Wednesday, March 26, 2008

Semua ini ujian Tuhan - Fauziah Latiff


BIARPUN dua perkahwinannya sebelum ini gagal di pertengahan jalan, namun, memori pahit itu tidak pernah dijadikan halangan untuk dia kembali meneruskan kehidupan.

Bahkan, penyanyi tersohor Fauziah Latiff atau Jee sangat realistik dan percaya ada hikmah yang menanti di sebalik fasa kesulitan yang dilaluinya.

Malah kata penyanyi berusia 38 tahun ini lagi, buat masa sekarang, bukan cinta baru yang didambakan, sebaliknya, kebahagiaan yang dijejakinya.

Mujur, Jee sudah semakin matang mengendalikan kehidupan seharian.

Dedah Jee, dia semakin bahagia sendirian. Bukan mahu mendabik dada, sebaliknya, kebahagiaan yang sebegini sudah lama dicari.

“Alhamdulillah saya sangat tenang sekarang dan bersyukur dengan apa yang saya ada. Saya ada anak untuk menggembirakan saya, ada rumah untuk saya berlindung dari panas dan hujan, ada ibu untuk berkongsi kasih sayang dan ada kerjaya untuk menampung hidup saya.

“Saya juga gembira kerana rakan-rakan sentiasa berada di sisi menyokong saya. Itu sudah mencukupi!” jelas penyanyi yang sangat popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini.

Menyambung perbualan, ibu tunggal kepada Jeffri Joaquim, 9, dan Jeremy Jay, 7, ini sangat bersyukur kerana Tuhan memudahkan perjalanan hidupnya khususnya selepas perkahwinan keduanya dengan Johan Indot berakhir tahun lalu.

“Apa yang saya lalui merupakan pengalaman hidup yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Tiada siapa tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

“Bagi saya apa yang saya alami tidak seteruk mana. Masih ada insan yang menghadapi masalah lebih teruk berbanding saya. Saya anggap apa yang saya lalui ini merupakan ujian Tuhan buat saya,” ujar Jee yang lembut berbicara.

Menurut jurucakap produk kecantikan SKII ini lagi, pengalaman berharga yang dialaminya semakin membuatkan dia kuat dan tabah.

“Saya masih hidup dan bernafas walaupun mengalami saat-saat sukar dahulu. Jadi saya tak mahu terlalu mengambil berat sangat dengan apa yang telah berlaku.

“Saya sedarkan diri bahawa saya perlu bangun dan hanya saya sahaja yang mampu menguatkan diri saya,” katanya menyambung bicara.

Jodoh

Sebagai wanita, biarpun mengakui selesa bersendirian namun Jee akui tidak akan menolak ketentuan Ilahi seandainya tertulis mengatakan dirinya kelak kembali menemui cinta sejati.

Beritahu anak kelahiran Air Tawar, Perak, ini andainya dia bertemu lelaki baru, dia enggan tergesa-gesa membuat keputusan memberi komitmen, sebaliknya, Jee mahu mengambil masa mengenali lelaki itu.

“Semuanya di tangan Tuhan dan saya tak mahu mengharapkan lebih daripada itu. Tapi saya tak mahu tersalah cakap sebab saya khuatir lain pula jadinya di masa depan.

“Tapi kalau saya jumpa seseorang mungkin saya akan mengambil masa untuk mengenali dirinya terlebih dahulu. Mendalami dan mengetahui dirinya merupakan satu perkara yang akan saya utamakan,” luah Jee tenang penuh makna.

Semua itu gosip

Dalam pada itu Jee turut mengakui terdengar gosip-gosip yang mendakwa dia sudah menemui cinta baru.

Ucap peminat sukan lasak ini, dia mengharapkan pengertian semua pihak agar tidak mengaitkan dirinya dengan mana-mana lelaki.

“Bagi saya semua itu perkara biasa yang telah saya lalui dari dulu lagi. Tapi saya mahu khalayak tahu, buat masa sekarang saya berkawan dengan semua pihak.

“Dan saya menghormati semua kawan-kawan saya. Tak manis apabila cerita-cerita sebegitu keluar dan saya tak selesa dengan situasi tersebut,” ulas Jee mengenai spekulasi cinta barunya itu.

Kerjaya seni

Berbicara tentang perkembangan seninya Jee berkata: “Saya dalam proses mengumpul material untuk album terbaru. Masih memikirkan komposer-komposer yang sesuai untuk berkerjasama. Kalau boleh saya mahu mengeluarkan single dahulu.”

Enggan terburu-buru dalam penghasilan album baru itu, Jee tidak menolak untuk bekerjasama dengan komposer luar jika ada kesempatan.

“Kalau lagu-lagunya baik, saya rasa tak salah untuk saya terima dan nyanyikan. Tapi saya tetap mengutamakan komposer tempatan dulu dalam penghasilan album ini,” terangnya.

Mengulas tentang isu yang mengatakan Jee sudah tidak mampu menyanyi secara live dalam nada tenang Jee berkata: “Saya tak kisah apa yang mahu diperkatakan oleh orang tentang saya kerana mereka tak kenal saya. Saya percaya dengan apa yang boleh saya lakukan dan saya akan perbaiki diri saya. Saya tak berkecil hati dengan kenyataan tersebut.”

Bagi peminat yang merindui persembahan Jee, penyanyi jelita ini bakal menghiburkan khalayak di majlis Minggu Setiausaha Rafflesia yang akan diadakan di Hotel Istana pada 16 April ini.

Bakal mendendangkan lagu Resah, Jee akan mengayakan pakaian rekaan pereka muda Hatta Dolmat.

Selain Jee, para setiausaha juga akan dihiburkan dengan lima lagi penghibur popular lain iaitu Erra Fazira, Jaclyn Victor, Liza Hanim dan Ziana Zain.

Bukan sahaja berhibur malahan para penonton juga bakal disajikan dengan majlis memperagakan barangan Rafflesia selain cabutan bertuah.

Kepada yang berminat bolehlah menghubungi di talian 03-2141 9988.

Sumber : Utusan Malaysia, 26/03/08

No comments: