Fauziah Latiff atau lebih dikenali sebagai Jee, selesa dengan kehidupannya sekarang. Jika sebelum ini beliau memang terkenal dengan pelbagai aktiviti lasak, kini aktiviti-aktiviti seperti snorkeling dan kickboxing menjadikan hidupnya lebih positif tanpa memerlukan dia memikirkan segala peristiwa yang sudah berlalu. Beliau yang cukup menyayangi alam sekitar, kini menjadi seorang aktivis dalam membantu kegiatan memelihara dan memulihara batu karang, selain dari menjadi jurucakap kepada produk kecantikan terkenal SK II. Jika tidak mempunyai aktiviti, dia suka menghabiskan masa di rumah.
Dalam pada beliau sibuk dengan pelbagai aktiviti, tahun ini Jee dijangkakan akan menghasilkan album terbarunya setelah sekian lama menyepikan diri. Beliau yang pernah mendendangkan lagu ciptaan komposer tersohor, Jim Brickman, berharap agar ada komposer-komposer yang sudi menyumbangkan material bagi album terbarunya itu. Jee juga berharap dia akan menyampaikan lagu berentak seperti ‘Teratai Layu Di Tasik Madu’ atau ‘Enggan’, yang cukup diminati dan menjadi kesukaan pendengar suatu ketika dahulu.
Beliau yang pernah menjadi juri bagi rancangan pencarian bakat, ‘Malaysia Idol’, merasakan bakat-bakat baru tanahir cukup bertuah kerana mempunyai rancangan seperti itu yang berupaya mendidik dan membentuk mereka bagi melibatkan diri dalam bidang seni suara. Bila ditanya, jika bakat baru yang muncul seperti cendawan lepas hujan, Jee menjawab, “Itu adalah satu persaingan yang cukup sihat.”
“Jee rasakan adalah menjadi satu tanggungawab kepada artis yang lebih senior untuk mendidik dan membentuk artis baru. Jika artis senior melihat artis baru sebagai pesaing dari sudut negatif, maka ianya akan merosakkan industri ini sendiri.
“Sewaktu awal kemunculan Jee dulu, Jee pun tidak mengetahui tentang teknik pernafasan, penyampaian lagu dan sebagainya. Namun, berkat tunjuk ajar dari mereka yang lebih berpengalaman, segala hasil usaha Jee berbaloi kerana peminat menerima Jee sehingga sekarang.”
Jee memaklumkan yang album terbarunya akan dibiayainya sendiri. Bila ditanya mengenai fenomena sebilangan artis yang membuat album menggunakan duit sendiri, bagi Jee ia satu perkembangan yang cukup positif.
“Jika sebelum ini, artis menyerah segala-galanya kepada pihak syarikat rakaman dari rakaman, pemilihan kulit album dan pemasaran, dengan melibatkan diri 100 peratus dalam pembuatan album, artis akan menyedari prosedur dan perkara yang terlibat. Bagi Jee, inilah 'keindahan' jika menghasilkan produk sendiri.”
Di sebalik kisah album terbarunya, ada juga khabar angin mengatakan bahawa Jee sedang berpacaran dengan seorang pengarah filem kacak yang baru menghasilkan filem pertamanya iaitu sutradara Hans Isaac. Namun bagi Jee, secara jujurnya dia dan Hans memang telah berkawan baik semenjak sekian lama. Mungkin ada mereka yang salah faham apabila terserempak dia dan Hans keluar minum bersama atau berbincang mengenai industri hiburan. Bagi Jee, Hans merupakan seorang kawan dan pendengar yang cukup baik.
Jee akan mengadakan persembahan pada majlis minggu setiausaha yang dianjurkan oleh Rafflesia Pearl Center dan Hotel Istana. Dia dijangka menyampaikan sebuah lagu yang pernah popular suatu masa dahulu dengan diberikan sentuhan baru. Untuk busana yang akan diperagakan pada majlis itu nanti, Jee dengan kolabrasi bersama pereka fesyen muda terkenal tanahair, Hatta Dolmat, akan memperagakan rekaan baju ala Audrey Hepburn berpandukan tema warna hitam dan putih. Bagi mereka yang merindui kelincahan gerak tari dan suara gemersik Fauziah Latiff, jangan lupa saksikannya pada Majlis Minggu Setiausaha Rafflesia pada 16 April nanti.
Sumber : Gua.com.my
No comments:
Post a Comment