TURUT mendapat liputan media insiden membabitkan penyanyi popular, Fauziah Latiff (Jee) yang menitiskan air mata ketika menyanyikan lagu terbarunya, Aku Bukan Boneka dalam satu persembahan di Kuala Terengganu pada Disember 1994.
Kejadian berlaku di Dewan Gamelan, Primula Beach Resort apabila beliau tidak dapat menahan sebak, mungkin kerana mengenang pergolakan rumah tangganya ketika itu, lalu menangis dan bergegas meninggalkan pentas sebaik selesai menyanyikan lagu berkenaan.
Difahamkan, 700 tetamu termasuk peminat setianya yang menghadiri majlis itu turut tersentuh, malah ada yang menangis sebaik mendengar lagu berkenaan, yang seolah-olah membayangkan kisah kehidupan pahit getirnya sesudah berumah tangga.
Lagu Aku Bukan Boneka ciptaan Adam Ahmad dan lirik S Amin Shahab antaranya berbunyi `kau dirikan aku mahligai permata di tengah lautan bergelora, indah rupa... isinya hampa, kasih sayang dihempas gelombang, cintamu yang curang’ yang menyentuh perasaan setiap yang mendengarnya.
Ia turut disifatkan peminatnya sebagai salah satu lagu terbaik pernah dirakamkan penyanyi terbabit, yang turut dimuatkan dalam album ketujuhnya, Apa Sebenarnya, terbitan Adnan Abu Hassan ketika itu.
Jee sebelum itu pernah menggemparkan peminat seluruh tanah air apabila menitiskan air mata ketika menyanyikan lagu yang sama dalam sebuah rancangan hiburan popular di televisyen sebelum ini.
Sumber : Berita Minggu/Harian
Komen Penulis: Lagu-lagu Jee sememangnya banyak yang menyentuh perasaan dan berkisar tentang kehidupan sebenar kita sebagai manusia. Tahniah Jee.. banyak peminat hidup bersemangat dari lagu-lagu Jee.
No comments:
Post a Comment