Sekalipun diasak pelbagai soalan berbaur peribadi termasuk calon pengganti selepas hidup solo buat kali kedua, Jee tetap tenang dan hanya melemparkan senyuman manis seolah-olah meminta pihak media menghormati pendiriannya itu.
Nampaknya sampai hari ini, Jee belum bersedia untuk mengulas kes perceraiannya dengan Johan Indot. Namun begitu, ibu muda dua anak lelaki, Jeffri Joaquim, 9, dan Jeremy Jay, 7, ini mengakui hidupnya bahagia bersama mereka.
“Alhamdulillah, saya bahagia ketika ini. Saya akui tubuh pun nampak berisi sikit kerana sebelum ini ramai sangat yang kata saya kurus sangat.
“Dalam usia mencecah 40-an, banyak yang saya perlu jaga terutama pemakanan dan kesihatan. Selain itu, saya juga banyak buat aktiviti luar terutama sukan skuba dan program bersama Coral Malaysia.
“Terbaru, saya baru menyambung kontrak sebagai duta SKII dan kini sudah 11 tahun saya menjadi jurucakap mereka,” katanya.
Selain sibuk menguruskan persekolahan dua anaknya, Jee juga sibuk merencana kerjaya seninya tahun ini. Malah ada perancangan untuk muncul dengan album baru.
“Perancangan untuk album baru sudah dimulakan sejak tahun lalu. Saya ambil masa lama sikit kerana tak nak tergesa-gesa dalam soal ini.
“Sebagai penyanyi, sudah pasti saya ingin mencari lagu yang bagus untuk dimuatkan dalam album ini nanti. Setakat ini proses pembikinan album ini baru lima peratus saja. Saya memang merancang untuk keluar single terlebih dulu.
“Pada masa sama, saya menaruh harapan untuk keluar album baru pada tahun ini juga. Maklumlah, sudah dua tahun saya tidak ada album baru.
|
Jee juga akan menjayakan Minggu Setiausaha di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 16 April ini. Bagaimanapun Jee tidak keseorangan tetapi dijayakan lapan penyanyi, Noryn Aziz, Liza Hanim, Jaclyn Victor, Erra Fazira, Azharina, Ziana Zain dan Ning Baizura.
Ia turut diserikan dengan pertunjukan fesyen oleh model terkenal, Nasha Aziz, Aleeza Kassim, Fadzlun, Amber Chia dan Deborah Henry.
Bercerita mengenai persembahannya nanti, Jee berkata, setiap penyanyi hanya menyampaikan satu lagu dan Jee memilih lagu Resah dari album lamanya dengan iringan dua penari latar.
“Saya akan menyampaikan lagu ini secara ‘live’ di pentas. Justeru, tidak benar ada gosip yang mengatakan saya tak nak menyanyi ‘live’ nanti. Mungkin ada orang dapat info yang salah mengenai perkara itu.
“Bagi saya, adalah lebih baik buat persembahan secara ‘live’. Apatah lagi, ini kali pertama saya digandingkan dengan artis dan pereka fesyen muda.
“Secara peribadi, saya sungguh gembira kerana diberi peluang menghiburkan peminat sempena Minggu Setiausaha Rafflesia ini,” katanya.
Jee sedar mungkin peminatnya tidak berasa puas kerana dia sekadar menyampaikan satu lagu pada petang itu. Namun, penyanyi tinggi lampai itu tetap menjanjikan yang terbaik buat peminatnya.
“Saya akan menyanyi sambil menari nanti. Seperti biasa saya akan jadi diri sendiri di pentas dan saya hanya ingin peminat terhibur dan petang itu akan diingati sampai bila-bila,” katanya yang bakal menggayakan rekaan pereka muda Hatta Dolmat nanti.
Sumber : Harian Metro, 26/03/08
No comments:
Post a Comment