga diri-sendiri. Saya juga ibu kepada dua orang anak.

"Jadi apabila orang bercakap tentang hal ini, saya jadi fobia dan takut untuk keluar. Saya mempunyai kehidupan sendiri dan biarlah apa yang saya nak buat," akhiri Jee.

Untuk menyaksikan persembahan Jee dalam majlis Makan Tengahari Minggu Setiausaha Rafflesia di Hotel Istana Kuala Lumpur pada 16 April ini, tiket berharga RM650 untuk seorang boleh dibeli melalui talian 03-21419988 sambungan 3667.


Sumber : mSTAR Online

No comments: