Kemerdekaan selalunya dikonsepkan sebagai bebas dari cengkaman penjajah atau anasir luar yang mampu menggugat ketenteraman negara. Ini kerana itulah jawapan yang sering kita dengar apabila soalan apakah konsep kemerdekaan sebenar diajukan kepada setiap masyarakat terutamanya masyarakat Islam. Itu dari segi literalnya dalam konsep pemikiran manusia, apa pula konsep kemerdekaan dari konsep Islam itu sendiri? Pastinya ramai yang mengetap bibir tanda tiada jawapan dapat dicari. Islam yang bermaksud mentaudihkan Allah, patuh, tunduk dan jujur hati kepada-Nya serta beriman kepada ajaran-ajaran Allah s.w.t yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w menekankan tiga konsep utama dalam kehidupan iaitu iman, amal dan ihsan. Bagaimana konsep kemerdekaan dapat dikaitkan dengan tiga konsep utama ini? Persoalan ini perlu dijawab agar erti kemerdekaan sebenar dapat dicari dan disimpulkan bersama bagi kebaikan umat Islam amnya.
Menurut konsep iman iaitu membenarkan dalam hati dan berikrar dengan lisan serta beramal dengan ajaran-ajaran Allah s.w.t yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w menujukkan bahawa Islam adalah suatu agama yang membawa ciri kemerdekaan yang sejati bermula daripada sikap perhambaan kepada makhluk (sesama manusia) dialihkan kepada suatu perhambaan yang murni iaitu kepada Pencipta alam iaitu Allah s.w.t sejelasnya layak dan tidak sama cirinya berbanding kita. Pemahaman dan penghayatan rukun-rukun iman akan menjadikan kita merasakan kita bebas untuk beramal ibadat terutamanya untuk mendapatkan keredhaan hidup dari Allah s.w.t. Kaitan dengan konsep kemerdekaan, kita seharusnya bersyukur dan berdoa agar kemerdekaan yang dikecapi negara pada masa kini kekal selamanya. Perasaan rendah diri dan berterima kasih kepada Allah s.w.t perlu disematkan di dalam hati kerana Allah s.w.t telah meberikan hidayah dan kemakmuran dalam kita menikmati perjalanan hidup sebagai khalifah di muka bumi tanpa sekatan dalam menjalankan ibadah sebagai umat Islam.
Konsep amal pula menyatakan kita perlu menjalankan apa yang diperintah oleh Allah s.w.t dan meninggalkan larangan-Nya. Melalui konsep ini, kita boleh kaitkan dengan sambutan kemerdekaan itu sendiri. Allah melarang kita membazir dan menjauhi hiburan yang melalaikan. Apa yang dilihat, saban tahun kita terlalu banyak membazirkan wang dengan mengadakan hari sambutan kemerdekaan dengan menganjurkan konsert-konsert tertentu bagi memeriahkannya. Dalam pada itu, masyarakat Islam kita membazirkan masa mereka dengan terkinja-kinja meraikan sambutan keerdekaan tersebut. Seharusnya, melalui konsep amal dalam Islam ini, kita seharusnya menyambutnya secara sederhana (wasatiah), cukup sekadar menghayati erti kemerdekaan dan berfikir akan pengisian kemerdekaan di dalam sanubari masayarakat Islam kita. Bukankah pengisian kemerdekaan itu lebih penting dari sambutannya? Dalam amalan kita sebagai umat Islam, cukuplah kemerdekaan itu tidak dicemari dengan kelalaian dan pembaziran di mana kita hanya bertasbih di dalam hati dalam menghindarkan diri dari maksiat yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka.
Bagi konsep ihsan pula, kita disyariatkan untuk melakukan ibadat dengan kyusuk, ikhlas dan yakin bahawa Allah sentiasa mengawasi apa yang sedang kita lakukan. Melalui perkara ini, kemerdekaan atau kebebasan yang kita rasai perlulah didasari dengan niat untuk mempertahankan agama tercinta ini supaya tidak dicemari anasir-anasir yang cuba menjatuhkan Islam. Di sini secara tidak langsung kita telah berjihad di jalan Allah. Kemerdekaan dalam konsep ihsan dalam juga boleh dikaitkan melalui pembebasan diri dari jajahan minda globalisasi yang cuba menhancurkan pemikiran umat Islam kita. Setelah minda di jajah, minda kita dikongkong dengan anasir negatif seperti pornografi, maksiat dan hiburan yang boleh memesongkan akidah justeru menghilangkan konsentrasi kita dalam beribadah. Penghindaran jajahan minda ini perlu diperhalusi dan dibanteras bersama di mana kesedaran untuk meningkatkan iman di dalam hati perlu dijalankan oleh semua umat Islam. Caranya mudah, memperbanyakkan amal dan beribadat kepada Tuhan yang Esa iaitu Allah s.w.t. Ingat-mengingati antara satu sama lain juga antara alternatif bijak dalam menghindarkan diri dari penjajahan minda ini. Justeru itu, kekusyukan dalam beribadat dapat dilakukan dengan ikhlas kerana Allah s.w.t.
Secara kesimpulannya, penghayatan kemerdekaan itu perlulah didasari dengat nilai-nilai konsep islam itu sendiri iaitu iman, amal dan ihsan. Kealphaan menikmati kebebasan kini hanya menghakis nilai Islam dalam diri masyarakat Islam. Jangan kita Islam pada nama semata-mata, tetapi hati tertutup untuk mengamalkan ajaran Islam. Pengahayatan konsep islam perlu ditekankan dalam diri agar setiap perlakuan dalam erti kebebasan menjadi satu ibadah yang bermanfaat bagi diri dan umat Islam amnya.
-Hak Milik : Azlan Ali -
No comments:
Post a Comment