Tuesday, March 6, 2007

Keutuhan Budaya dan Moral Masyarakat Malaysia

Masalah soial di kalangan masyarakat Islam sudah tidak dapat dibendung lagi. Paparan pelbagai isu mengenainya juga agak memalukan masyarakat Islam yang dianggap sebagai penganut agama yang penuh disulami dengan nilai-nilai murni yang amat tinggi. Mengapa perkara ini boleh terjadi? Pelbagai jawapan diberi tetapi masalah ini terus menerus berlaku.

Pusat serenti dan pusat pemulihan akhlak misalnya, majoriti penghuninya dihuni oleh belia Islam kita sendiri. Nah, mana peranan ibu bapa kita? Mana peranan masyarakat kita? Adakah kini kita hanya mampu melihat usaha yang dijalankan oleh kerajaan untuk menangani masalah yang semakin meruncing kini?

Jika harga minyak naik, kita melenting. Isu gula juga kita melenting. Kerajaan pula terus menerus dipersalahkan. Adakah ini adil bagi kita menyalahkan kerajaan yang mengeluarkan terlalu banyak dana untuk mengatasi berjuta-juta masalah rakyat yang pelbagai ragam menimbulkan masalah?

Kerajaan mengeluarkan berpuluh-puluh bilion ringgit untuk menangani masalah dadah. Belum dicampur dengan masalah vandalismedan masalah-masalan lain. Perkara ini semuanya dilakukan demi mengutuhkan budaya dan moral masyarakat kita khususnya masyarakat Islam negara ini. RMK9 misalnya menggariskan strategi Modal Insan untuk meletakkan mentaliti masyarakat kita di kelas pertama. Pembangunan Modal Insan yang ditekankan meletakkan satu tujuan utama iaitu memberi kesedaran kepada masyarakat kita supaya lebih diterap dengan nilai-nilai murni serta disulami dengan warna-warna empati sesama insan. Ini memperlihatkan betapa kuat strategi ini mampu membuang mentaliti kelas ketiga masyarakat kita. Strategi Pembangunan Modal Insan ini dianggap seiring dengan konsep Islam Hadhari yang kelapan iaitu ‘Keutuhan Budaya dan Moral’. Jadi pada itu kerajaan telah memainkan peranan yang amat baik. Bagaimana dengan peranan belia, ibu bapa, dan masyarakat?

Belia Islam misalnya, mereka perlu sedar akan betapa mereka merupakan aset paling bernilai bagi negara dalam meyambung tradisi keterbilangan negara melalui pucuk pimpinan dan sebagainya. Mereka perlu fokus pada tanggungjawab mereka sebagai pelajar, anak dan belia dalam masyarakat. Jika mereka mampu menggalas tanggungjawab ini, belia kita bukan sahaja mampu mananagani arus gelombang globalisasi yang memerlukan mereka kuat dari segi mental dan fizikal malah mereka mampu menjadi nadi kemajuan negara. Jika di rumah, mereka perlu menghormati ibu bapa mereka sendiri. Jika di sekolah atau di universiti, mereka perlu fokus dengan pelajaran mereka. Jika dalam masyarakat, mereka perlu memupuk semangat perpaduan antara satu sama lain dan untuk diri sendiri, mereka perlu menjalankan aktiviti berfaedah justeru tidak melupakan tanggunjawab sebagai umat Islam.

Ibu bapa perlulah menjalankan peranan mereka dalam melentur rebung sejak dari rumah lagi. Sulami kain putih pemberian Allah swt dengan keseimbangan ilmu duniawi dan ukhrawi. Pengabaian anak-anak akan membuatkan mereka menjadi lebih liar dan cuba mendapat perhatian luar dengan melakukan pelbagai masalah sosial seperti vandalisme dan sebagainya. Ibu bapa juga perlu bijak mengawal atur masa kesibukan mereka supaya masa bersama keluarga dan anak-anak masih ada bagi mengharmonikan sesebuah rumahtangga. Selain itu, warnai kehidupan keluarga dengan keseimbangan duniawi dan ukhrawi agar keluarga sentiasa dirahmati Allah swt.

Masyarakat pula perlu memainkan peranan yang agak besar dalam mengukuhkan kekuatan ukhwah perpaduan di kalangan sesama ahlinya. Perpaduan akan mengurangkan apa-apa jurang yang dicipta sebelum ini. Ini adalah kerana kita perlu menyahut seruan kerajaan untuk menjadi sebuah negara bangsa. Aspek pengukuhan perpaduan dapat dilakukan dengan menjalankan pelbagai aktiviti masyarakat seperti gotong royong, sukaneka perumahan dan amalan kunjung mengunjung misalnya. Semangat kejiranan juga perlu diperkukuhkan kerana aspek ini semakin pudar ditelan kemodenan. Masyarakat juga perlu bersama-sama membantu kerajaan dalam menanagani masalah sosial dengan membentuk jawatankuasa keselamatan dalam setiap kawasan perumahan. Perkara ini dilihat agak kolot tetapi ia memberi impak yang amat baik sebenarnya.

Kesimpulannya, semua pihak perlu menggembleng tenaga dalam mengutuhkan budaya dan moral masyarakat kita. Tuding-menuding akan peranan dan tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh sesebelah poikah hanya menambahkan satu lagi masalah yang perlu diselesaikan. Jika semua pihak memainkan peranan, masyarakat Islam kini bukan sahaja dipandang tinggi malah dipuji kerana keutuhan budaya dan moral yang dikekalkan.

No comments: